Atlet sukan luncur lelayang atau kitefoiler, Maximilian Maeder telah mendapat kelulusan Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk menangguhkan Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa bagi memberi laluan kepadanya berlatih menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Permohonan bagi penangguhan NS itu bagi Maeder, 18 tahun, turut mendapat sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
Maeder sepatutnya didaftarkan bagi NS pada September 2024, kata Mindef dalam satu kenyataan pada 6 Julai.
Menurut Mindef, kelulusan penangguhan NS sepenuh masa itu adalah dari 12 September 2024 sehingga 31 Ogos 2028.
“Beliau akan didaftarkan bagi NS sepenuh masa sejurus penangguhan itu berakhir,” kata Mindef.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, turut mengumumkan penangguhan itu pada 6 Julai semasa majlis penyampaian bendera rasmi bagi Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024 yang berlangsung di Institut Sukan Belia Nasional.
Beliau berkata: “Kami sentiasa meninjau potensi trajektori dan pembangunan para atlet kami.
“Malah kami meninjaunya melangkaui putaran Olimpik selanjutnya, sekurang-kurangnya dua putaran.
“Dalam hal melibatkan Max Maeder, beliau telah raih pencapaian amat baik. Beliau kini juara dunia seganda, juara Eropah, dan menang emas dalam Sukan Asia tahun lalu.
“Beliau telah memohon bagi penangguhan jangka panjang daripada NS bagi menyokong latihannya dan penampilannya dalam pertandingan melangkaui Olimpik.
“Dan kami berbangga Mindef telah meluluskan penangguhan jangka panjang itu... sehingga selepas Olimpik Los Angeles 2028.
“Ini akan memberinya masa dan ruang terbaik untuk berlatih, bersaing, meninjau melangkaui Paris 2024, dan bagaimana lagi beliau mampu capai aspirasinya dan mempertingkat bakatnya. Jadi kami rasa senang hati kerana beliau atlet muda dan mempunyai potensi hebat.”
Menurut The Straits Times, remaja itu yang bersekolah di rumah melahirkan penghargaannya kepada kelulusan penangguhan NS yang diterimanya.
“Ini akan menyokong saya dalam jangka panjang dalam sukan yang saya ceburi, dengan memberikan jaminan bahawa saya boleh terus berlatih dan bersaing secara sepenuh masa, dan melakukan yang terbaik buat Singapura,” katanya.
Menurut Mindef, Maeder dijangka menumpukan kepada persiapannya menjelang Sukan Olimpik 2028 dan memenuhi sasaran penting pencapaiannya.
“Beliau juga dikehendaki mendapatkan kelulusan MCCY dan Mindef untuk menyertai sebarang kegiatan berbayar, termasuk tajaan komersial,” kata Mindef.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg