Ejen hartanah yang gagal menyempurnakan sekurang-kurangnya tiga urus niaga dalam tempoh tiga tahun perlu lulus ujian ulang kaji bagi membolehkan mereka kekal dalam industri itu.

Syarat ini akan mula dikuatkuasakan menyusuli langkah Majlis Agensi Hartanah (CEA) memanjangkan tempoh kesahan pendaftaran ejen dan lesen agensi daripada satu tahun kepada tiga tahun.

Perubahan tersebut, yang bakal bermula pada 1 Januari 2027, merupakan sebahagian semakan menyeluruh industri itu yang bertujuan meningkatkan piawaian profesional, menambah baik ketelusan serta memberi pengguna kejelasan dan pilihan lebih baik.

Semasa berucap di Persidangan Ejen Hartanah Singapura pada 28 Julai, Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pengangkutan), Cik Sun Xueling, berkata:

“Pengguna seharusnya yakin bahawa nasihat daripada ejen hartanah mereka mencerminkan peraturan dan undang-undang terkini.”

Meskipun sebahagian besar ejen terus meningkatkan kemahiran diri, kekal aktif di pasaran dan memberi khidmat kepada pelanggan secara profesional, timbul tanda tanya sama ada ejen yang tidak melengkapkan sebarang urus niaga hartanah bagi tempoh lama masih mempunyai pengetahuan terkini, kata Cik Sun.

Jurucakap CEA berkata setakat 1 Januari 2026, kira-kira 40 peratus – atau 12,920 – daripada 32,967 ejen yang berdaftar sejak 2023 tidak menyempurnakan sekurang-kurangnya tiga urus niaga kediaman antara 2023 dengan 2025.

Dalam tempoh sama, jumlah median urus niaga kediaman yang disempurnakan oleh setiap ejen setiap tahun ialah dua, tambah beliau.

Di bawah keperluan yang disifatkan oleh CEA sebagai “syarat kemas kini pengetahuan”, ejen yang tidak mencapai bilangan tiga urus niaga itu dan gagal dalam ujian ulang kaji perlu meninggalkan industri tersebut.

Sekiranya mereka ingin kembali, mereka perlu lulus Peperiksaan Jurujual Hartanah.

Setakat 1 Julai 2026, terdapat 38,162 ejen hartanah dan 1,018 agensi hartanah yang berdaftar dengan CEA.

Peraturan baharu itu diperkenalkan di tengah-tengah kebimbangan bahawa sebahagian besar ejen hartanah mungkin tidak aktif menguruskan urus niaga hartanah.

Sekitar sembilan daripada 10 pengguna yang ditinjau dalam Tinjauan Tanggapan Orang Awam CEA 2024 berkata mereka berpuas hati dengan perkhidmatan ejen masing-masing.

Namun, 74 peratus menghendaki ejen menyempurnakan sekurang-kurangnya satu urus niaga setahun untuk kekal berdaftar supaya mereka kekal mahir dengan peraturan dan garis panduan terkini dalam urus niaga hartanah.

Pengarah Eksekutif CEA, Encik Chan Khar Liang, berkata dalam satu kenyataan media pada 28 Julai:

“Semasa sesi perbincangan kami bersama pihak berkepentingan dalam industri, mereka secara konsisten menekankan potensi risiko yang dibawa oleh ejen hartanah yang tidak menguruskan urus niaga secara berkala.”

“Ejen-ejen ini mungkin kurang mahir dengan peraturan dan undang-undang yang sentiasa berubah, proses urus niaga hartanah, serta trend pasaran, yang secara tidak langsung boleh menjejas ketepatan nasihat yang diberikan kepada pelanggan.”

Agensi dan ejen yang memperbaharui pendaftaran mereka pada penghujung 2026 bakal memasuki kitaran tiga tahun pertama, bermula dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2029.