Cogan kata “kami” dan bukan “saya” menjadi pegangan Encik Mohamed Rasid Misnati, 49 tahun, dalam memimpin pasukan pekerjanya di syarikat penyedia khidmat kontrak buruh dan pengendalian kontena, Call Lade Enterprises Pte Ltd.
Sebagai eksekutif operasi kanan, tanggungjawab utamanya adalah memastikan kontena perkapalan dapat dialihkan ke atas kapal secara selamat sebelum kapal itu bertolak, tanpa mengganggu kesejahteraan pekerja yang mengendalikannya di bawah panahan terik mentari.
Berkat kesungguhannya itu, usaha Encik Mohamed Rasid, bapa tiga anak antara berusia 18 dengan 20 tahun, disampaikan dengan Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (WSH) untuk Penyelia 2025 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 24 September.
Anugerah tersebut, yang diberi kepada 12 penyelia atas sumbangan mereka dalam meningkatkan kesejahteraan pekerja, merupakan sebahagian daripada Anugerah WSH 2025.
Secara keseluruhan, 301 syarikat dan individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja telah diiktiraf.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Encik Mohamed Rasid, yang awalnya dinaikkan pangkat sebagai mandur pada 2013, sebelum bergelar eksekutif operasi pada 2017, berkongsi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan demi menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja.
“Apabila saya melihat pekerja binaan di bawah jagaan saya bertungkus lumus bekerja di bawah panas terik, saya menyedari sesuatu perlu dilakukan.
“Saya teringat pengalaman semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dahulu. Ketika itu, pegawai penyelia saya menyembur air dingin bagi memberi kami kelegaan daripada cuaca panas yang ‘menggigit’.
“Dari situ lahirlah idea mengusahakan sistem semburan kabus dingin yang membantu menurunkan suhu badan pekerja semasa bertugas,” jelasnya, yang baru dinaikkan pangkat kepada eksekutif operasi kanan pada 2024.
Selain peka dengan keadaan sekeliling, beliau turut memahami pasukannya terdiri daripada pekerja pelbagai bangsa dan latar belakang, yang kadangkala menimbulkan cabaran pertuturan dan komunikasi kerana perbezaan bahasa dan budaya.
“Saya sering menjemput mereka ke rumah semasa Hari Raya untuk makan bersama.
“Walaupun tidak semua berkongsi bahasa yang sama, pertemuan sebegini mengeratkan hubungan dan mewujudkan rasa kekeluargaan,” katanya.
Sepanjang wawancara bersama BH, beliau sentiasa menggunakan kata ganti “kami” dan bukan “saya”, menggambarkan cara kepimpinannya yang ikhlas.
“Sebagai pemimpin, kita mesti bina kepercayaan dengan pekerja, utamakan kesihatan mental dan kesejahteraan mereka. Keutamaan saya adalah menjaga keselamatan mereka di tempat kerja.
“Dalam kalangan kami, ada satu ungkapan yang sering ditegaskan, ‘Setiap Pekerja, Pemimpin Keselamatan’.
“Ia menggalakkan setiap individu bertanggungjawab terhadap keselamatan diri kerana keselamatan adalah tanggungjawab bersama.
“Sebagai penyelia, kita ajar pekerja, bimbing mereka, tapi pada masa sama kita terbuka mendengar cadangan mereka.
“Jika ada yang ingin menambah baik aspek keselamatan, kita sudi mendengar,” ujarnya.
Encik Mohamed Rasid turut mengakui di sebalik segalanya, beliau perlu ketegasan dalam menguatkuasakan keselamatan di tempat kerja, namun tetap menitikberatkan sikap saling menghormati dalam kalangan kakitangannya.
“Terus terang, bila saya turun padang mungkin nampak macam sekadar nak tangkap orang buat salah. Tapi sebenarnya kalau mereka silap, saya nasihatkan apa langkah seterusnya.
“Kami tidak merendahkan semangat mereka, tidak menengking. Pendekatan memujuk inilah yang saya lihat membawa hasil lebih baik dan ada lebih banyak peningkatan,” tambahnya.
Ditanya mengenai pengiktirafan yang diterima, Encik Mohamed Rasid dengan jujur berkongsi:
“Secara peribadi, pencapaian ini memang membanggakan. Tetapi saya mahu ia menjadi contoh kepada penyelia yang bekerja bersama saya.
“Harapan saya agar mereka juga akan meraih inspirasi bagi mengikut gaya kepimpinan saya. Rasanya, anugerah ini akan mengangkat semangat seluruh pasukan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg