Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, melawat Brunei sebagai wakil Singapura dari 14 hingga 15 Julai bagi menghadiri sambutan ulang tahun ke-79 Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Semasa lawatannya, Encik Tong, yang ditemani isterinya, turut berkesempatan menghadap Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam satu kenyataan pada 15 Julai.
“Encik Tong menyampaikan ucapan selamat hari lahir daripada para pemimpin Singapura dan merakamkan penghargaan atas sumbangan Sultan Hassanal Bolkiah dalam jalinan hubungan istimewa yang berkekalan antara Singapura dengan Brunei.
“Sultan Hassanal Bolkiah dan Encik Tong mengesahkan komitmen bersama kedua-dua negara untuk memperdalam lagi kerjasama dua hala, terutama dengan latar belakang ketidaktentuan sejagat yang semakin meningkat,” kata MFA.
Encik Tong dan isterinya turut mengadakan pertemuan bersama Putera Mahkota Brunei merangkap Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Putera Al-Muhtadee Billah, dan isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.
Dalam pertemuan itu, mereka membincangkan cara mengukuhkan lagi hubungan rakyat dengan rakyat dalam kalangan generasi pemimpin, pegawai dan belia dari kedua-dua negara.
Semasa lawatannya, Encik Tong turut bertemu Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II Brunei, Pehin Halbi Yussof; dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei, Datuk Shamhary Mustapha.
“Pertemuan Encik Tong dengan menteri Brunei menekankan bidang kerjasama dua hala yang pelbagai dalam perdagangan, pertahanan, keselamatan makanan dan ekonomi hijau, serta meneroka cara meluaskan kerjasama,” kata MFA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg