Pasukan Petugas Pembangunan Belia Melayu/Islam akan melaksanakan maklum balas yang sudah diterima daripada masyarakat sejak ia ditubuhkan, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Cik Rahayu berkata beberapa inisiatif yang merupakan hasil maklum balas dikumpulkan menerusi sesi bersama golongan belia akan diumumkan sempena Festival Belia M Kuasa Tiga + (M³+) di Taman Warisan Melayu pada 22 Ogos ini.

Bercakap pada majlis penutup Festival Belia DKSG 2026, yang julung kali diadakan di Taman Warisan Melayu pada 11 Julai, beliau yang mempengerusikan bersama pasukan itu bersama Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, menjelaskan:

“Kami telah berjumpa dengan ratusan belia daripada pelbagai lapisan kehidupan dan bertanya satu soalan yang mudah tetapi penuh makna iaitu apakah yang anda perlukan untuk maju ke hadapan?

“Kerja pasukan petugas ini tidak berhenti di peringkat mendengar sahaja. Kami sedang menterjemahkan setiap suara yang kami dengar kepada tindakan yang nyata dan bermakna, dan saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan inisiatif kami akan diumumkan di Festival Belia M³+ pada 22 Ogos, di tempat yang sama, di sini juga, Taman Warisan Melayu.”

Beliau bagaimanapun tidak memberi perincian lebih lanjut mengenai inisiatif itu.

Sambil mengajak para belia menghadiri Festival Belia M³+ bagi mengikuti pengumuman inisiatif berkenaan, Cik Rahayu menambah masa depan masyarakat kita bukan sesuatu yang dibina untuk belia, tetapi sesuatu yang dibina bersama mereka.

Menurut Cik Rahayu lagi, pasukan petugas itu, yang dibentuk pada Ogos 2025, merupakan usaha penting memperkasa pembangunan belia dalam masyarakat dan misinya adalah memastikan setiap belia Melayu/Islam bersedia menghadapi masa depan, kukuh dari segi jati diri, melibatkan diri dalam program nasional dan berinteraksi dengan masyarakat berbilang bangsa bagi memperkukuh perpaduan.

Dalam ucapannya juga, beliau berkata golongan belia merupakan jambatan antara legasi silam dengan aspirasi masa depan.

Kata Cik Rahayu, pendekatan itu juga penting dalam memastikan warisan budaya Melayu, termasuk seni dikir barat, terus subur dan relevan dalam masyarakat Singapura yang semakin rencam.

Usaha menggalak lebih ramai belia mendekati warisan budaya menjadi antara tumpuan acara tersebut.

Festival sulung itu menghimpunkan pelajar daripada 10 institut pengajian tinggi menerusi 15 program termasuk persembahan, forum, bengkel dan sesi perkongsian sepanjang hari.

Antara kegiatan ialah podcast langsung NoTapis oleh Berita Harian sebagai rakan media rasmi festival yang membincangkan mengenai bagaimana seni dan warisan budaya mampu membuka ruang pembangunan diri dan kerjaya untuk generasi muda.