Topik diikuti
Pergi ke BHkuURA gesa pemaju hartanah laksana pemeriksaan pengubahan wang haram setimpal dengan risiko
URA gesa pemaju hartanah laksana pemeriksaan pengubahan wang haram setimpal dengan risiko
Panduan baru tekankan pengesahan sumber kekayaan tidak perlu bagi sebahagian besar pembeli; pemeriksaan mengikut tahap risiko elak permintaan maklumat berlebihan
URA gesa pemaju hartanah laksana pemeriksaan pengubahan wang haram setimpal dengan risiko
Pengawal selia perumahan Singapura mengarahkan syarikat pemaju hartanah melaksanakan pemeriksaan pencegahan pengubahan wang haram secara lebih bersasar, sambil menjelaskan pengesahan sumber kekayaan dan sumber dana tidak diperlukan bagi sebahagian besar pembeli rumah.
Panduan baharu ini menyusuli maklum balas industri bahawa pemeriksaan sedemikian semakin membebankan syarikat pembangunan hartanah dan ejen hartanah.
Dalam notis pada 7 Julai, Pengawal Perumahan (COH) di Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Cik Ling Hui Lin, berkata syarikat pembangunan hartanah perlu menjalankan pemeriksaan terhadap pembeli mengikut tahap risiko, bukannya menggunakan pendekatan bagi semua pembeli sehingga meminta maklumat yang berlebihan atau tidak berkaitan.
Beliau berkata pemeriksaan hendaklah setimpal dengan sifat dan kerumitan urus niaga serta latar belakang risiko setiap pembeli.
Persatuan Pemaju Hartanah Singapura (Redas) mengalu-alukan panduan itu, sambil menyatakan kebimbangan dan cabaran pelaksanaan yang dihadapi syarikat pemaju telah diambil kira, bagi ia memudahkan pemaju mematuhi pematuhan terhadap keperluan berkenaan.
Panduan terbaharu pemerintah bagi pembelian hartanah mencerminkan pendekatan pengawal selia kewangan Singapura tahun lalu (2025) untuk mengekalkan persekitaran perniagaan yang mesra pelanggan bernilai bersih tinggi (HNW), sambil mengekalkan piawaian kawal selia yang tinggi bagi membendung pengubahan wang haram.
Panduan itu turut mencerminkan pendekatan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), yang sebelum ini mengurangkan tempoh permohonan insentif cukai bagi pejabat keluarga kepada tiga bulan daripada 12 bulan, selain mempercepat pembukaan akaun pelanggan perbankan privet.
Menteri Pembangunan Negara merangkap Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Chee Hong Tat, berkata Singapura mengamalkan pendekatan mengikut tahap risiko, bukannya sifar risiko, bagi memastikan peluang baharu tidak terlepas.
Menurut URA, bagi kebanyakan pembeli yang tidak berisiko tinggi terhadap pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan atau pembiayaan senjata pemusnah besar-besaran, pemaju hartanah hanya perlu menjalankan semakan terhadap pembeli, termasuk mengesahkan identiti pembeli dan pemilik sebenar. Urus niaga boleh diteruskan jika nama mereka tiada dalam senarai sekatan atau tidak dikaitkan dengan laporan yang membimbangkan.
Sebaliknya, pembeli berisiko tinggi, termasuk individu asing yang terdedah dari segi politik serta mereka yang mempunyai kaitan dengan negara yang kawalan pencegahan pengubahan wang haramnya lemah, perlu menjalani semakan lebih menyeluruh, termasuk pengesahan sumber kekayaan dan sumber dana.
Jika pembeli berada dalam senarai sekatan, pemaju hendaklah menghentikan urusan dan mengemukakan laporan urus niaga yang mencurigakan. Jika terdapat laporan yang membimbangkan, risiko perlu dinilai sebelum urus niaga diteruskan.
Beliau turut menegaskan laporan mencurigakan perlu difailkan jika disyaki berlaku kesalahan undang-undang.
COH berkata pemeriksaan tambahan hendaklah munasabah dan setimpal dengan tahap risiko. Pemaju hartanah digalakkan mendapatkan kenyataan cukai pendapatan dan akaun yang telah disahkan, tanpa meminta maklumat yang tidak perlu atau rekod lama yang sukar diperolehi.
Pemaju hartanah juga tidak perlu mengesahkan semula maklumat daripada sumber awam yang boleh dipercayai atau setiap sumber kekayaan lama.
Sebaliknya, mereka perlu menumpukan kepada sumber kekayaan yang bernilai dan berisiko tinggi.
Bagi pembelian hartanah biasa pada harga pasaran, pemeriksaan yang lebih sedikit dijangka mencukupi.
COH telah menyemak semula garis panduan bersama Redas bagi memperkemaskan tatacara, termasuk menyediakan panduan semakan terhadap pembeli yang lebih terperinci serta borang penilaian risiko yang dipermudah. Kedua-dua pihak juga akan menganjurkan seminar dan bengkel mengenai pencegahan pengubahan wang haram serta pembanterasan pembiayaan keganasan dan senjata pemusnah besar-besaran.
