Di sebalik impak media sosial dan teknologi terhadap industri berita, editor akhbar The Straits Times (ST), Encik Jaime Ho, menggariskan dua perkara utama untuk ST, iaitu terus memastikan kredibiliti dan mendorong eksperimen kreatif yang lebih besar.
“Kami bukan hanya penyampai maklumat. Apa yang penting bagi kami adalah kredibiliti yang mendasari maklumat tersebut,” kata Encik Ho, yang berucap pada 20 Ogos di PR Asia Singapore 2025, satu persidangan industri komunikasi yang dianjurkan oleh Marketing-Interactive, lapor ST.
Kredibiliti bukan sahaja sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan, bahkan cara ST membezakan dirinya daripada pesaingnya, yang merangkumi bukan sahaja outlet media lain tetapi juga pencipta kandungan, tambahnya.
Persidangan itu, yang dihadiri sekitar 150 profesional komunikasi, diadakan di Shangri-La Singapore. Cik Rezwana Manjur, ketua editor Marketing-Interactive, mengendalikan sesi yang menampilkan Encik Ho.
Menjawab soalan daripada penonton mengenai keseimbangan antara kelajuan dan ketepatan apabila bersaing dengan kandungan yang dijana pengguna di platform sosial, Encik Ho menjelaskan pendekatan ST dalam penggunaan gambar dan video seperti itu.
“ST mungkin sedikit lebih lambat berbanding yang lain – ini kerana kami melakukan satu atau dua langkah tambahan untuk pengesahan,” kata Encik Ho sebagai contoh komitmen ST terhadap ketepatan.
“Anda mungkin ingat suatu ketika… di mana perbezaan 30 saat atau satu minit antara seseorang yang menyiarkan di Facebook (dan anda) memberi kesan besar kepada pembaca, tetapi ia telah berubah seiring waktu,” tambahnya. “Kelajuan masih penting, ya, tetapi mungkin kurang penting berbanding dahulu.”
Encik Ho berkata ST mempunyai peranan untuk mengurangkan tekanan ke atas kelajuan kerana ia berpotensi membawa kepada maklumat palsu.
Dalam perbincangan mereka, Cik Rezwana menegaskan bahawa ST telah menggunakan kaedah baru dalam bercerita, terutamanya semasa pilihan raya umum baru-baru ini. Ini kadangkala menghasilkan kandungan yang “tidak terasa seperti jenama yang saya kenali”, katanya.
Encik Ho berkata itu mungkin bukan sesuatu yang buruk, kerana ST boleh memberi fokus untuk memenuhi keperluan pelbagai audiens.
“Kami boleh menjadi lebih kreatif jika kami membenarkannya, dan kami mempunyai manfaat jenama kami di pelbagai platform,” katanya.
Di tengah banyak keutamaan organisasi, termasuk ukuran kejayaan seperti tontonan halaman dan penglibatan media sosial, Encik Ho berkata kewartawanan perkhidmatan awam adalah antara sebab utama kewujudan ST.
Beliau menggambarkan peranan ST dalam masyarakat Singapura sebagai lebih daripada sekadar saluran maklumat daripada agensi hubungan awam (PR) dan pembuat berita.
“Kami sebenarnya adalah bahagian asas dalam masyarakat, dengan peranan dalam membentuk wacana dan selera untuk berita dan maklumat. Kami ingin menjadi contoh terbaik untuk wacana yang sederhana, seimbang, dan inklusif dalam masyarakat,” kata Encik Ho.
“Masih ada peranan untuk kami... untuk membincangkan isu-isu yang benar-benar menyatukan orang ramai.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg