Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Edwin: Komen Pritam mengenai ‘penghakiman rakyat’ tidak boleh diterima

Nov 8, 2025 | 3:48 PM
Edwin Tong, nacli, pritam singh
Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, ditemui media di pelancaran galeri anjuran Persatuan Rakyat (PA) yang diadakan di Institut Kepimpinan Masyarakat Kebangsaan (Nacli) di Buona Vista pada 8 November. - Foto ST

Kenyataan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, bahawa “penghakiman rakyat” merupakan mahkamah yang lebih besar daripada mana-mana mahkamah di dunia adalah keterlaluan, jelas salah dan sama sekali tidak boleh diterima.

Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, berkata demikian pada 8 November, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Kenyataan beliau dibuat susulan ulasan Encik Pritam dalam satu episod rancangan, The Assembly, terbitan Channel News Asia (CNA), apabila beliau menyatakan beliau percaya “penghakiman rakyat” boleh menjadi lebih besar daripada mana-mana mahkamah di dunia, ketika ditanya mengenai sabitannya pada Februari lalu kerana berbohong di bawah sumpah kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).

Encik Pritam berkata prestasi baik Parti Pekerja (WP) dalam pilihan raya umum pada Mei menunjukkan pandangan masyarakat terhadap peranannya dalam kes melibatkan bekas Anggota Parlimen (AP) WP, Cik Raeesah Khan.

Bercakap di luar satu acara, Encik Tong, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), berkata: “Encik Pritam telah disiasat, kemudian didakwa. Beliau menjalani perbicaraan penuh secara terbuka dan disabitkan oleh mahkamah kerana berbohong kepada COP.

“Hakim memberikan alasan terperinci yang menjelaskan asas sabitan itu. Saya fikir keputusan itu hampir 150 muka surat. Penghakiman ini, sehingga kini, adalah sah dan mengikat (secara undang-undang).”

Encik Tong menambah: “Tiada sesiapa patut memperlekeh atau meremehkan keputusan mahkamah, atau mencadangkan pendapat awam boleh mengatasi keputusan mahkamah.”

Beliau menegaskan idea seperti itu sangat berbahaya, sambil menambah kedaulatan undang-undang adalah tonggak utama sistem di Singapura, agar negara ini tidak diperintah oleh ‘perintahan perusuh’.

Encik Pritam didenda $14,000 atas dua pertuduhan berbohong dengan sengaja kepada COP, satu jumlah di bawah ambang yang boleh menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025.

Rayuan Encik Pritam terhadap sabitan itu telah didengar pada 4 November, dan keputusan mahkamah akan diumumkan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Encik Pritam berjaya mempertahankan kerusinya di GRC Aljunied, mengetuai pasukan lima anggotanya mencapai kemenangan dengan 59.71 peratus undi.

Berhubung rayuan Encik Pritam, Encik Tong berkata pihak berkuasa akan membiarkan proses kehakiman berjalan seperti biasa dan beliau tidak akan mengulas mengenai kes itu.

Encik Tong berucap pada majlis pelancaran galeri anjuran Persatuan Rakyat (PA) yang diadakan di Institut Kepimpinan Masyarakat Kebangsaan (Nacli) di Buona Vista.

Dalam episod rancangan CNA yang disiarkan pada 5 November itu, Encik Pritam juga berkata lawan politiknya akan melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan maruah beliau dan partinya di mata masyarakat.

Apabila ditanya oleh salah seorang ahli panel neurodivergen mengenai tanggapan beliau seorang “penipu” kerana cara beliau menangani kisah palsu Cik Raeesah, Encik Pritam berkata perkara itu tidak mengganggu tidurnya kerana beliau “berada dalam bidang politik”.

Sebagai respons kepada kenyataan itu, Encik Tong berkata: “Inilah jenis reaksi yang kita lihat di seluruh dunia daripada ahli politik populis yang menyerang hakim dan mahkamah apabila keputusan tidak memihak kepada mereka.

“Mereka menyangka diri mereka kebal daripada undang-undang, tetapi politik tidak bertanggungjawab seperti ini tidak seharusnya wujud di Singapura.”

“Singapura dibina atas kejujuran dan ketulusan, tetapi Encik Pritam sedang menjejaskan keutuhan mahkamah kita dengan mengatakan apa sahaja yang dilakukannya tidak penting, asalkan beliau menang pilihan raya,” kata Encik Tong lagi.

Encik Tong menegaskan kenyataan Encik Pritam melemahkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem Singapura, termasuk penguatkuasaan undang-undang dan badan kehakiman.

Beliau menambah mahkamah di sini membuat keputusan berdasarkan fakta, dan tiada sesiapa pun kebal daripada undang-undang termasuk Ketua Pembangkang mahupun mana-mana menteri.

Beliau menekankan jika Encik Pritam tidak bersalah mahkamah akan memutuskan demikian.

Namun jika sabitan itu kekal, maka Encik Pritam harus menerima sepenuhnya dan bertanggungjawab atas tindakannya, ujar Encik Tong.

Mengulas komen Encik Tong pada 8 November, Encik Pritam berkata: “Kata-kata saya tidak ditujukan kepada sistem kehakiman, hakim atau kebebasan mereka, dan tidak memburuk-burukkan institusi ini.”

Dalam kiriman media sosial itu, Encik Pritam berkata terdapat konteks penting sebelum komennya mengenai penghakiman rakyat itu.

Encik Pritam berkata penghakiman terhadap rayuannya dikeluarkan pada Februari, sedang Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengadakan pilihan raya dua bulan kemudian, pada April.

Meskipun terdapat kemungkinan adanya kesan kepada pengundi, WP meraih prestasi baik dalam pilihan raya itu, ujar Encik Pritam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg