Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Landasan’ ekonomi S’pura pada 2025

Daripada konflik dagang Amerika-China, ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan pasaran petanda ekonomi S’pura berada dalam keadaan lebih mencabar
Jan 2, 2025 | 3:30 PM
Asia, termasuk Singapura, dilihat sebagai lebih terdedah kepada prestasi ekonomi China, ekonomi kedua terbesar di dunia. 
Asia, termasuk Singapura, dilihat sebagai lebih terdedah kepada prestasi ekonomi China, ekonomi kedua terbesar di dunia.  - Foto EPA-EFE

Cabaran yang menggerunkan – daripada konflik perdagangan Amerika Syarikat-China kepada ketegangan geopolitik, serta ketidaktentuan pasaran – menunjukkan bahawa ekonomi Singapura berada dalam keadaan lebih mencabar pada 2025.

Dengan rakan dagangan utama negara juga menghadapi isu yang sama, pertumbuhan lebih perlahan nampaknya akan menjadi tumpuan.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) meramalkan bahawa pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebenar akan berkisar antara 1 peratus dengan 3 peratus pada 2025.

Ini adalah kurang daripada anggaran pertumbuhan 4 peratus GDP 2024 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Tahun Baru pada 31 Disember 2024.

Berikut 10 trend ekonomi utama bagi 2025 seperti yang diunjur The Straits Times (ST).

1. Perang perdagangan

Kebanyakan ketidaktentuan di sekitar prospek ekonomi global berpunca daripada potensi pengenaan tarif yang tinggi oleh pentadbiran baru Amerika ke atas rakan dagangannya.

Bakal Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang akan memegang jawatan pada 20 Januari, telah berikrar untuk menaikkan tarif 20 peratus untuk semua rakan dagangan, dan kenaikan 60 peratus untuk China.

Walaupun Singapura mengelak tarif Amerika, perang perdagangan akan menaikkan harga import di serata dunia, seterusnya mengurangkan permintaan dan jumlah perdagangan.

2. Ekonomi China yang lebih perlahan

Asia, termasuk Singapura, dilihat lebih terdedah kepada prestasi ekonomi China, ekonomi kedua terbesar di dunia.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan bahawa China akan berkembang 4.5 peratus pada 2025, turun daripada anggaran 4.8 peratus pada 2024 dan 5.2 peratus pada 2023.

3. Inflasi dan kadar faedah

Tekanan inflasi daripada tarif lebih tinggi akan merumitkan pengurusan dasar kewangan untuk bank pusat Asia, termasuk Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Bank-bank pusat di seluruh Asia yang bergantung pada perdagangan telah merancang pemotongan kadar pada 2025 untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dalam setahun.

4. Dolar Amerika yang kukuh

Dolar Amerika yang lebih kukuh akan menjadikan eksport Amerika lebih mahal, yang boleh menjejas eksport negara itu.

Bagi seluruh dunia, dolar yang lebih kukuh bermakna mata wang tempatan yang lebih lemah yang akan menjadikan segala-gala yang diimport dari mana-mana sahaja lebih mahal.

5. Kemeruapan pasaran kewangan

Kenaikan pasaran saham Amerika yang berterusan, diterajui syarikat teknologi, telah menyebabkan indeks itu mahal dari segi penilaian.

Ini bermakna firma Amerika perlu mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang lebih besar pada suku akan datang untuk mewajarkan cadangan pembelian.

6. Konflik geopolitik

Selain kebimbangan makroekonomi dan dasar, peningkatan pelbagai konflik global boleh menjejas sentimen pelabur di seluruh dunia.

Kemerosotan ketara dalam situasi konflik di Timur Tengah atau perang di Ukraine boleh mengganggu rantaian bekalan global dan memberi kesan kepada jumlah perdagangan.

7. Harga komoditi

Walaupun pertumbuhan lebih perlahan di China, pengguna terbesar logam, tenaga dan komoditi makanan telah mengehadkan keuntungan dan, dalam beberapa keadaan, menurunkan harga pada 2024, peningkatan ketegangan geopolitik pada 2025 yang menjejaskan rantaian bekalan boleh membawa kepada kenaikan semula harga tenaga dan makanan antarabangsa.

8. Penyusunan semula rantaian bekalan

Sejak bermulanya perang perdagangan Amerika-China pada 2018, Singapura telah muncul sebagai destinasi pelaburan utama bagi syarikat semikonduktor yang ingin mempelbagaikan rantaian bekalan mereka dan mengelakkan penglibatan dalam konflik itu.

9. Perang teknologi

Konflik mengenai semikonduktor dan teknologi canggih mungkin menjadi lebih rumit, dengan pemain utama berkemungkinan bertindak balas dengan menghentikan pelaburan baru.

10. Risiko pasaran baru muncul

Pasaran baru muncul dengan beban hutang yang besar berkemungkinan akan menderita dari segi pertumbuhan GDP.

Pasaran di Asia Tenggara – kebanyakannya merupakan rakan perdagangan penting bagi Singapura – amat terdedah kepada permintaan yang berkurangan dari China.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg