Topik diikuti
Pergi ke BHkuEdwin Tong: Usaha pemulihan perlu berkembang seiring perubahan bentuk radikalisasi
Edwin Tong: Usaha pemulihan perlu berkembang seiring perubahan bentuk radikalisasi
Pendekatan Singapura terhadap usaha pemulihan perlu berkembang seiring trend individu yang menjadi radikal oleh fahaman bercampur aduk, Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE), kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong.
Dalam ucapannya di majlis penghargaan makan tengah hari buat sukarelawan masyarakat anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) di Hotel Fairmont pada 19 September, Encik Tong berkata pendekatan Singapura perlu menangani bukan sahaja aspek ideologi, malah faktor psikologi, emosi dan sosial yang menyebabkan seseorang individu lebih terdedah kepada pengaruh ekstremis.
“Jadi, ia bukan sekadar mengenai ideologi atau pemikiran yang mempengaruhi seseorang individu, malah apakah faktor sosial, faktor persekitaran dan kadangkala faktor ini sangat bersifat peribadi,” katanya.
Individu yang menunjukkan ciri CoVE tidak lagi berpegang kepada satu ideologi yang jelas dan menyeluruh, sebaliknya memilih unsur daripada pelbagai ideologi ekstremis untuk membentuk pandangan dunia peribadi yang, pada pandangan mereka, membenarkan penggunaan keganasan.
Kes remaja berusia 14 tahun yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Jun 2026 antara contoh CoVE.
Walaupun baru berusia 14 tahun, remaja itu dipengaruhi pelbagai naratif ekstremis dan telah membuat persiapan untuk melancarkan serangan tikaman di sekolahnya yang boleh membahayakan ramai mangsa.
Dia telah menonton propaganda ISIS, mengagumi penyerang yang melakukan serangan beramai-ramai di luar negara dan menyokong beberapa unsur fahaman ekstremis ganas yang lain.
Encik Tong berkata kaunseling agama kekal sebagai antara tonggak utama bagi mereka yang memerlukannya.
Namun, usaha itu perlu semakin dilengkapi dengan sokongan psikologi, bimbingan dan tunjuk ajar, program kesejahteraan siber, latihan kemahiran hidup serta penglibatan keluarga dan masyarakat yang lebih kukuh.
“Oleh kerana setiap individu mempunyai kerentanan yang berbeza, usaha pemulihan mereka perlu disesuaikan dengan keadaan dan keperluan khusus masing-masing,” kata Encik Tong.
Sementara itu, beliau berkata tindakan melaporkan tanda awal radikalisasi bukanlah satu bentuk pengkhianatan terhadap orang tersayang, sebaliknya merupakan cara paling berkesan membantu mereka.
“Kita dapat melihat hasilnya – 80 peratus tidak kembali melakukan kegiatan sedemikian. Itu merupakan petunjuk yang amat kuat tentang nilai rangka kerja pemulihan yang kita sediakan,” ujarnya.
Dengan isu radikalisasi dalam kalangan belia semakin membimbangkan, terdapat keperluan untuk meningkatkan lagi usaha mendekati golongan muda, kata Encik Tong.
Ini antara lain akan dilakukan dengan mewujudkan lebih banyak peluang bagi golongan muda untuk menyebarkan mesej SGSecure dalam kalangan rakan sebaya mereka, melengkapkan mereka dengan kemahiran Kesiapsiagaan Kecemasan (EP), serta tampil sebagai Responder SGSecure.
