Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Edwin Tong: Asas kukuh perlu bagi kecemerlangan sukan S’pura

Beliau juga gariskan enam strategi pacu landskap kesukanan S’pura untuk masa hadapan
Oct 16, 2024 | 9:04 PM
(Dari kiri) Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berinteraksi dengan pemenang pingat gangsa dalam acara sukan luncur lelayang di Olimpik Paris 2024, Maximilian Maeder. Bersamanya adalah ibu bapa Maeder, Hwee Keng and Valentin Maeder.
(Dari kiri) Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berinteraksi dengan pemenang pingat gangsa dalam acara sukan luncur lelayang di Olimpik Paris 2024, Maximilian Maeder. Bersamanya adalah ibu bapa Maeder, Hwee Keng and Valentin Maeder. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Terdapat keperluan untuk membina asas kukuh dalam membentuk kecemerlangan sukan bagi fasa seterusnya di Singapura, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Menteri Kedua Undang-undang, Encik Edwin Tong.

Semasa mengutarakan usul di Parlimen pada 16 Oktober bagi meraikan pencapaian atlet Singapura dalam Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024, beliau menggariskan enam strategi untuk memacu landskap kesukanan Singapura untuk masa hadapan.

Usul yang diutarakan Encik Tong mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Anggota Parlimen (AP) pembangkang dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP).

Encik Tong berkata: “Sejak lima temasya Olimpik dan Paralimpik dari 2008, Singapura telah menunjukkan prestasi baik.

“Kita telah mencapai podium dalam semua sukan Paralimpik sejak 2008 dan memenangi 14 pingat secara keseluruhan.

“Kita juga mencapai podium dalam empat daripada lima edisi Olimpik. Sejajar dengan apa yang telah dikatakan oleh Perdana Menteri semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR), kita harus mencari jalan meneruskan kejayaan sedemikian.”

Dalam ucapan NDR sulung pada Ogos sejak menjadi Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata pemerintah akan mempergiat usaha untuk memperkukuh budaya kesukanan Singapura, memandangkan lebih ramai warga Singapura yang berbakat dalam sukan “memandangnya secara serius, dan mencatatkan prestasi hebat di peringkat tertinggi”.

Justeru, Encik Tong menjelaskan enam strategi ini bukan sahaja “memberi penghormatan kepada kejayaan atlet”, tetapi juga memastikan Singapura dapat meneruskan kejayaan yang dicatatkan ini.

Strategi pertama yang beliau usulkan adalah memperluaskan peluang bagi warga Singapura mencapai aspirasi masing-masing dalam sukan.

Ini setelah penyertaan warga Singapura dalam aktiviti kesukanan meningkat daripada 54 peratus (lebih separuh) warga yang menyertai aktiviti sukan secara mingguan pada 2015 kepada 73 peratus (hampir tiga daripada empat) warga yang menyertai aktiviti sedemikian pada 2023.

Di bawah strategi pertama, beliau beri contoh kerjasama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dalam meningkatkan ‘laluan bakat’ melalui dasar seperti Skim Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA).

Strategi seterusnya berteraskan pengukuhan pentadbiran sukan, yang menurut Encik Tong akan manfaatkan atlet dan struktur sokongan bagi atlet.

Beliau berkata: “Kita merupakan negara yang kecil, dengan jumlah penduduk yang lebih kecil berbanding kebanyakan negara.

“Namun jika kita semua berkongsi (pola pemikiran) ke arah yang sama, kita boleh manfaatkan saiz kita.”

Strategi ketiga tertumpu kepada membangunkan kebolehan kakitangan sokongan atau kakitangan di balik tabir, memandangkan “seluruh ekosistem kesukanan harus berkembang,” ujar Encik Tong.

Beliau menukil contoh kakitangan seperti saintis sukan, jurulatih dan pegawai teknikal, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam mempersiapkan atlet tanah air.

Strategi keempat, jelas beliau, adalah untuk jadikan Singapura sebagai hab untuk acara sukan bertaraf dunia.

Ini, tambahnya, bukan bagi mengembangkan jumlah penonton dalam acara sukan semata-mata, tetapi juga untuk memberikan lebih banyak peluang bagi atlet kebangsaan bertanding dan “membandingkan diri mereka dengan atlet terbaik dunia”.

Pada Mac, beliau mengumumkan pemerintah akan melabur sebanyak $165 juta dalam Dana Acara Sukan Utama (MSEF) sepanjang empat tahun seterusnya bagi mempromosikan Singapura sebagai destinasi pilihan untuk acara hiburan dan sukan.

Strategi kelima yang beliau usulkan adalah memperkukuh sistem sukan Singapura yang lebih inklusif dengan Pelan Induk Sukan bagi Golongan Kurang Upaya (DSMP), yang akan dilancarkan pada November.

Di bawah strategi ini, kebolehcapaian bagi kemudahan sukan awam akan dipertingkatkan, antara lain, tambah Encik Tong.

Strategi terakhir yang dikongsi beliau adalah memperkukuhkan sistem sukan prestasi tinggi.

Di bawah strategi ini, atlet terbaik negara diberikan persediaan terbaik, termasuk dari segi latihan mahupun pertandingan tahap tinggi, katanya.

Dalam perbahasan terhadap usulan Encik Tong, AP pembangkang, Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang), mengutarakan sokongannya tetapi menjelaskan ganjaran kewangan yang diterima atlet Olimpik dan Paralimpik kebangsaan perlu saksama dalam program insentif ganjaran masing-masing.

Ini memandangkan atlet Olimpik Singapura yang menang emas meraih ganjaran kewangan $1 juta manakala pemenang pingat emas bagi atlet Paralimpik meraih $500,000 bagi setiap emas, hingga maksimum tiga pingat emas.

Sebagai menjawab AP Jamus Lim, Encik Tong berkata nilai insentif ini dikemukakan oleh entiti bukan pemerintah seperti Tote Board dan diputuskan oleh mereka.

“Antara struktur Olimpik dan Paralimpik, terdapat perbezaan. Tetapi perbezaan ini tidak bermakna yang satu adalah lebih baik… daripada yang lain,” kata Encik Tong.

Faktor lain juga mempengaruhi keputusan sektor swasta, kata Encik Tong.

“Mereka perlu memikirkan sama ada ia mampan. Adakah ini program insentif yang mendorong tingkah laku yang betul? Dan berapa lamakah ini boleh berlangsung?”

Sebagai contoh, untuk renang, terdapat 141 acara renang Paralimpik di mana pingat dianugerahkan, berbanding 37 dalam Sukan Olimpik.

“Jadi, apabila sektor swasta serta Tote Board melihat kepada perkara ini, ia adalah antara pertimbangan yang mereka fikirkan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg