Perbuatan kecil yang dilakukan secara konsisten mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan seseorang dan membantu membina masyarakat Singapura yang lebih kukuh dan prihatin, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong.

Beliau menekankan bahawa meskipun dasar dan program pemerintah menyediakan struktur sokongan yang penting, ia tidak dapat menggantikan sentuhan manusia, rasa ihsan serta keprihatinan antara anggota masyarakat.

Encik Edwin Tong berkata demikian ketika menghadiri Singapore Silent Heroes Awards (SSH) 2026 sebagai tetamu terhormat pada 19 September di Tower Ballroom, Shangri-La Singapore.

Penerima anugerah Belia Inspirasi di Singapore Silent Heroes Awards 2026, Encik Saifuddin Arif (dua dari kiri), mula berkecimpung dalam kerja kesukarelawanan ketika masih remaja dan telah menyumbang kepada masyarakat selama sedekad. Bergambar bersamanya ialah (dari kiri) Pengerusi SSH Movement, Encik MP Sellvem; Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong; dan Ketua, Anugerah Nasional, SSH Movement, Encik Ang Eng Tayt.
Penerima anugerah Belia Inspirasi di Singapore Silent Heroes Awards 2026, Encik Saifuddin Arif (dua dari kiri), mula berkecimpung dalam kerja kesukarelawanan ketika masih remaja dan telah menyumbang kepada masyarakat selama sedekad. Bergambar bersamanya ialah (dari kiri) Pengerusi SSH Movement, Encik MP Sellvem; Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong; dan Ketua, Anugerah Nasional, SSH Movement, Encik Ang Eng Tayt. - Foto PERSATUAN AWAM SINGAPURA (CAS)

Acara itu mengiktiraf individu yang menyumbang kepada masyarakat secara senyap tanpa mengharapkan ganjaran atau perhatian.

Menurut beliau, tindakan seperti menjenguk warga emas yang tinggal bersendirian, membimbing anak muda yang hilang keyakinan atau memberi peluang kedua kepada bekas pesalah mungkin kelihatan biasa, tetapi boleh membawa kesan besar apabila dilakukan berterusan.

“Tiada seorang pun yang mampu melakukan segala-galanya, tetapi setiap orang mampu melakukan sesuatu,” katanya, sambil menambah bahawa kekuatan sesebuah masyarakat turut terletak pada kesediaan orang ramai untuk menjaga satu sama lain.

Beliau berkata pemerintah akan terus membangunkan dasar dan program bagi menyokong masyarakat, namun sistem yang terbaik sekalipun tidak mampu menyediakan sepenuhnya unsur seperti persahabatan, rasa kekitaan dan keyakinan bahawa ada seseorang yang mengambil berat.

Edisi ke-13 anugerah anjuran Persatuan Awam Singapura (CAS) itu mengiktiraf individu atas sumbangan tanpa mengharapkan ganjaran mereka kepada kemanusiaan dan masyarakat.

Ia dibahagikan kepada lima kategori: Jiwa Kemanusiaan, Belia Inspirasi, Dewasa Cemerlang, Perintis Harapan dan Warga Asing Prihatin.

Selain penerima anugerah utama, lima pelajar turut menerima Anugerah APEX.

Mereka dipilih daripada 194 pelajar daripada 81 sekolah, merangkumi peringkat sekolah rendah hingga maktab rendah, yang sebelum ini menerima Student Silent Heroes Award pada Mei 2026.

Menyentuh penglibatan golongan muda, Encik Tong berkata pencapaian mereka tidak seharusnya dinilai berdasarkan keputusan akademik semata-mata.

Sebaliknya, nilai yang mereka pegang, cara mereka melihat masyarakat dan kesediaan untuk menyumbang juga penting dalam membentuk generasi Singapura akan datang.

Rangkaian alumni SSH pula membolehkan penerima pengiktirafan terus menyumbang selepas majlis anugerah, termasuk dengan berkongsi pengalaman dan sumber serta bekerjasama dalam inisiatif yang menyokong warga emas, pelajar, keluarga dan golongan rentan.

Encik Edwin Tong berkata usaha membina masyarakat yang lebih prihatin memerlukan pendekatan seluruh masyarakat, dengan pemerintah menyediakan struktur dan sokongan sementara individu membawa unsur kemanusiaan yang tidak dapat digantikan oleh sistem.

“Masyarakat yang kukuh dibina bukan sahaja melalui institusi dan program, tetapi melalui tindakan kebaikan, ihsan dan keprihatinan setiap hari,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti