Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kuasa diusul bagi unit baru pemerintah lerai tikai isu bising

Unit Perhubungan Masyarkat (CRU) berkuasa siasat, arah jiran berhenti buat bising ganggu jiran jika rang dibentang dan dilulus
Aug 12, 2024 | 7:06 PM
Dalam satu kenyataan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Kementerian Undang-undang dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 12 Ogos, antara usulan di bawah Rang Undang-undang Penyelesaian Masyarakat (Pindaan) adalah menubuhkan Unit Perhubungan Masyarakat (CRU), yang akan diberi kuasa untuk menyiasat dan mengarahkan individu berhenti membuat bising yang mengganggu jiran mereka. Ia salah satu daripada tiga usulan di bawah Rang Undang-undang yang bakal diperkenalkan di Parlimen kelak.
Dalam satu kenyataan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Kementerian Undang-undang dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 12 Ogos, antara usulan di bawah Rang Undang-undang Penyelesaian Masyarakat (Pindaan) adalah menubuhkan Unit Perhubungan Masyarakat (CRU), yang akan diberi kuasa untuk menyiasat dan mengarahkan individu berhenti membuat bising yang mengganggu jiran mereka. Ia salah satu daripada tiga usulan di bawah Rang Undang-undang yang bakal diperkenalkan di Parlimen kelak. - Foto ST

Sebuah unit baru pemerintah Singapura, Unit Perhubungan Masyarakat (CRU), akan diberi kuasa menyiasat dan mengarahkan individu berhenti membuat bising yang mengganggu jiran mereka, di bawah satu undang-undang yang dicadangkan bagi menangani pertikaian teruk antara jiran dengan lebih baik.

Kuasa yang diusulkan bagi CRU itu, di bawah Rang Undang-Undang (Pindaan) Penyelesaian Masyarakat, akan dapat menyelesaikan pertikaian serius antara jiran berkenaan bunyi bising atau sorokan, kata satu kenyataan bersama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Kementerian Undang-undang dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 12 Ogos.

Rang itu akan diperkenalkan dalam sidang Parlimen pada masa hadapan.

Kenyataan itu mengatakan pegawai CRU akan diberi kuasa memberi amaran atau arahan pemberhentian, di samping mengeluarkan arahan kepada jiran untuk menghadiri sesi pengantaraan, atau memasang penderia bunyi di rumah untuk mengumpul data, waktu dan keterukan bunyi bising, selepas mendapat persetujuan daripada penduduk di unit terjejas

CRU akan masuk campur hanya jika jiran tetangga gagal menyelesaikan pertikaian sesama mereka, tambah kenyataan itu.

“Ini menangani jurang semasa di mana rakaman bunyi yang dibuat oleh pengadu biasanya tidak berkesan dalam menentukan kelantangan bunyi bising kerana rakaman semula audio terganggu,” ujar kenyataan itu.

Penderia bunyi juga boleh digunakan di kawasan umum seperti koridor, tambah kenyataan itu, kerana penderia tersebut merupakan wadah bagi pihak terlibat membuktikan kes mereka.

Ia bukanlah satu keperluan dan tidak akan dipasang sekiranya pengadu tidak memberikan persetujuan, jelas kenyataan itu.

Bagi menjaga privasi, data terkumpul akan dihantar dalam masa nyata kepada pelayan berpangkalan di Singapura dengan kawalan akses ketat untuk pemprosesan sahaja, manakala rakaman asli tidak akan disimpan, tambahnya.

Pertama kali diumumkan pada 2023, satu program perintis CRU akan diuji selama setahun di satu atau dua bandar, bermula dengan Tampines, yang mempunyai purata beban kes berbanding bandar lain.

Susulan itu, pihak berkuasa akan menilai bagaimana dan sejauh mana unit itu boleh diperluaskan ke seluruh Singapura, tambah kenyataan itu.

Ia turut menambah bahawa CRU akan terdiri daripada pegawai yang berpengalaman dalam penguatkuasaan undang-undang dan pengantaraan asas.

Pegawai sedemikian telah lulus pemeriksaan latar belakang yang ketat dan akan disokong pegawai polis bantuan.

Pegawai dikehendaki mengenal pasti diri mereka semasa menjalankan tugas dan identiti mereka boleh disahkan melalui laman web MND.

Di samping CRU, Rang Undang-undang itu akan memperhalusi dua aspek Rangka Kerja Pengurusan Pertikaian Masyarakat (CDMF) dengan menyediakan pilihan lebih luas bagi kes-kes yang tidak dapat diselesaikan oleh masyarakat.

Rangka kerja tersebut diperkenalkan pada 2014 untuk menangani pertikaian antara jiran dengan menggalakkan pihak bertelagah untuk menyelesaikan pertikaian melalui pengantaraan sebelum mereka mengemukakan tuntutan bersama tribunal yang akan mengadili pertikaian tersebut.

Menurut kenyataan itu, antara aspek yang ingin diperkenalkan adalah menggalakkan penggunaan pengantaraan masyarakat untuk mengatasi pertikaian antara jiran pada tahap awal serta mempertingkatkan proses dan kuasa Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat (CDRT).

Di bawah penggalakan penggunaan pengantaraan masyarakat, kenyataan itu menjelaskan agensi yang diberi kuasa boleh mengarahkan pihak terlibat untuk menghadiri sesi pengantaraan di Pusat Pengantaraan Masyarakat (CMC) untuk meleraikan pertikaian antara jiran – ini termasuklah pertikaian berkaitan bunyi bising.

Kementerian sedemikian berkongsi bahawa sekitar 80 peratus kes pengantaraan sukarela yang dimudahkan oleh CMC telah dileraikan tetapi ada juga pihak bertelingkah yang tidak ingin turut serta mencuba pengantaraan.

Oleh demikian, Rang Undang-undang tersebut diharap dapat memperkuasakan agensi seperti CRU dan CMC untuk mengarahkan pihak terbabit menghadiri sesi pengantaraan di CMC dengan mengeluarkan Arahan Pengantaraan.

Di bawah peningkatan proses dan dan kuasa CDRT pula, Rang Undang-undang tersebut ingin mengenakan keperluan umum bahawa pihak jiran dalam pertikaian perlu mencuba sesi pengantaraan dahulu sebelum memfailkan tuntutan CDRT, tambah kenyataan tersebut.

Ini memandangkan prosiding CDRT merupakan prosiding mahkamah dan ia “seharusnya langkah terakhir untuk meleraikan pertikaian antara jiran”.

Ringkasan usulan di bawah Rang Undang-undang Penyelesaian Masyarakat (Pindaan)

  1. Menubuhkan program pertintis bagi Unit Perhubungan Masyarakat (CRU), yang diberi kuasa untuk menyiasat dan mengarahkan individu berhenti membuat bising yang mengganggu jiran, di beberapa daerah untuk mengatasi pertikaian antara jiran dan kes sorotan tahap teruk
  2. Menggalakkan penggunaan pengantaraan masyarakat untuk meleraikan pertikaian antara jiran pada tahap awal
  3. Meningkatkan proses dan kuasa Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat (CDRT)
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg