Ekonomi Singapura kini dijangka tumbuh hampir kepada paras tertinggi julat ramalan rasmi 2024, dengan permintaan luar dilihat berdaya tahan untuk sepanjang tahun walaupun risiko penurunan global kekal.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 13 Ogos mengurangkan ramalan pertumbuhan 2024 kepada 2 peratus hingga 3 peratus, daripada julat 1 peratus hingga 3 peratus.
Ini selepas mengambil kira prestasi ekonomi Singapura pada separuh pertama 2024, serta situasi ekonomi global dan domestik terkini, kata MTI.
Bagi separuh pertama 2024, pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura purata 3 peratus tahun ke tahun.
Bagi suku kedua, ekonomi berkembang 2.9 peratus, tidak berubah daripada anggaran awal MTI yang dikeluarkan sebulan lalu.
Ia mengikuti pertumbuhan suku pertama sebanyak 3 peratus – kadar terpantas sejak pertumbuhan 4.2 peratus pada suku ketiga 2022.
Pada dasar suku ke suku dan penyelarasan secara bermusim, ekonomi berkembang 0.4 peratus, sepadan dengan anggaran awal dan tidak berubah daripada pertumbuhan pada suku pertama.
Pertumbuhan suku kedua didorong terutamanya oleh sektor perdagangan borong, kewangan dan insurans serta maklumat dan komunikasi, kata MTI.
Walau bagaimanapun, sektor perkilangan menyusut, sebahagian besarnya disebabkan oleh kekurangan dalam pembuatan bioperubatan akibat kejatuhan mendadak dalam pengeluaran farmaseutikal, lapor The Straits Times.
Industri elektronik utama kembali berkembang, disokong oleh permintaan kukuh untuk telefon pintar, komputer peribadi dan cip berkaitan kecerdasan buatan, walaupun permintaan untuk cip automotif dan industri kekal lemah.
Tetapi sektor yang berinteraksi secara langsung dengan pengguna seperti peruncitan dan perkhidmatan makanan dan minuman, menyusut, sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan dalam perjalanan keluar oleh penduduk tempatan.
MTI berkata secara seimbang, prospek permintaan luar Singapura dijangka berdaya tahan untuk baki 2024.
Konflik geopolitik dan perdagangan yang semakin sengit boleh melemahkan sentimen perniagaan dan menambah kos pengeluaran, yang boleh menjejas perdagangan dan pertumbuhan global, tambah MTI.
Gangguan kepada proses ‘disinflasi’ (pengurangan kadar inflasi tinggi) global juga boleh membawa kepada keadaan kewangan yang lebih ketat untuk tempoh yang lebih lama, dan mencetuskan ketidaktentuan pasaran atau kelemahan terpendam dalam sistem perbankan dan kewangan, tambahnya.
Berdasarkan latar belakang ini, sektor perkilangan Singapura dijangka melihat pemulihan beransur-ansur pada separuh kedua 2024.
Industri kimia juga dijangka terus berkembang, sebahagiannya oleh pengeluaran yang lebih tinggi dalam petrokimia dan bahan kimia khusus.
Sebaliknya, perkilangan bioperubatan berkemungkinan menyusut, dengan pengeluaran farmaseutikal dijangka kekal lemah untuk sepanjang 2024.
Ramalan pemulihan perkilangan, khususnya kelompok elektronik, dijangka memanfaatkan sektor perkhidmatan berkaitan perdagangan seperti segmen jentera, peralatan dan bekalan sektor perdagangan borong, kata MTI.
MTI berkata: “Pemulihan berterusan dalam perjalanan udara dan permintaan pelancongan akan menyokong pertumbuhan dalam sektor berkaitan pelancongan dan penerbangan seperti penginapan dan pengangkutan udara.
“Pertumbuhan dalam sektor kewangan dan insurans juga harus kekal teguh, memandangkan pemotongan kadar faedah global terus dilaksanakan dalam keadaan disinflasi yang berterusan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg