NICE (Perancis): Negara berkembang pulau kecil harus mula memimpin dan bukannya hanya mengambil bahagian dalam penyelidikan saintifik yang akan membantu mereka lebih memahami persekitaran marin.
Walaupun negara kepulauan kecil menjaga 30 peratus lautan di bawah bidang kuasa negara, mereka hanya mengetuai 0.3 peratus projek tindakan sedekad yang disahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kesihatan lautan, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Bercakap pada 9 Jun pada hari pertama Persidangan Lautan PBB di Nice, Perancis, Dr Balakrishnan berkata negara kepulauan kecil yang sedang membangun telah menjadi subjek kepada penyelidikan lautan buat terlalu lama.
“Pemerhatian ini dapat dilihat dalam set data, kajian kes dalam laporan dan masyarakat yang terdedah dalam penilaian impak...
“Negara berkembang pulau kecil jarang menjadi penyelidik utama, jarang sekali bergelar pemilik data lautan kita sendiri. Kami percaya bahawa sudah tiba masanya untuk mengubah naratif itu,” tambahnya.
Sebahagian besar daripada sidang puncak yang tamat pada 13 Jun ini tertumpu pada usaha menggalak sokongan bagi pemuliharaan dan penggunaan mampan lautan dan sumber marin.
Wakil daripada 193 negara dijangka menghadirinya.
Dr Balakrishnan, yang mengetuai delegasi Singapura, bercakap bagi pihak Perikatan Negara Kepulauan Kecil (Aosis) mengenai keperluan kerjasama saintifik untuk kesihatan lautan.
Aosis ialah kumpulan 39 pulau kecil dan negara membangun berpantai rendah termasuk Singapura, Palau, Maldives dan Belize.
“Sains lautan bukanlah kemewahan akademik, sebaliknya ia adalah keperluan kewujudan bagi kita semua negara pulau kecil.
“Kesejahteraan masyarakat, budaya, ekosistem, keselamatan makanan dan mata pencarian kita bergantung kepada lautan yang sihat dan berkembang maju,” kata Dr Balakrishnan lagi.
Penyelidikan saintifik berkaitan lautan cenderung dikuasai institusi dan pertubuhan saintifik Barat, yang mempunyai akses kepada kapal dan instrumen penyelidikan ilmu alam lautan besar yang boleh menahan keadaan laut dalam yang tidak mesra alam.
Habitat marin tropika seperti terumbu karang juga dikaji dengan baik oleh saintis dari bahagian lain di dunia.
Dr Balakrishnan berkata negara anggota Aosis menyeru lebih banyak inisiatif pembinaan kapasiti berdasarkan keperluan mereka, dan keperluan untuk menyertakan pengetahuan tradisional dan orang asli ke dalam rangka kerja global sejak awal lagi.
Aosis juga menyeru untuk “pengimbangan semula asas kepimpinan sains lautan”, katanya
“Kami memerlukan mekanisme pembiayaan khusus dan sokongan institusi untuk memastikan institusi penyelidikan negeri membangun pulau kecil boleh menerajui inisiatif yang menangani cabaran khusus kami,” kata Dr Balakrishnan.
Singapura mempunyai masyarakat penyelidikan marin yang berkembang maju, dengan kemudahan nasional – Makmal Laut Kebangsaan Pulau St John – dan institut penyelidikan yang menumpukan perhatian kepada sains marin, Institut Sains Marin Tropika di Universiti Nasional Singapura (NUS).
“
Negara berkembang pulau kecil jarang menjadi penyelidik utama, jarang sekali bergelar pemilik data lautan kita sendiri. Kami percaya bahawa sudah tiba masanya untuk mengubah naratif itu.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg