Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ekspedisi NUS, OceanX teroka biodiversiti laut dalam berlepas ke Lautan Hindi

Oct 7, 2025 | 7:21 PM
NUS, OceanX, biodiversiti, Laut Hindi
Ekspedisi selama 24 hari itu merupakan inisiatif Universiti Nasional Singapura (NUS) dan OceanX, sebuah badan bukan mencari untung berpusat di Amerika Syarikat yang mengendalikan kapal saintifik OceanXplorer. - Foto OCEANX

Penyelidik dari Singapura, Asia Tenggara dan Pasifik, serta Amerika Syarikat, memulakan ekspedisi pada 7 Oktober dari Marina di Keppel Bay untuk mengkaji bahagian Lautan Hindi Timur yang masih banyak belum diterokai.

Ia adalah sebahagian daripada komitmen Singapura untuk memahami dan melindungi biodiversiti marin.

Ekspedisi selama 24 hari itu merupakan inisiatif Universiti Nasional Singapura (NUS) dan OceanX, sebuah badan bukan mencari untung berpusat di Amerika yang mengendalikan kapal saintifik OceanXplorer, lapor The Straits Times (ST).

Ini menandakan ekspedisi saintifik dasar laut pertama Singapura sejak Perjanjian bagi Kepelbagaian Biologi Marin Kawasan Melangkaui Bidang Kuasa Negara (BBNJ) diterima pakai, kata NUS dan OceanX dalam satu kenyataan.

Perjanjian BBNJ adalah perjanjian yang mengatur pemuliharaan dan penggunaan mampan biodiversiti marin di luar kawasan negara.

Perjanjian itu akan membuka jalan untuk, antara lain, penubuhan kawasan perlindungan marin di laut terbuka.

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, semasa upacara pelepasan OceanXplorer pada 4 Oktober, berkata kini terdapat paradigma baru dalam pembangunan.

“Dalam paradigma lama, kita ambil dan eksploitasi... Tetapi pada masa depan, nilai sebenar akan tercipta dengan melindungi serta berkongsi idea, penemuan, dan aplikasi.

“Selain memetakan dasar laut dan biodiversiti marin, saya percaya banyak peluang berharga untuk dikongsi bersama,” kata beliau.

Perjanjian BBNJ menetapkan kerangka untuk hak dan keistimewaan, jelasnya.

Penyelidikan canggih adalah kunci untuk membina asas saintifik yang diperlukan untuk memahami, melindungi dan memelihara biodiversiti marin, tambah beliau dalam ucapan di acara itu.

“Singapura komited untuk pelaksanaan inklusif Perjanjian BBNJ, yang memanfaatkan kepakaran Asean dan negara-negara kecil yang sedang membangun,” kata Dr Balakrishnan.

“Pendekatan kerjasama ini akan menyumbang kepada pembinaan kapasiti, serta perkongsian manfaat secara adil dan saksama daripada penyelidikan saintifik marin di laut terbuka.”

Negara-negara pertama kali meluluskan teks perjanjian itu pada 2023, namun ia hanya akan berkuat kuasa setelah 60 negara mengesahkannya.

Ini dicapai pada September lalu, dan perjanjian tersebut dijangka berkuat kuasa pada 17 Januari 2026.

Pada Jun, semasa Konferensi Lautan PBB di Nice, Dr Balakrishnan menyampaikan kenyataan bagi Perikatan Negara Kepulauan Kecil (Aosis). 

Menurut beliau, negara pulau kecil harus memimpin, bukan sekadar terlibat, dalam penyelidikan untuk memahami persekitaran marin yang mereka bergantung padanya.

Aosis adalah gabungan 39 negara pulau kecil dan pesisir rendah yang sedang membangun, termasuk Singapura, Fiji, Maldives, dan Belize.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg