Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Edwin: Dakwaan pelawak AS Sammy Obeid mengenai penapisan IMDA ‘rekaan semata’

Aug 31, 2025 | 9:08 PM
Edwin Tong, Rahayu Mahzam
Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, dan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, memberi kenyataan kepada media di Balai Rakyat Siglap South pada 31 Ogos. - Foto ST

Pelawak Amerika Syarikat berketurunan Lebanon-Palestin, Encik Sammy Obeid, telah mengemukakan kisah rekaan semata-mata mengenai peristiwa yang membawa kepada pembatalan secara mengejut dua persembahan komediri, atau ‘stand-up comedy’ beliau yang dijadualkan berlangsung di Teater Victoria pada 31 Ogos, kata Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong.

Tambahnya, pihak berkuasa juga sedang menilai langkah seterusnya yang mungkin perlu diambil.

“Biar saya jelaskan – Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) tidak meminta satu suntingan pun terhadap skripnya,” kata Encik Tong, yang juga Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri.

Beliau mengulas demikian sebagai respons terhadap dakwaan Encik Obeid mengenai penapisan terhadap elemen persembahannya yang mengkritik krisis kemanusiaan di Gaza.

“Malah, tiada sebarang komunikasi bersama Encik Obeid mengenai skrip, dan ejen beliau sendiri telah mengesahkannya. 

“Jadi, apa yang Encik Obeid katakan sememangnya tidak berlaku. Mengapa beliau berbuat demikian? Saya tidak tahu,” kata Encik Tong kepada media di Balai Rakyat Siglap South pada 31 Ogos.

Beliau menegaskan bahawa satu-satunya sebab permohonan permit persembahan Encik Obeid ditolak adalah kerana ia dihantar terlalu lewat.

Respons Encik Tong menyusuli percanggahan antara kenyataan IMDA dengan Encik Obeid mengenai peristiwa yang membawa kepada pembatalan persembahannya di Singapura.

Dalam satu hantaran di laman Instagram pada 27 Ogos, Encik Obeid mendakwa beberapa pusingan suntingan skrip telah berlaku, yang akhirnya menyebabkan permohonan lesen bagi persembahannya ditolak.

IMDA menafikan dakwaan ini pada 28 Ogos, dengan menyatakan bahawa mereka tidak pernah meminta sebarang suntingan skrip.

Menurut IMDA, persembahan itu ditolak kerana permohonan daripada wakil Encik Obeid dihantar pada 11.57 malam, 15 Ogos – iaitu 10 hari bekerja sebelum tarikh persembahan.

Permohonan harus dihantar sekurang-kurangnya 40 hari bekerja sebelum tarikh persembahan.

Lesen hiburan seni diperlukan bagi pelbagai jenis persembahan awam di Singapura termasuk teater, tarian, pameran seni, pembacaan sastera dan komediri.

Proses permohonan ini dikendalikan oleh IMDA, yang mempunyai kuasa untuk meminta sebarang perubahan pada skrip sebelum kelulusan diberikan.

Pada 31 Ogos, pihak berkuasa itu turut menerbitkan urutan peristiwa di media sosial.

Ia menyatakan bahawa pembantu peribadi Encik Obeid telah menghantar e-mel kepada IMDA pada 8 Julai untuk bertanya mengenai proses permohonan dan IMDA telah membalas pada hari berikutnya dengan butiran yang diperlukan.

Komunikasi seterusnya antara pihak berkuasa dengan wakil Encik Obeid berlaku pada 15 Ogos, iaitu tarikh permohonan dibuat, jelas IMDA.

Wakil itu dimaklumkan pada 19 Ogos bahawa permohonan mereka ditolak kerana ia dihantar lewat, dan mereka membuat rayuan pada 20 Ogos.

IMDA kemudian membalas pada 25 Ogos bahawa rayuan itu turut ditolak.

Encik Obeid dijadualkan mengadakan dua persembahan di Teater Victoria yang boleh menampung 614 penonton pada 6 petang dan 8.30 malam, 31 Ogos.

Menurut laporan ST sebelum ini, lebih 1,000 tiket telah terjual.

Persembahan yang dibatalkan di Singapura itu merupakan sebahagian daripada jelajah Asia beliau yang merangkumi 10 bandar lain di Indonesia, Malaysia, Thailand, India, Hong Kong, Jepun dan Korea Selatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg