Setiap Pilihan Raya Umum (GE) adalah masa untuk pengundi memilih mutu individu dan personaliti yang sesuai untuk mewakili pandangan penduduk, dan secara kolektif, membantu membentuk dasar yang akan memberi kesan kepada mereka.
Ia juga masa untuk pengundi meneliti latar belakang calon, bagaimana mereka dapat menyumbang dan sama ada mereka dapat berhubung dengan penduduk, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.
Namun, Encik Tong mengingatkan bahawa setiap calon adalah juga sebahagian daripada parti lebih besar, dan adalah penting bagi pengundi melihat “kekuatan kolektif parti” dan sama ada parti tersebut berpandangan jauh demi penduduk.
“Kekuatan kolektif parti, keupayaannya untuk menyatukan penduduk, keupayaannya untuk berfikir dan merancang jangka panjang, dan melaksanakan (rancangan) pada jangka panjang juga menjadi faktor penting (bagi pengundi).
“Jadi (personaliti individu) bukanlah tidak relevan, tetapi ia juga merupakan faktor yang perlu diambil kira apabila kita melihat pada metrik yang lebih luas dan pertimbangan yang lebih luas untuk setiap pengundi,” kata Encik Tong.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri podcast, Berita Harian (BH) – BHerbual NoTapis, pada 14 April – yang dihoskan bersama oleh Editor Berita, Encik Nazri Hadi Saparin, dan Koresponden, Cik Nur Fathin Awalludin.
Turut hadir adalah muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Hazlina Abdul Halim, yang diumumkan pada 12 April akan bertanding di kawasan Siglap dalam GRC East Coast, yang kini dikendalikan Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Dr Mohamad Maliki Osman.
Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar) telah mengumumkan beliau tidak akan bertanding di GRC tersebut, namun tidak mengesahkan sama ada beliau akan bersara atau bertanding di kawasan lain pada GE2025.
Semasa sesi rakaman podcast itu, Encik Tong turut ditanya sama ada beliau bimbang jika Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, akan dipindahkan dan bertanding di GRC East Coast.
Beliau menjawab: “Ini bukan soal bimbang atau tidak bimbang.
“Kami mempunyai pasukan yang akan dapat mewakili penduduk East Coast dengan baik. Mereka telah berkhidmat sekian lama... dan telah bekerjasama dengan penduduk selama bertahun-tahun.”
Beliau menambah bahawa mutu parti, khususnya dalam keupayaannya memimpin di peringkat nasional, dan membuat keputusan sukar berhubung isu yang melibatkan rakyat Singapura adalah faktor utama yang perlu dipertimbangkan oleh pengundi.
Encik Tong berkata adalah penting untuk pengundi memilih sebuah parti yang boleh memikir tentang jangka panjang rakyat Singapura.
“Demokrasi apakah yang kita mahu? Seberapa mana produktif dan membina kita mahu melihat Parlimen? Dan bagaimanakah keadaan Singapura pada masa hadapan untuk anak-anak kita dan seterusnya?
“Saya fikir ini semua faktor yang semua orang akan mengambil kira, bersama-sama dengan pertimbangan lain,” kata Encik Tong.
Beliau berkata selain isu nasional, pengundi juga akan mengambil kira khidmat dan usaha yang telah dijalankan oleh Anggota Parlimen (AP) mereka, seperti penambahbaikan kepada prasarana estet perumahan dan kemudahan baru yang dibangunkan.
Ketika ditanya tentang keprihatinan utama penduduk GRC East Coast, Encik Tong berkata peluang pekerjaan, kos sara hidup dan ekonomi negara merupakan antara kebimbangan utama penduduk.
Ini memandangkan kebanyakan penduduknya di Joo Chiat, serta di GRC East Coast, merupakan pemilik perniagaan kecil dan sederhana (SME).
Beliau berkata mereka bimbang dengan kos yang semakin meningkat untuk menjalankan perniagaan seperti kos menyewa, kos untuk mengambil pekerja serta kos pematuhan peraturan perniagaan.
“Mereka bimbang tentang kepastian jangka panjang dan ramalan berkaitan persekitaran perniagaan.
“Kami telah mula menubuhkan jawatankuasa beberapa bulan lepas untuk melihat bagaimana kami boleh mengurangkan halangan dan memudahkan perniagaan mengatasi kos pematuhan,” kata Encik Tong.
Pada GE2020, Encik Tong merupakan antara anggota pasukan PAP yang bertanding di GRC Marine Parade.
Menyusuli perubahan sempadan yang diumumkan oleh Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya pada 11 Mac, estet di Chai Chee dan Joo Chiat, yang merupakan sebahagian dari GRC Marine Parade, kini digabungkan ke dalam GRC East Coast.
Mengulas tentang cabaran kos sara hidup tinggi yang dihadapi penduduk, Encik Tong berkata pemerintah amat prihatin dengan kebimbangan penduduk dan telah melakarkan pelbagai inisiatif untuk “menangani kos sara hidup tinggi secara berstruktur”.
Turut disentuh ialah bantuan seperti baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), bantuan untuk keluarga yang mempunyai anak-anak kecil dan keprihatinan pemerintah untuk mengurangkan beban yang dihadapi penjaga yang perlu mengurus ibu bapa yang menua.
Encik Tong berkata pemerintah mengambil berat tentang langkah menyokong penjaga, bukan sahaja dari segi memberi bantuan kewangan, malah dari segi memberikan mereka peluang berehat dan mendapat sumber sokongan lain.
“Sokongan untuk penjaga... kerana mereka mempunyai ibu bapa yang sudah tua. Jadi ada keperluan untuk menyokong mereka dengan lebih baik dalam konteks menjaga ibu bapa.
“Saya harap (warga emas kita) boleh meniti usia lanjut di kawasan yang sama, di mana mereka amat kenal dan selesa, dengan anak-anak dan orang tersayang dapat menjaga mereka,” kata Encik Tong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg