Sekumpulan anggota eksekutif kanan SPH Media telah mengadakan kunjungan ke agensi media di China untuk membincangkan cabaran yang dihadapi oleh saluran berita arus perdana seperti maklumat palsu dan keperluan bagi transformasi digital.
Semasa lawatan empat hari ke Beijing, yang bermula pada 7 Julai, delegasi itu turut membincangkan kerjasama dalam teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan kewartawanan.
Dalam satu kenyataan SPH Media pada 9 Julai, kumpulan itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media, Encik Chan Yeng Kit; ketua Editor Kumpulan Media Cina (CMG) SPH Media, Cik Lee Huay Leng; dan Timbalan Ketua Editor CMG, Cik Loh Woon Yen.
Tujuan lawatan itu adalah untuk mendapatkan gambaran tentang perkembangan, inovasi dan trend terkini yang membentuk landskap media China melalui penglibatan dengan saluran media arus utama di sana – termasuk China Media Group, People’s Daily dan agensi berita, Xinhua – tambah kenyataan itu.
Mereka turut mengunjungi Sekolah Kewartawanan dan Komunikasi Universiti Tsinghua, syarikat teknologi dan media, serta entiti rasmi China, ujar kenyataan tersebut.
Encik Chan berkata: “Ini adalah ulang tahun ke-35 penubuhan hubungan diplomatik antara Singapura dengan China.
“Semasa lawatan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ke China baru-baru ini, pemimpin kedua-dua negara telah menyatakan sokongan untuk mengeratkan hubungan, serta terus meningkatkan jalinan sesama rakyat.
“SPH Media ingin membina momentum positif kerjasama dua hala ini dan memperdalam perkongsian serta pertukaran dengan rakan sejawatan kami di China mengenai cabaran biasa yang dihadapi oleh media arus perdana sejagat.”
Menurut Xinhua, delegasi SPH Media Trust bertemu presidennya, Encik Fu Hua, di Beijing pada 8 Julai.
Semasa pertemuan itu, kedua-dua pihak mengesahkan komitmen untuk meningkatkan kerjasama media di bawah bimbingan pemimpin Singapura dan China, katanya.
Ia memetik Encik Chan sebagai berkata SPH Media akan bekerjasama dengan Xinhua bagi “mempromosikan kerjasama dalam pelaporan berita, AI dan bidang lain”.
Agensi berita itu menambah di bawah bimbingan pemimpin kedua-dua negara, kededua organisasi akan “menceritakan kisah China, Singapura, Asia dan dunia, serta mencerminkan perkembangan dan perubahan dunia secara tepat dan objektif”.
Menurut Encik Fu, agensi berita itu sedia bekerjasama dengan SPH Media untuk bersama-sama menceritakan kisah pembangunan kedua-dua negara dan persahabatan sesama rakyat.
Ini di samping meningkatkan komunikasi di bawah rangka kerja mekanisme pelbagai hala dan perkongsian pengalaman.
“
“SPH Media ingin membina momentum positif kerjasama dua hala ini dan memperdalam perkongsian serta pertukaran dengan rakan sejawatan kami di China mengenai cabaran biasa yang dihadapi oleh media arus perdana sejagat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg