Topik diikuti
Pergi ke BHkuRadikalisasi golongan muda berubah, pencegahan perlu mula lebih awal
Tiga remaja ditahan di bawah ISA. Mereka tunjukkan ciri Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE), iaitu dipengaruhi pelbagai fahaman melampau yang kadangkala bercanggah
Radikalisasi golongan muda berubah, pencegahan perlu mula lebih awal
Tiga remaja Singapura berusia 14 hingga 19 tahun baru-baru ini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Singapura. Tiada seorang pun mempunyai kaitan dengan pertubuhan pengganas. Mereka menjadi radikal sendiri menerusi kandungan dalam talian dan bahan melampau.
Seorang daripada mereka baru berusia 14 tahun apabila perubahan itu dilaporkan bermula selepas algoritma memaparkan rakaman pertempuran kumpulan IS (Islamic State), atau ISIS, hasil satu carian.
Pihak berkuasa menganggap ketiga-tiganya menunjukkan ciri Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE), iaitu dipengaruhi pelbagai fahaman melampau yang kadangkala bercanggah, termasuk propaganda IS, fahaman keunggulan kaum putih, pandangan incel atau golongan bujang tanpa rela yang membenci wanita, serta pengagungan penembak rambang, lalu mereka membentuk alasan tersendiri untuk melakukan keganasan.
Ini bukan sekadar kekeliruan fahaman, tetapi mencerminkan perubahan asas dalam cara seseorang menjadi radikal.
Daripada Pertubuhan kepada Individu
Hampir sepanjang dua dekad lalu, usaha memerangi keganasan tertumpu pada penumpasan kumpulan. Sama ada Jemaah Islamiyah atau IS, coraknya jelas: pertubuhan menyebarkan ideologi, mengambil anggota dan mengarahkan serangan. Tumpaskan pertubuhan itu, maka ancamannya turut lesap.
Corak ini masih boleh digunakan bagi rangkaian teratur, tetapi semakin kurang menjelaskan kes golongan muda di Singapura yang menjadi radikal tanpa penglibatan pertubuhan.
Mereka menemui kandungan keganasan melalui cadangan algoritma, komuniti permainan dalam talian, aplikasi mesej yang disulitkan dan media sosial, sambil menyerap fahaman daripada pelbagai aliran melampau tanpa bimbingan pihak yang mengambil anggota.
Konsep rizom oleh ahli falsafah Perancis Gilles Deleuze dan Félix Guattari menggambarkan perubahan ini. Berbeza daripada pokok yang berpunca daripada satu batang sebelum bercabang, rizom meluas ke pelbagai arah melalui titik hubungan yang berbeza tanpa satu punca.
Radikalisasi dalam talian hari ini juga tidak mengikut satu laluan, tidak berpusat dan berbeza mengikut individu.
Jati Diri Sebelum Ideologi
Memahami CoVE memerlukan penilaian semula peranan fahaman. Penyelidikan, termasuk Quest for Significance Theory (Teori Pencarian Makna) oleh Arie W. Kruglanski dan kerangka laluan radikalisasi terkini, menunjukkan keperluan psikologi yang lebih mendalam sering muncul terlebih dahulu, sebelum seseorang berpegang pada sesuatu ideologi.
Golongan muda yang berasa tersisih, dihina atau hidup tanpa tujuan mudah menerima fahaman melampau kerana ia menawarkan penerimaan, jati diri, kedudukan dan kepastian, bukan kerana mereka diyakinkan oleh doktrin tertentu.
Remaja boleh menggabungkan propaganda IS dengan pandangan incel yang membenci wanita walaupun kedua-dua fahaman itu tidak sehaluan. Mereka memenuhi fungsi emosi yang sama: menyediakan rangka pemikiran yang membolehkan penderitaan difahami dan keganasan kelihatan wajar. CoVE lebih tepat ditafsir sebagai pertemuan fungsi psikologi, bukannya ideologi. Fahaman melampau boleh saling digantikan kerana memenuhi keperluan asas yang sama.
Algoritma mempercepatkan proses ini tetapi bukan satu-satunya punca. Masalah keluarga, buli, pengasingan sosial dan pergolakan jati diri kekal penting dalam memahami mengapa sesetengah remaja lebih mudah terpengaruh sedangkan yang lain tidak.
Pencegahan Mesti Bermula Lebih Awal
Kerangka memerangi keganasan Singapura sejak sekian lama mengutamakan campur tangan awal. Menerusi ISA, dengan sokongan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (IAAG) dan kerjasama seluruh pemerintah, pihak berkuasa telah bertindak sebelum keganasan berlaku. Kerangka ini masih berkesan dan wajar dikekalkan.
Namun, CoVE menunjukkan betapa awal radikalisasi kini bermula. Arahan Sekatan (RO) atau Arahan Penahanan (OD) menandakan tahap di mana campur tangan keselamatan diperlukan.
Dalam beberapa kes baru-baru ini, proses itu bermula seawal 12 tahun, lama sebelum dikesan agensi keselamatan. Pencegahan perlu bermula lebih awal, ketika golongan muda yang mudah terpengaruh masih boleh didekati tanpa tindakan keselamatan.
Tiga kes terbaharu turut menunjukkan proses menjadi radikal sendiri masih boleh dikesan. Remaja berusia 15 tahun itu berkongsi kandungan melampau dengan keluarga dan rakan, namun tiada seorang pun melaporkannya. Sebaliknya, kenalan remaja berusia 19 tahun dan yang berusia 14 tahun memaklumkan pihak berkuasa. Mereka yang rapat dengan golongan muda sering mengenal pasti tanda amaran tetapi tidak semestinya tahu cara bertindak.
Tiga Keutamaan untuk Penggubal Dasar
Pertama, ibu bapa dan penjaga mesti menjadi rakan kongsi dalam pencegahan. Mereka sering menjadi orang pertama menyedari perubahan tingkah laku, hubungan, bahasa dan tabiat dalam talian.
Penglibatan ibu bapa bukan bermaksud pengawasan, tetapi mengekalkan hubungan terbuka, memahami apa yang dialami anak-anak dalam talian dan mengenal pasti apabila kekecewaan berubah menjadi pengagungan pembunuh beramai-ramai, minat melampau terhadap senjata atau ancaman terhadap individu atau golongan tertentu.
Ibu bapa tidak perlu membuat pertimbangan keselamatan, tetapi perlu peka, mendekati anak dan mendapatkan bantuan. Pelaporan awal harus dilihat sebagai perlindungan, bukan hukuman atau pengkhianatan. Ia membolehkan pemulihan sebelum bahaya berlaku dan penahanan diperlukan.
Kedua, sekolah mesti lebih berupaya melihat tanda amaran dalam tingkah laku pelajar. Guru dan kaunselor lebih mudah mengesan pengasingan sosial, minat melampau terhadap kandungan ganas, pergolakan jati diri atau perubahan tingkah laku berbanding kenyataan ideologi secara terang-terangan.
Latihan harus memberi tumpuan kepada petunjuk tingkah laku serta menyediakan saluran rujukan yang jelas kepada kaunselor, ahli psikologi dan keluarga, bukan terus kepada agensi keselamatan.
Jika rujukan keselamatan menjadi satu-satunya pilihan, guru mungkin teragak-agak kerana bimbang menjejaskan masa depan kanak-kanak. Lalu, mereka berdiam diri walaupun campur tangan awal masih boleh dilakukan.
Ketiga, usaha pencegahan mesti turut sampai ke ruang digital. Kempen kesedaran awam kekal penting, tetapi kerjasama dengan syarikat teknologi dan platform permainan boleh membantu mengenal pasti golongan dalam talian yang berbahaya lebih awal.
Kehadiran digital pihak berkuasa sendiri, termasuk akaun SGSecure Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) di Instagram dan TikTok, harus diperluas melalui suara rakan sebaya yang berwibawa dan duta golongan muda di wadah tempat kandungan CoVE tersebar. Mesej rasmi sahaja tidak dapat sampai kepada golongan muda paling mudah terjejas. Rakan sebaya dalam ruang sama mampu melakukannya.
Menghubungkan Tanda-tanda Amaran
Tiada satu institusi pun melihat keseluruhan kehidupan seseorang anak muda. Ibu bapa melihat keadaan di rumah, rakan sekelas melihat perkongsian dalam sembang berkumpulan, guru melihat tingkah laku di sekolah, pemimpin agama mendengar kepercayaan yang diselewengkan, platform melihat corak kandungan dan agensi keselamatan melihat hasil akhirnya.
Pendekatan seluruh masyarakat bermaksud menghubungkan pelbagai pemerhatian ini agar tanda amaran tidak terlepas atau ditangani secara berasingan.
Matlamatnya bukan menjadikan keluarga, bilik darjah atau golongan masyarakat sebahagian daripada sistem keselamatan. Sebaliknya, sistem penjagaan yang saling terhubung perlu diwujudkan supaya maklumat sampai kepada pihak yang mampu menilainya. Golongan muda juga perlu mendapat sokongan sebelum rasa tidak puas hati dan penglibatan dalam dunia dalam talian berkembang menjadi rancangan keganasan.
Pendekatan pemulihan Singapura yang menggabungkan agensi keselamatan, kaunselor agama, ahli psikologi, pendidik dan pertubuhan penjagaan lanjut sudah mencerminkan kaedah pelbagai disiplin ini. Langkah seterusnya ialah memperluas kerjasama tersebut supaya ia bermula lebih awal.
Kesimpulan
CoVE menandakan perubahan dalam cara sesetengah golongan muda membentuk jati diri yang berkait dengan keganasan melalui pelbagai laluan digital, rasa tidak puas hati dan faktor yang menjadikan mereka mudah terpengaruh di luar talian, tanpa arahan mana-mana pertubuhan.
Agensi keselamatan kekal penting, tetapi mereka tidak seharusnya menjadi pihak pertama yang campur tangan.
Pencegahan bermula di rumah, sekolah, dalam kalangan rakan dan masyarakat, tempat perubahan tingkah laku mula dikesan. Tiga kes terbaharu menunjukkan padah berdiam diri dan pentingnya bertindak tepat pada waktunya.
Pendekatan seluruh masyarakat memerlukan kesediaan bersama untuk menyedari, mendekati dan bertindak sebelum identiti berasaskan keganasan berakar dan langkah keselamatan menjadi satu-satunya pilihan.
Noor Huda Ismail ialah Zamil Pelawat di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau mengendalikan laman web masyarakat yang memenangi anugerah, www.ruangobrol.id.
Ahmad Saiful Rijal ialah Zamil Penyelidik Bersekutu di RSIS. Beliau mempelajari undang-undang Islam di Universiti Al Azhar, Kaherah, dan merupakan kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).
Artikel ini pertama kali diterbitkan dalam RSIS Commentary.

