Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pas Budaya SG: Pemerintah peruntuk $300j galak lebih ramai ke acara seni, warisan

Edwin: Skim turut perkukuh sokongan bagi penggiat seni, kandungan tempatan tarik audiens baru
Feb 21, 2025 | 6:10 PM
Pemerintah akan menjadikan program seni, budaya dan warisan tempatan  mudah diakses, dengan tawaran dikumpulkan di satu laman web untuk rakyat Singapura pilih.
Pemerintah akan menjadikan program seni, budaya dan warisan tempatan mudah diakses, dengan tawaran dikumpulkan di satu laman web untuk rakyat Singapura pilih. - Foto TAMAN WARISAN MELAYU

Pemerintah akan memperuntukkan $300 juta sepanjang tiga tahun mendatang untuk skim Pas Budaya SG, yang bertujuan menggalak rakyat Singapura menghadiri kegiatan seni dan warisan tempatan.

Ini diumumkan oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, semasa berucap di dialog bersama lebih 200 pihak berkepentingan daripada sektor seni dan warisan di Esplanade pada 21 Februari.

Beliau berkata Pas Budaya SG akan memudahkan lebih ramai rakyat Singapura mendapat akses kepada acara seni dan warisan tempatan.

“Kami mahu menggalak lebih ramai rakyat Singapura menghadiri program seni, budaya dan warisan tempatan kita. Mereka boleh mendapat pendedahan kepada genre bentuk seni berbeza, mengikut pilihan mereka sendiri.

“Kami akan menjadikannya mudah diakses, dengan tawaran yang layak akan dikumpulkan di satu laman web untuk memudahkan rakyat Singapura menyemak dan memilih program yang mereka ingin hadiri.

“Bagi mereka yang tidak pernah menghadiri acara kebudayaan, persembahan atau pameran, ini peluang bagi mereka diperkenalkan dengan tawaran kita yang kaya,” kata Encik Tong

Skim Pas Budaya SG, yang mempunyai nilai kredit $100, kali pertama diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Februari di Parlimen.

Ia boleh ditebus dari 1 September 2025 hingga 31 Disember 2028 dan ditawarkan kepada semua warga Singapura berumur 18 tahun dan ke atas.

Pas tersebut boleh digunakan untuk membeli tiket bagi menghadiri persembahan tempatan, pameran dan pengalaman seperti lawatan pembelajaran dan bengkel penyertaan.

Encik Tong menambah bahawa skim itu juga bertujuan mengukuhkan sokongan kepada penggiat seni dan kandungan tempatan.

Beliau turut menggalak golongan tersebut mengambil kesempatan daripada skim Pas Budaya SG dengan menyediakan “tawaran menarik” bagi memikat lebih ramai penonton baru.

“Ini juga peluang bagi pengamal seni dan warisan tempatan kita bersaing dan mencapai audiens baru.

“Terutama sekali dalam mendekati mereka yang tidak pernah terlibat dengan seni dan warisan tempatan sebelum ini, memikirkan cara menarik minat audiens baru ini,” ujar Encik Tong.

Dalam satu kenyataan pada 21 Februari, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) berkata individu dan pertubuhan berdaftar yang berminat menawarkan program di bawah skim Pas Budaya SG boleh mengemukakan permohonan mulai 10 Mac.

Untuk layak, pemohon perlu memastikan warga atau Penduduk Tetap (PR) Singapura memainkan peranan penting dalam penerbitan konsep, penciptaan, pengeluaran dan pembentangan program, dan memastikan tiket dijual oleh rakan kongsi tiket yang dipilih.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), pengasas Sri Warisan, Cik Som Said, yang juga penerima Pingat Budaya Majlis Seni Kebangsaan (NAC), berkata skim itu sangat berguna kerana ia memberi kredit lumayan untuk orang ramai menghadiri acara seni.

Pas itu juga dapat merangsang ibu bapa yang mahu anak mereka mengenal budaya terlebih dahulu sebelum mereka menjadi penggiat seni aktif.

“Sri Warisan akan menggunakan peluang ini untuk menganjurkan lebih banyak bengkel pengenalan budaya buat ibu bapa dan seisi keluarga.

“Ini juga peluang baik bagi kami menarik audiens baru, yang sebelum ini belum hadir ke acara seni, seperti yang dianjurkan Sri Warisan,” kata jurutari legenda Singapura itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg