Bagi ejen hartanah Noonal Farina Raja Mohamed, tanggungjawab yang dipikul bagi membantu pelanggannya sangat besar.
Bukan sekadar membantu mereka menjual atau membeli flat impian, kebajikan dan pemeliharaan aset mereka juga perlu diambil kira. Bagi beliau, mencapai keuntungan semata-mata bukanlah matlamat utama.
Cik Noonal adalah Pengarah Bersekutu Bahagian di bawah naungan Dallas Hassan OrangeTee. Beliau berkecimpung dalam dunia hartanah sejak 2012, dan menyertai syarikat OrangeTee & Tie Pte Ltd pada 2021.
Wanita berusia 40 tahun bersemangat jitu itu menggunakan pendekatan berbeza bagi setiap pelanggannya dan memastikan keperluan mereka dipenuhi seperti yang diinginkan mereka.
“Pendekatan saya berbeza daripada ejen rumah lain. Ia bukan sekadar meraih keuntungan, tetapi lebih untuk mengukuhkan dan mengusulkan pilihan strategik bagi membantu mereka meningkatkan mutu kehidupan dan harta benda mereka. Saya akan cuba membantu mereka mengumpulkan kekayaan.
“Saya percaya pemilihan dan pemilikan harta adalah salah satu cara terbaik untuk membina kekayaan dan kestabilan kewangan,” ujar Cik Noonal.
Baik bagi pembeli berpengalaman mahupun pertama kali, beliau menggunakan strategi berbeza selaras dengan keperluan dan matlamat jangka panjang mereka.
“Paling penting, saya menekankan perlindungan aset kita untuk anak-anak dalam bentuk perancangan warisan.
Memandangkan kebanyakan rumah kita adalah pegangan pajakan selama 99 tahun, mengetahui bila harus jual dan mengekalkan nilai aset adalah sangat penting.
“Di situlah saya membantu mereka untuk bebas daripada pinjaman atau membantu mengurangkan pinjaman bagi membolehkan mereka bersara awal,’’ tambahnya.
Ini akan membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih bermutu. Beliau menekankan perancangan warisan melalui perlindungan dan perkembangan aset hartanah adalah kepakarannya.
Cik Noonal menggunakan teknologi dalam semua urusan beli dan jual serta menggunakan aplikasi InstantPro yang dicipta oleh ketua jabatan OrangeTee AAG, Encik Lester Tan.
Aplikasi itu membantu memudahkan semua tugas dan berupaya memberikan pelbagai gambaran, antaranya harga penjualan dan keuntungan hartanah.
Ia juga berupaya memperluaskan pencarian hartanah yang ideal, saiz rumah dan kawasan yang menarik minat pelanggan.
Pasukannya juga mempunyai platform podcast dalam bahasa Inggeris sendiri, Property Sense SG’, untuk berkongsi pengetahuan dan perkembangan mengenai hartanah kepada orang ramai.
Dalam industri yang sentiasa berkembang seperti hartanah, penggunaan teknologi bukan sahaja membolehkan beliau berdaya saing, bahkan dapat memberikan perkhidmatan lebih berkesan.
“Aplikasi yang dicipta oleh pemimpin AAG kami, Lester Tan, memberikan banyak kelebihan dan menjimatkan masa,” kata Cik Noonal.
Aplikasi itu dapat memberi pelanggan maklumat, laporan atau maklumat yang diinginkan dalam hanya beberapa saat.
“Pemasaran digital melalui media sosial, podcast, portal hartanah dan kempen e-mel kini juga banyak membantu dalam kelulusan dan pembelian jualan serta transaksi hartanah,” kata Cik Noonal.
Sejak terlibat dalam bidang hartanah, Cik Noonal telah banyak membantu pelanggannya yang menghadapi cabaran dalam mendapatkan flat mereka. Beliau mahir dalam isu perumahan seperti dasar pemerintah dan soal kewangan sering menerima panggilan untuk membantu pelanggan yang menghadapi masalah.
Antara cabaran yang dihadapi pelanggannya ialah pertimbangan kewangan serta kurang faham mengenai dasar pemerintah.
Beliau juga berasa bertuah dan bersyukur kerana menerima bimbingan menyeluruh dan dorongan daripada mentornya, Ketua Cawangan, Encik Dallas Hassan, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OrangeTee, Encik Justin Quek, serta rakan-rakan serta ejen hartanah yang lain.
Menurutnya, kejayaan kerjayanya dalam sektor hartanah banyak dipengaruhi oleh Encik Dallas, yang sering membimbingnya untuk memberi nilai lebih tinggi kepada pelanggan.
“Pengurus saya, Encik Dallas, sangat dermawan dalam berkongsi pengetahuan dan sumber, serta membimbing saya dari awal dan menyediakan persekitaran cemerlang untuk saya meningkatkan kemahiran dalam masa singkat. Ini membolehkan saya menggandakan formula kejayaan untuk rakan sekerja dalam pasukan saya,’’ tambah Cik Noonal.
Misi beliau ialah memperkasa pelanggannya dengan pengetahuan, alat dan keyakinan untuk meningkatkan pemilikan harta mereka.
“Saya ingin generasi muda memiliki lebih banyak harta persendirian dan maju lebih pantas daripada bapa dan datuk mereka. Saya ingin golongan muda lebih berani mengambil risiko. Saya komited untuk memberikan perkhidmatan luar biasa yang dibina di atas integriti, ketelusan, dan keinginan tulus untuk melihat kejayaan pelanggan saya,’’ ujar beliau lagi.
Memandang ke hadapan, Cik Noonal berharap untuk terus berkhidmat dan membantu masyarakat Islam dalam aspek jual beli berkesan. Beliau ingin melihat pelanggan Islam berpengetahuan serta mampu menjana pendapatan hartanah yang baik agar mempunyai masa depan dan persaraan yang cerah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg