Setelah menolak identiti politik, Parti Pekerja (WP) sepatutnya turut membuat kenyataan “yang lebih jelas” berkenaan tuntutan yang dibuat oleh guru agama warga Singapura, Encik Noor Deros, kata para pengamat di podcast NoTapis BHerbual pada 17 Oktober.
Pengarah Pengasas Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, berkata adalah “tidak tepat” apabila Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh, berkata Encik Noor Deros adalah “bukan siapa-siapa” atau seorang ‘nobody’.
Malah, beliau “tidak dapat menerima” bahawa WP tidak mengetahui identiti Encik Noor Deros memandangkan guru tersebut dikenali terutama sebagai antara peneraju gerakan Wear White pada 2014, yang juga disokong dan dihadiri naib pengerusi WP, Encik Faisal Manap.
“Kalau Encik Pritam tidak mengenalinya, mungkin saya boleh menerima. Tapi sesiapa sahaja yang agak prihatin dengan perkembangan masyarakat Melayu, pasti mengenali Encik Noor Deros.
“Sosok Encik Noor Deros ini mula dibangkitkan di ruang awam pada 2014 sewaktu gerakan Wear White, dan beliau terkenal kerana beliau keluar di media. Tidak ada alasan mengatakan beliau seorang yang tidak dikenali. Mungkin orang lupa,” kata Encik Imran.
Demikian yang dikatakan oleh Encik Imran sebagai mengulas tentang Kenyataan Menteri yang disampaikan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, pada 14 Oktober di Parlimen yang menyentuh tentang isu mencampuradukkan agama dan kaum dengan politik.
Podcast BHerbual terbitan Berita Harian (BH) yang dirakam pada 17 Oktober dihoskan bersama oleh Editor Berita, Encik Nazri Hadi Saparin dan Koresponden, Encik Anwar Saleh.
Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, telah menyampaikan kenyataan yang antara lain mempersoalkan masa dan isi jawapan WP selepas Encik Noor Deros meminta rakyat Singapura mengundi mengikut garis perkauman dan agama semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Dalam pertukaran dengan Encik Pritam, Encik Shanmugam berkata kenyataan WP tidak menolak gesaan Encik Noor Deros yang menyeru rakyat Singapura untuk mengundi mengikut garis perkauman dan agama.
WP juga tidak menolak sokongan Encik Noor Deros terhadap Encik Faisal, calon WP di GRC Tampines pada ketika itu, kata Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara.
Dalam jawapannya, Encik Pritam berkata beliau “tidak mengenalinya” dan WP “tidak mempunyai bilik operasi, atau pejabat Pofma (Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian) untuk memantau apa orang asing atau orang bercakap tentang politik”.
Mengulas, Encik Imran berkata meskipun jika Encik Pritam tidak mengenali Encik Noor Deros semasa GE2025, calon-calon dan AP Melayu WP mengenalinya sebelum pilihan raya.
Semasa berucap di Parlimen, Encik Shanmugam akur bahawa Encik Pritam telah berkata dalam temu bual pada 26 dan 27 April bahawa sokongan Encik Noor Deros tidak bermakna WP akan memperjuangkan dasar-dasar beliau.
Namun, Encik Shanmugam berharap parti-parti politik akan memberikan “respons yang lebih segera, terus terang dan tidak berbelah bahagi” jika kejadian sedemikian berlaku lagi pada masa hadapan.
Seorang lagi pengamat dalam podcast BHerbual, Pengarah Urusan Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas, berkata sebagai seorang peguam, beliau memahami mengapa Encik Shanmugam meminta Encik Pritam untuk “tidak berbelah bahagi” dalam menolak tuntutan Encik Noor Deros.
Ini kerana meskipun WP telah menyatakan “tiada janji, komitmen atau perjanjian dibuat kepada mana-mana individu, termasuk Noor Deros, sebagai pertukaran untuk sokongan politik kepada calon WP”, kenyataan tersebut tidak dengan terang-terangan “menolak sokongan Encik Noor Deros”.
“Encik Pritam perlu menyatakannya dengan lebih jelas lagi… Tidak cukup semata-mata menyatakan bahawa WP tidak perlu sokongan Encik Noor Deros. WP perlu menolaknya dengan jelas.
“Kalau di Mahkamah, jika seorang peguam berkata ‘tidak membantah’, Hakim akan tanya, ‘jika kamu tidak membantah, adakah kamu menafikannya?”
“Ada perbezaan antara ‘tidak membantah’ dan ‘menafikan’. Kenyataan menolak sokongan Encik Noor Deros sebegini yang Encik Shanmugam mahukan,” kata Encik Ahmad Nizam.
Dalam pada itu, para pengamat itu juga menekankan, masyarakat berbilang bangsa di Singapura, termasuk kumpulan minoriti, berhak menjangkakan pemimpim politik dari masyarakat mereka untuk membangkitkan aspirasi dan keprihatinan mereka.
Namun, ini perlu dilaksanakan dalam batasan “garis merah”, iaitu membezakan antara menyuarakan aspirasi dan keprihatinan berbanding mengamalkan politik identiti.
Encik Mohamed Imran berpendapat penting untuk melihat konteks dan nuansa selain apa yang dikatakan.
“Kita berhak untuk menyuarakan bahawa sesuatu perkara itu tidak sesuai dengan kontrak sosial yang kita ada di mana semua masyarakat Melayu, Cina atau India itu harus ditanggapi secara saksama.
“Tapi kalau kita terjerumus kepada politik identiti, itu bermaksud kita memainkan sentimen, contohnya menggunakan retorik politik – ‘Melayu tertindas jika kita dipimpin oleh masyarakat Cina’ – Retorik seperti itu adalah berbahaya,” kata Encik Imran.
Beliau menambah tidak ada masalah untuk masyarakat meluahkan keprihatinan mereka terhadap isu-isu tertentu yang dekat dengan nilai agama dan kaum masing-masing – menggunakan contoh usul pemerintah pada 2004 untuk membina resort bersepadu.
Pada ketika itu, beberapa kumpulan agama termasuk masyarakat Islam dan Kristian, serta badan-badan sosial, telah menentang cadangan tersebut kerana ia berpotensi memusnahkan kehidupan warga yang menjadi ketagih kepada tabiat penjudian.
“
“Saya rasa kita tidak perlu menyembunyikan pandangan atau nilai kita dalam mengatakan kita tidak dapat menerima sesuatu dasar itu kerana ia melanggar nilai-nilai keagamaan kita. Tetapi kita juga harus sedar di dalam penggubalan dasar dan undang-undang di Singapura, kita tidak boleh mengatakan hanya pandangan kita yang berhak menjadi undang-undang, kerana ada kelompok yang berbeza pandangan.”“Saya rasa kita tidak perlu menyembunyikan pandangan atau nilai kita dalam mengatakan kita tidak dapat menerima sesuatu dasar itu kerana ia melanggar nilai-nilai keagamaan kita.
“Tetapi kita juga harus sedar di dalam penggubalan dasar dan undang-undang di Singapura, kita tidak boleh mengatakan hanya pandangan kita yang berhak menjadi undang-undang, kerana ada kelompok yang berbeza pandangan.
“Jadi kita mencari titik pertemuannya,”
Podcast tersebut, yang turut disertai Pengarah Urusan Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas, menyentuh tentang isu agama, kaum dan politik, susulan Kenyataan Menteri yang disampaikan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Semasa ucapannya pada 14 Oktober, Encik Shanmugam mengutarakan beberapa insiden semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), di mana terdapat unsur-unsur campur tangan asing dan juga gesaan beberapa individu untuk mengundi berdasarkan garis perkauman.
Ini termasuk insiden campur tangan asing oleh dua anggota Parti Islam SeMalaysia (PAS) di media sosial dan gesaan seorang guru agama warga Singapura, Encik Noor Deros, untuk mengundi calon Parti Pekerja (WP) Encik Faisal Manap yang bertanding di GRC Tampines.
Beliau juga memberi contoh bagaimana calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Damanhuri Abas, telah cuba mendapatkan sokongan masyarakat Melayu/Islam menerusi garis perkauman.
Encik Shanmugam, berkata Encik Damanhuri telah mendakwa bahawa Anggota Parlimen (AP) Melayu Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah “gagal mewakili masyarakat Melayu dan mengabaikan isu mereka”.
Encik Ahmad Nizam berkata terdapat risiko berbahaya jika politik identiti – iaitu mencampuradukkan isu agama dan kaum dengan politik – menjadi semakin berleluasa di Singapura, seperti mana yang dapat dilihat dari negara-negara lain.
“
“Ini yang amat berbahaya jika dibawa ke Singapura. Kalau kita main politik identiti, mereka yang hendak memperjuangkan isu mereka tidak akan bercampur dengan kumpulan atau pandangan lain. Itu yang akan jadi bahaya di sini.”“Di Amerika, kalau awak mempunyai pandangan A, sebagai contoh, awak hanya bergaul dengan mereka yang berpandangan A sahaja. Yang berpandangan B, dengan B sahaja. Tidak ada perbincangan dan pertukaran pendapat.
“Ini yang amat berbahaya jika dibawa ke Singapura. Kalau kita main politik identiti, mereka yang hendak memperjuangkan isu mereka tidak akan bercampur dengan kumpulan atau pandangan lain. Itu yang akan jadi bahaya di sini,” kata Encik Ahmad Nizam.
Encik Imran pula berkata politik identiti sebenarnya berasaskan populisme – iaitu pendekatan politik yang menyasar menarik minat rakyat jelata yang berasa kebimbangan mereka tidak diendahkan oleh kumpulan elit atau pihak yang memegang kuasa.
Jika sesetengah individu mengapi-apikan sentimen yang sangat beremosi seperti ‘pemerintah tidak menjaga maruah bangsa kita’ atau menggunakan sentimen agama, ia boleh memecahbelahkan masyarakat, tambahnya.
“Itu menurut saya berbahaya kerana ia memainkan emosi dan boleh memecahbelahkan masyarakat kita. Apatah lagi kalau kita menggunakan sentimen agama yang sangat dekat pada jiwa kita sebagai orang Melayu.
“Di Singapura, kita sudah menolak unsur-unsur perkauman seperti itu dan meletakkan dasar-dasar seperti masyarakat berbilang kaum, meritokrasi dan juga prinsip negara sekular. Itu harus dipertahankan,” kata Encik Imran.
Pentakrifan isu perlu lebih jelas
Semasa rakaman podcast tersebut, pentakrifan “campur tangan asing” dan “politik identiti” turut dibincangkan, sama ada definisi khusus perlu ditakrifkan di dalam undang-undang atau perlu lebih diperjelaskan agar orang awam dapat memahaminya dengan lebih baik.
Encik Ahmad Nizam, seorang peguam, menjelaskan bukan semua undang-undang perlu didefinasikan secara menyeluruh.
Dalam hal ini, beliau berkata yang lebih penting adalah untuk mengenal pasti kaedah yang digunakan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman atau “menghasut” masyarakat untuk melakukan perkara yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Undang-undang ada yang ditulis bukan dengan terperinci kerana ini adalah sasaran yang bergerak. Ini kerana dengan pengedaran masa, lebih banyak contoh akan dapat dilihat dan undang-undang tidak dapat mengikut dengan rentak yang sama.
“Jadi itulah sebab kadang-kadang undang-undang dibiarkan dengan cara luas sahaja, jadi kalau ada kejadian yang berlaku, nanti kita tidak mahu peguam mengatakan bahawa sesuatu perkara itu tidak dilarang kerana tiada tulisan hitam dan putih,” kata Encik Ahmad Nizam.
Menggulung perbincangan kededua Encik Imran dan Encik Ahmad Nizam menekankan bahawa semua parti politik di sini, termasuk Parti Pekerja (WP), menolak identiti politik, dan ini disifatkan mereka sebagai sesuatu yang baik dan boleh terus diperkukuh.
Di Singapura, undang-undang seperti Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) dan Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum (RHA) tidak membenarkan ucapan berunsur kebencian terhadap mana-mana agama dan bangsa.
Dalam pada itu, Encik Ahmad Nizam dan Encik Imran turut mengingatkan bahawa di Singapura, hak kaum minoriti, khususnya masyarakat Melayu, kekal dilindungi oleh pemerintah di bawah Perkara 152, Perlembagaan.
Encik Imran berkata: “Jadi, jika ada sosok yang mengatakan - ‘kita menolak secara keras sesuatu yang melanggar hak agama kita’ tanpa ingin berdialog, lalu mencampuradukkan isu itu ke dalam politik – (gesaan) itulah yang harus kita tolak.
“Itulah politik identiti dan itulah berbahaya menurut saya, dan wajar ia diperingatkan seperti mana dilakukan oleh Encik Shanmugam di Parlimen”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg