Pemerintah akan terus mencari jalan menyokong atlet lelaki untuk berlatih bagi pertandingan sukan antarabangsa seperti Sukan Olimpik walaupun mereka tidak layak menerima penangguhan jangka panjang daripada Perkhidmatan Negara (NS), kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.
Bercakap kepada media semasa menghadiri pertandingan sukan Kejohanan Masyarakat Kluster Marine Parade pada 7 Julai di OCBC Arena, Encik Tong berkata kementeriannya akan terus menyokong atlet lelaki melalui perjalanan NS sambil mereka berlatih dan bersaing di peringkat tertinggi.
“Kami perlu mencapai keseimbangan kerana ia bukan hanya mengenai NS, ia bukan hanya mengenai sukan.
“Dan kita perlu mencari jalan untuk mengimbangi dua keperluan negara, yang kedua-duanya sangat penting.
“Untuk penangguhan jangka panjang, ada rangka kerja yang jelas dan jika atlet memenuhinya, kami akan menyokong dan kami akan pertimbangkan. Dan dalam kes Max Maeder, permohonannya telah dipertimbangkan dengan baik, dan kami sangat gembira.
“Bagi mereka yang tidak memenuhi kriteria, kami akan cari cara lain untuk menyokong mereka kerana kami memahami betapa pentingnya sukan, tetapi kami juga memahami kedudukan negara dan betapa pentingnya NS untuk negara,” kata Encik Tong.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Berita Harian (BH) sama ada Singapura akan melihat lebih banyak permintaan untuk penangguhan NS jangka panjang diberikan berikutan pemberian penangguhan NS bagi atlet sukan luncur lelayang atau kitefoiler, Maximilian Maeder.
Pada 6 Julai, Encik Tong mengumumkan bahawa Maximilian Maeder diberikan penangguhan daripada NS sepenuh masa sehingga 31 Ogos 2028 oleh Kementerian Pertahanan (Mindef), yang memberi laluan kepadanya berlatih untuk bersaing di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Maximilian juga akan berlatih dan bersaing untuk Olimpik Paris 2024, yang akan diadakan antara 26 Julai hingga 11 Ogos.
Dalam kenyataannya untuk mengesahkan Maximilian telah memenuhi kriterianya untuk penangguhan jangka panjang, Mindef berkata “penangguhan mungkin diberikan kepada ahli sukan yang luar biasa yang dinilai sebagai pemenang pingat berpotensi untuk Singapura pada pertandingan antarabangsa peringkat teratas seperti Sukan Olimpik”, dan setiap kes dinilai melalui perundingan dengan MCCY.
Ia menambah bahawa Maximilian, semasa penangguhannya, “dijangka memberi tumpuan kepada persiapannya untuk Sukan Olimpik 2028 dan mencapai sasaran prestasi penting.
Beliau juga dikehendaki mendapatkan persetujuan MCCY dan Mindef untuk menyertai sebarang aktiviti berbayar, termasuk tajaan komersial”.
Ketika ditanya wartawan untuk mengulas tentang kes perenang negara Quah Ting Wen yang tidak dipilih untuk Sukan Olimpik Paris, Encik Tong berkata keputusan itu dibuat oleh Akuatik Singapura (SAQ) tetapi beliau berharap dan merayu agar Akuatik Dunia akan mempertimbangkan semula.
“Agak sedih perkara ini berlaku. Saya menyerahkan kepada Akuatik Singapura untuk menyelesaikannya kerana itu adalah bidang kuasa mereka dan mereka menyelianya.
“Tetapi saya akan katakan, setakat yang boleh, kita ingin membuat rayuan kepada Akuatik Dunia supaya semua perenang kita layak ke Paris untuk Sukan Olimpik,” kata Encik Tong.
Pada 6 Julai, semasa majlis penyampaian bendera Sukan Olimpik dan Paralimpik Pasukan Singapura, Ting Wen, yang merupakan sebahagian daripada pasukan lari berganti-ganti 4x100m wanita – bersama Quah Jing Wen, Letitia Sim dan Levenia Sim, tidak tergolong dalam senarai 22 atlet untuk Sukan Olimpik.
Presiden Akuatik Singapura, Encik Mark Chay, berkata Ting Wen telah membuat rayuan, yang akan didengar oleh jawatankuasa rayuan persatuan itu pada 7 Julai.
Beliau menambah bahawa “demi kepentingan terbaik pasukan”, Akuatik Singapura akan terus merayu kepada Akuatik Dunia agar Ting Wen juga dapat bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024, dan akan memberikan perkembangan lagi selepas proses rayuan selesai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg