Dalam dunia yang semakin kompleks dan tidak menentu, Home Team perlu bergerak lebih pantas merentasi domain fizikal dan digital memandangkan ancaman boleh merentasi sempadan dengan lebih mudah.

Menyatakan demikian Menteri Undang-undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, berkata ini bermakna pegawai Home Team perlu bertindak lebih awal dalam mengenal pasti ancaman bagi melindungi Singapura.

Berkata demikian di Majlis Penyampaian Biasiswa dan Tajaan 2026 Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 24 Julai, Encik Tong berkata rangkaian jenayah tidak lagi perlu berpangkalan secara fizikal di Singapura untuk menimbulkan bahaya kepada negara ini.

“AI (kecerdasan buatan) boleh digunakan untuk menghasilkan identiti palsu, kandungan teknologi pemalsuan mendalam (deepfake) serta menjalankan operasi penipuan secara automatik pada skala besar.

“Ini meningkatkan kepantasan dan kecanggihan jenayah untuk tiba di sini,” ujar beliau.

Justeru bagi memastikan Home Team terus cemerlang ia memerlukan para pegawai yang luar biasa – yang tangkas, mempunyai sifat ingin tahu, dan memimpin perubahan dengan penuh keyakinan, serta bekerjasama secara berkesan dengan rakan kongsi.

Dalam mencapai misi itu, Encik Tong menegaskan komitmen MHA dalam pelaburan mereka terhadap pembangunan pegawai melalui Rangka Kerja Kecekapan Home Team, program latihan pembangunan kepimpinan, selain latihan dalam bidang digital dan AI.

Biasiswa dan tajaan pengajian juga akan terus diperkukuh bagi membolehkan pegawai mendalami kepakaran dalam bidang-bidang baharu yang semakin penting.

Semasa majlis itu, seramai 173 pegawai menerima biasiswa dan tajaan pengajian MHA, dengan 105 bakal melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama, manakala 68 lagi mengikuti pengajian possiswazah.

Jumlah penerima pada 2026 merupakan yang tertinggi dalam tempoh lima tahun.

MHA turut menyampaikan hadiah buku kepada tujuh pegawai atas pencapaian akademik cemerlang dalam program Keselamatan Awam dan Sekuriti di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

“AI (kecerdasan buatan) boleh digunakan untuk menghasilkan identiti palsu, kandungan teknologi pemalsuan mendalam (deepfake) serta menjalankan operasi penipuan secara automatik pada skala besar. Ini meningkatkan kepantasan dan kecanggihan jenayah untuk tiba di sini.”
Menteri Undang-undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong.