Satu persembahan syarikat teater, Wild Rice, telah disekat oleh pihak berkuasa atas sebab “mengglamorkan penyalahgunaan dadah”, sehari sebelum ia dipersembahkan.
Persembahan deklamasi, Homepar, oleh penulis skrip, Mitchell Fang tidak dibenarkan, menurut kenyataan bersama Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 20 Jun.
Skrip yang telah disemak dan dihantar semula pada 5 Jun mengandungi perubahan besar berbanding versi awal yang dihantar pada 21 April, menurut IMDA dan MHA.
Versi awal skrip tersebut telah memenuhi keperluan klasifikasi kandungan dan boleh dipentaskan di bawah rating R18.
Namun, skrip yang telah disemak itu didapati melanggar Kod Klasifikasi Hiburan Seni (AECC), lapor The Straits Times (ST).
“Bahan baru itu menggambarkan serta mengglamorkan penyalahgunaan dadah dan memaparkan seorang pegawai penyamaran dari Biro Narkotik Pusat (CNB) yang melindungi para penagih daripada dijejaki,” menurut kenyataan bersama itu.
“Ia menjejas dasar antidadah Singapura, sistem pemulihan dadah kita, serta keyakinan awam terhadap CNB.
“Persembahan yang menjejaskan kepentingan negara tidak dibenarkan di bawah AECC.”
Persembahan yang dijadualkan berlangsung selama kira-kira 90 minit itu tertumpu pada Homepar – sebuah pesta yang diadakan di rumah dengan suasana seakan kelab malam homoseks, lazimnya diadakan di ruang tamu atau bilik hotel.
Menurut sinopsis di laman web Wild Rice, watak bernama Oliver menganjurkan parti tersebut di rumah yang dikongsi bersama ibunya yang telah menjadi balu, sambil “mengharungi perpisahan yang sukar dan meraikan perkembangan identiti jantina mereka”.
Ia merupakan salah satu daripada beberapa naskhah yang sedang dibangunkan di bawah program pemula anjuran Wild Rice.
Naskhah itu dipersembahkan dalam bentuk deklamasi, iaitu apabila para pelakon membacakan draf awal skrip di depan penonton supaya penulis skrip boleh mendapatkan maklum balas.
Memandangkan Wild Rice memilih untuk tidak menggunakan versi skrip 21 April yang telah diluluskan pihak berkuasa, IMDA berkata persembahan tersebut tidak dibenarkan.
Kenyataan itu menambah: “Pendirian tegas Singapura terhadap dadah tidak berubah dan IMDA akan terus menegakkan AECC demi melindungi kepentingan negara.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg