Bagi Superintenden Teng May Ling Norsuziana, pembelajaran berterusan penting bagi memastikan pegawai Home Team memiliki kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi ancaman keselamatan yang giat berkembang.

Pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berusia 39 tahun itu telah memulakan kerjayanya sebagai Ketua Pasukan di Pusat Pemeriksaan Tuas yang mengetuai operasi barisan hadapan pada 2016.

Beliau kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Kanan (Kecemerlangan Latihan dan Transformasi) di ibu pejabat Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam membangunkan dasar latihan serta rangka kerja kecekapan bagi pegawai Home Team.

Selepas sedekad bersama ICA, Superintenden Teng kini dipilih menjadi antara 173 penerima Biasiswa dan Tajaan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) yang disampaikan dalam satu majlis di ibu pejabat MHA pada 24 Julai.

Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, hadir sebagai tetamu terhormat.

Biasiswa dan tajaan itu dianugerahkan setiap tahun kepada pegawai Home Team yang menunjukkan prestasi cemerlang, komitmen tinggi serta dedikasi dalam memastikan Singapura kekal selamat dan terjamin.

Anugerah tersebut membolehkan mereka melanjutkan pengajian di peringkat ijazah atau possiswazah dalam pelbagai bidang di universiti tempatan dan luar negara, kata MHA.

Jumlah penerima pada 2026 merupakan yang tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Menyentuh mengenai peranan pegawai ICA, Encik Tong berkata mereka berdepan cabaran besar dalam menguruskan jumlah pengembara yang semakin meningkat di pintu masuk Singapura.

“Pada 2025, pusat pemeriksaan negara mencatat rekod baharu dengan mengendalikan 245 juta pergerakan pengembara, meningkat daripada 230 juta pada tahun sebelumnya.

“Pegawai kita perlu memastikan perjalanan pengembara yang sah berjalan lancar, sambil mengesan individu serta barangan yang boleh mengancam keselamatan negara dalam aliran pengembara yang begitu besar,” katanya.

Encik Tong menambah, dalam dunia yang semakin kompleks dan tidak menentu, Home Team memerlukan pegawai yang luar biasa bagi mengekalkan kecemerlangan pasukan itu.

“Kita memerlukan pegawai yang tangkas, sentiasa ingin belajar serta mampu menerajui perubahan dengan yakin, di samping bekerjasama secara berkesan dengan rakan agensi,” katanya.

Berkongsi bersama Berita Harian (BH), Superintenden Teng berkata biasiswa tersebut akan memberinya peluang mendalami bagaimana pemerintah dan masyarakat di serata dunia menangani ancaman keselamatan yang sentiasa berubah.

Beliau bakal melanjutkan pengajian selama setahun di King’s College London mulai September bagi mengikuti program Sarjana Sastera dalam bidang Pengganasan, Keselamatan dan Masyarakat, dengan kos pengajiannya dibiayai sepenuhnya menerusi Biasiswa MHA itu.

Sekembalinya ke MHA selepas menamatkan pengajian pada 2027, beliau berharap dapat memanfaatkan perspektif baharu yang diperoleh bagi memperkukuh dasar, latihan serta pembangunan pegawai Home Team.

“Ancaman yang kita hadapi, teknologi yang kita gunakan, malah jangkaan masyarakat terhadap pegawai Home Team sentiasa berubah.

“Saya percaya penting untuk memahami bukan sahaja ancaman itu sendiri, tetapi juga bagaimana masyarakat dan pihak tertentu bertindak balas terhadap ancaman tersebut,” katanya.

Beliau berkata pemahaman yang lebih menyeluruh itu penting bagi memastikan Home Team terus bersedia menyesuaikan diri dengan landskap keselamatan yang semakin kompleks.

“Sebab itu kita perlu memastikan pegawai dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang sesuai supaya kita tidak ketinggalan dan sentiasa bersedia menghadapi perubahan.

“Saya berharap dapat membawa pulang perspektif yang lebih mendalam dan bermaklumat untuk diterapkan dalam dasar, latihan serta pembangunan pegawai Home Team pada masa depan,” katanya.