Undang-undang baru untuk menggalakkan dan memperkukuh pengantaraan dan dialog antara jiran sekiranya terdapat pertikaian, dan bukannya sekadar meminta pihak berkuasa campur tangan pada peringkat pertama, diluluskan di Parlimen pada 12 November.
Rang Undang-Undang Penyelesaian Pertikaian Masyarakat (Pindaan) dibentangkan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong dan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, dan diluluskan setelah dibahaskan 20 Anggota Parlimen (AP).
Ia merupakan pindaan yang dibentangkan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND).
Semakan menyeluruh kepada Rangka Kerja Pengurusan Pertikaian Masyarakat (CDMF) telah dilakukan setelah perbincangan bersama lebih 30 kumpulan perbincangan fokus dengan orang awam, ahli akademik dan kakitangan barisan hadapan.
Antara perubahan dalam undang-undang tersebut termasuk memberi kuasa kepada pegawai mengarahkan jiran yang bersengketa supaya menghadiri sesi pengantaraan di Pusat Pengantaraan Masyarakat (CMC) terlebih dahulu.
“Ini akan mewajibkan pengantaraan. Ini akan mengukuhkan keupayaan kita menyatukan jiran, dalam persekitaran yang mesra untuk membincangkan perbezaan mereka dan memahami perspektif satu sama lain.
“Pengantaraan adalah pantas, percuma dan setakat ini, telah terbukti berkesan. Oleh itu, kami akan memperkukuh rangka kerja ini untuk menggalakkan pertikaian jiran diselesaikan secara baik, sebagai langkah pertama,” kata Encik Tong.
Beliau menambah bahawa undang-undang baru itu akan menangani kes jiran yang enggan mempertimbangkan pengantaraan, atau tidak hadir untuk sesi pengantaraan walaupun telah bersetuju berbuat demikian.
Pegawai yang diberi kuasa, seperti pegawai perhubungan masyarakat, atau pegawai daripada CMC, boleh mengeluarkan Arahan Pengantaraan kepada individu yang terlibat dalam aduan atau pertikaian yang melibatkan campur tangan yang didakwa tidak munasabah.
Pihak yang menerima Arahan Pengantaraan mesti menghadiri pengantaraan di CMC dan kegagalan untuk mematuhinya, tanpa alasan yang munasabah, akan menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang baru.
Selain itu, satu Unit Perhubungan Masyarakat (CRU) khusus akan dibentuk dan mempunyai pelbagai kuasa menyiasat dan penguatkuasaan untuk campur tangan dalam pertikaian jiran, termasuk mempunyai kuasa mengeluarkan nasihat, amaran dan perintah bagi mengurangkan pertikaian.
Ia akan memberi tumpuan kepada menangani isu kebisingan yang teruk dan kes menyimpan terlalu banyak barang, dengan masalah bunyi bising membentuk sebahagian besar dalam kes pertikaian jiran.
Unit itu akan menutup jurang sedia ada di mana agensi tidak mempunyai kuasa yang mencukupi untuk campur tangan pada masa ini.
“Kami telah melihat kes apabila pertikaian yang dipersoalkan tidak melibatkan isu undang-undang dan perintah. Tetapi pada masa yang sama, mereka sangat mengganggu ketenteraman masyarakat.
“Tetapi jika tidak ditangani, ia boleh meningkat, dan selepas itu mempunyai kesan yang luar biasa ke atas masyarakat,” kata Encik Tong.
Beliau menambah bahawa selepas siasatan selesai, pegawai boleh mengeluarkan nasihat atau amaran, mengikut kesesuaian, dan tidak dikenakan penalti, pada peringkat pertama.
Encik Tong berkata CRU akan menumpukan sumbernya hanya pada kes bunyi bising jiran yang teruk, yang menjejas masyarakat, dan kes penimbunan yang teruk.
Undang-undang baru itu juga akan meningkatkan kuasa dan proses Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat (CDRT), yang akan menjadi pilihan terakhir sekiranya pengantaraan gagal.
Antara perubahan pada Akta Pengurusan Pertikaian Masyarakat termasuk memastikan penduduk tidak membawa jiran mereka ke CDRT, tanpa terlebih dahulu mencuba pengantaraan.
“Kami menerima hakikat bahawa sesetengah kes mungkin tidak sesuai untuk pengantaraan dan oleh itu terdapat fleksibiliti untuk mengetepikan pengantaraan yang difailkan bagi kes sedemikian.
“Tetapi, pada umumnya, penduduk harus pergi untuk sesi pengantaraan terlebih dahulu. Prosiding mahkamah harus menjadi pilihan terakhir,” kata Encik Tong.
CDRT juga akan diberi kuasa bagi mengeluarkan Perintah Rawatan Mandatori (MTO) jika ia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa tindakan campur tangan tidak munasabah individu berpunca, sekurang-kurangnya sebahagiannya, daripada masalah psikiatri.
Encik Tong berkata perubahan terbaru itu dicadangkan untuk membendung pertelingkahan antara jiran, sebahagian besarnya disebabkan oleh masalah berkaitan bunyi.
Beliau menambah agensi pemerintah telah menerima lebih 90,000 laporan mengenai jiran yang bising, sejak tiga tahun lepas, dengan purata kira-kira 2,500 aduan sebulan.
Sambil merujuk kepada pengantaraan yang dikendalikan oleh CMC, Encik Tong berkata lebih 2,400 kes pengantaraan sukarela, atau 80 peratus daripada kes sedemikian, telah diselesaikan sejak 2014.
“
“Pengantaraan adalah pantas, percuma dan setakat ini, telah terbukti berkesan. Oleh itu, kami akan memperkukuh rangka kerja ini untuk menggalakkan pertikaian jiran diselesaikan secara baik, sebagai langkah pertama.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg