Eksport utama Singapura berkembang tahun ke tahun buat tiga bulan berturut-turut pada September, tetapi pada kadar yang lebih perlahan, menurut angka yang dikeluarkan oleh Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 17 Oktober.
Pertumbuhan eksport utama Singapura pada September jauh di bawah jangkaan penganalisis yang ditinjau Bloomberg, yang meramalkan pertumbuhan mencecah 9.1 peratus.
Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) naik 2.7 peratus berbanding September 2023, selepas meningkat 10.7 peratus pada Ogos dan 15.7 peratus pada Julai.
Data menunjukkan terdapat peningkatan dalam penghantaran elektronik dan bukan elektronik, lapor The Straits Times.
Eksport elektronik meningkat 4 peratus pada September, kelembapan yang ketara daripada lonjakan 35.1 peratus pada Ogos.
Produk media cakera meningkat sebanyak 64.6 peratus, manakala komputer peribadi menyaksikan pertumbuhan sebanyak 55 peratus.
Eksport litar bersepadu, yang juga dikenali sebagai cip atau semikonduktor, meningkat 4.8 peratus.
Sementara itu, penghantaran bukan elektronik naik 2.3 peratus, selepas kenaikan 3.6 peratus pada Ogos
Farmaseutikal berkembang 35 peratus, manakala jentera khusus meningkat 12.9 peratus.
Bahan kimia khusus lain pula meningkat 46.2 peratus.
Setelah diselaraskan secara musiman berdasarkan bulanan, Nodx meningkat sebanyak 1.1 peratus pada September, mengubah kadar penurunan sebanyak 4.7 peratus pada Ogos.
Dalam pada itu, eksport bukan elektronik meningkat manakala eksport elektronik menurun.
Paras Nodx mencapai $14.9 bilion pada bulan September – naik sedikit daripada $14.7 bilion pada Ogos.
Ia juga lebih tinggi berbanding September 2023 iaitu $14.2 bilion.
Eksport ke pasaran teratas secara keseluruhannya meningkat pada September 2024, walaupun penghantaran ke Amerika Syarikat, Hong Kong, Jepun dan China susut, kata EnterpriseSG.
Penyumbang terbesar kepada pertumbuhan Nodx ialah dari Kesatuan Eropah, Indonesia dan Korea Selatan.
Eksport ke Kesatuan Eropah berkembang disebabkan farmaseutikal, bahan kimia khusus lain dan petrokimia.
Sementara itu, penghantaran ke Indonesia berkembang disebabkan oleh peralatan telekomunikasi, alat pengukur dan petrokimia.
Eksport ke Korea Selatan juga meningkat, disebabkan jentera khusus, litar bersepadu dan komputer peribadi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg