Beberapa langkah keselamatan bagi pengguna umum Perkhidmatan Media Sosial yang Ditetapkan (DSMS) sudah terbentang, tetapi usaha penambahbaikan harus dilakukan dalam memastikan keselamatan kanak-kanak dalam talian lebih terjamin, terutamanya ketika menggunakan platform X.
Inilah antara perkara yang dibentangkan dalam Laporan Penilaian Keselamatan Dalam Talian oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), yang julung-julung kalinya dihasilkan dan dilancarkan di Pusat Media Nasional, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) di Hill Street, pada 17 Februari.
Laporan itu dihasilkan dalam meninjau keselamatan DSMS berupa platform Facebook, HardwareZone, Instagram, TikTok, X dan YouTube, dan bagaimana pengendalinya melindungi pengguna.
Menyamar sebagai orang awam antara Ogos 2023 hingga Julai 2024, penganalisis IMDA mengenal pasti dan menandakan sekitar 1,000 hantaran berbahaya dalam enam platform media sosial ini dan memantau respons.
Kod Amalan bagi Keselamatan Dalam Talian yang diperkenalkan IMDA pada Julai 2023, memerlukan syarikat media sosial mengurangkan pendedahan pengguna Singapura bagi bahaya kandungan berbaur seksual, membahayakan diri sendiri, bunuh diri dan pembulian siber, dengan pelindungan tambahan buat kanak-kanak.
Secara keseluruhan, enam platform media sosial ini dinilai berdasarkan empat bidang utama: langkah keselamatan buat semua pengguna, langkah keselamatan bagi pengguna di bawah usia 18 tahun, laporan pengguna dan leraian (mengambil kira hasil ujian pembeli-belah rahsia), serta kebertanggungjawaban.
Kebertanggungjawaban ini merujuk pada usaha memberi keterangan tentang jumlah dan jenis kandungan berbahaya yang dihapuskan, serta masa yang diperlukan untuk berbuat demikian, susuli laporan atau maklum balas pengguna.
IMDA, dalam satu kenyataan, pada 17 Februari, menjelaskan: “DSMS harus mengambil tanggungjawab lebih besar untuk melindungi kanak-kanak.
“Kini, Kod (Kod Amalan Keselamatan Dalam Talian – Khidmat Media Sosial) memerlukan DSMS untuk memastikan kanak-kanak hanya menerima kandungan yang sesuai untuk usia mereka.”
Antara DSMS yang dinilai, keselamatan platform X didapati paling kurang lengkap dari segi pelindungan, manakala TikTok merupakan wadah media sosial yang paling selamat.
Platform X mendapat markah paling rendah iaitu 2.5 per 5 dalam semua aspek kajian yang dijalankan, manakala TikTok meraih markah paling tinggi dalam semua bidang yang ditinjau kecuali laporan pengguna dan peleraian.
Facebook, Instagram, YouTube dan HardwareZone berkongsi tempat kedua, masing-masing dengan 3.5 mata.
Setiap satu mempunyai langkah keselamatan yang menyeluruh untuk pengguna umum, tetapi kekurangan dalam bidang lain, seperti langkah wajar untuk pengguna di bawah 18 tahun atau dalam keberkesanan saluran laporannya.
Penilaian ini telah dijalankan dalam menguji keberkesanan dan kelengkapan garis panduan masyarakat serta langkah keselamatan bagi pengguna umum dan kanak-kanak.
Selain itu, IMDA juga telah memeriksa tahap kemudahan dalam melaporkan kandungan bahaya di wadah media sosial.
Kejelasan maklumat dalam laporan langkah keselamatan tahunan yang diserahkan kepada IMDA juga diambil kira.
Laporan tersebut mendapati bahawa platform X menyediakan Pusat Bantuan bagi mereka yang sering mencari kandungan berkaitan dengan keganasan dan kes bunuh diri.
Bagaimanapun, kandungan berkaitan dengan eksploitasi seksual kanak-kanak dan keganasan (CSEM) masih kerap ada di X dan senang dicari dengan menggunakan perkataan mudah.
Tambahan pula, X tidak mempunyai kaedah khusus dalam menolong ibu bapa mengurus keselamatan anak-anak mereka.
Apabila menerima laporan tentang kandungan bahaya pula, X mengambil antara tujuh hingga 20 hari untuk mengambil tindakan.
Memberi respons kepada IMDA, X berkata wadah mereka bukan ditujukan untuk kanak-kanak, tetapi pengguna bawah usia, yang berumur 13 hingga 17 tahun, masih dibenarkan membuka akaun dan adalah golongan yang mudah terjejas dalam perkara ini.
Laporan itu juga mendapati kandungan yang kurang sesuai untuk peringkat usia kanak-kanak pula kadangkala mudah diakses golongan ini di Facebook dan YouTube.
Kandungan seperti itu patut dihadkan, mengikuti garis panduan yang tertera.
Laporan keselamatan dalam talian ini diharapkan dapat memberi peluang kepada pengguna dan ibu bapa untuk memahami risiko bagi setiap wadah media sosial serta menjadi panduan dalam menasihati diri mereka dan anak-anak mereka.
Setiap wadah media sosial yang dinilai juga harus memberitahu IMDA tentang usaha mengemaskinikan keselamatan platform mereka.
Pada sesi perbincangan penutup tirai majlis bersama pertubuhan keselamatan dalam talian dan wakil platform media sosial, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkata laporan itu menetapkan jangkaan masyarakat bagi pengguna di Singapura.
“Bagi saya, yang paling penting ialah kandungan yang masih terdedah kepada kanak-kanak – walaupun mereka tidak berpura-pura menjadi dewasa.
“Kita kini mempunyai set metrik yang sama. Kita juga rasa terdorong bahawa rakan kerjasama kita telah mengambil pendekatan yang membina dalam menangani hasil penemuan laporan ini,” ujar Cik Teo.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg