Topik diikuti
Pergi ke BHkuElak bayar GST barang kemas dan titanium, wanita didenda $11,400
Gagal isytihar barang kemas dari M’sia, cuba elak cukai GST berjumlah $946
Seorang wanita warga Singapura didenda $11,400 mahkamah pada 5 Ogos kerana mengelak daripada membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas barang kemas yang dibelinya di Malaysia, tanpa membuat sebarang pengisytiharan.
Nabilah Jaafar Al-Kathiri, 32 tahun, menetap di Malaysia pada masa itu dan menjalankan perniagaan dalam talian dengan menjual barang kemas emas dan titanium kepada pelanggan di Singapura.
Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan melakukan penipuan dengan mengelak daripada membayar GST.
Dia telah membayar denda tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan Nabilah agar melucutkan hak 19 barang kemas serta barang bukti yang dirampas semasa penangkapannya.
Ia termasuk beg dan kotak yang digunakan semasa melakukan kesalahan tersebut.
Barang kemas itu bernilai kira-kira $10,512 dan GST yang cuba dielak berjumlah kira-kira $946, kata Kastam Singapura dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 17 Ogos.
“Adalah menjadi tanggungjawab semua pelawat yang tiba di Singapura untuk membuat pengisytiharan tepat dan lengkap mengenai barangan yang dibawa bersama mereka, yang boleh dikenakan duti dan cukai, serta membayarnya.
“Kastam Singapura kekal komited untuk menegakkan pematuhan ketat terhadap peraturan kastam dan melindungi hasil pendapatan,” tambahnya.
Menurut kenyataan itu, Nabilah telah mengiklankan barangnya di wadah seperti Facebook dan Telegram, serta mendapatkan barang kemas tersebut daripada beberapa kedai di Malaysia, sebelum membawanya ke Singapura untuk dihantar kepada pelanggannya.
Nabilah tiba di Singapura pada 5 April sebagai penumpang dalam kenderaan berdaftar Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Dia membuat pengisytiharan palsu kepada pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dengan mendakwa tidak mempunyai sebarang barangan untuk diisytiharkan.
Ini meskipun dia tahu GST perlu dibayar ke atas barang kemas yang dibawa ke Singapura.
Semasa pemeriksaan ke atas kenderaan itu, pegawai ICA menemui 23 barang kemas milik Nabilah.
Ia terdiri daripada 21 barang kemas dan dua barang kemas titanium, yang diletakkan dalam 22 bungkusan sebelum dimasukkan ke dalam beg polimer.
Beg itu kemudian diletakkan di but kenderaan.
“Kes itu dirujuk kepada Kastam Singapura untuk siasatan.
“Nabilah telah ditangkap oleh Kastam Singapura di Pusat Pemeriksaan Woodlands, dan kesemua 23 barang kemas dirampas.
“Daripada 23 barang kemas yang ditemui, 19 daripadanya bertujuan untuk penjualan komersial bagi mengaut keuntungan.
“Barang kemas yang lain bertujuan sebagai hadiah peribadi,” kata Kastam Singapura.
Di bawah Akta Kastam 1960 dan Akta GST 1993, melakukan penipuan dengan mengelak diri daripada membayar duti atau GST adalah satu kesalahan serius.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah akan didenda sehingga 20 kali ganda jumlah duti dan GST yang dielak.
Selain denda, pesalah juga boleh dipenjara sehingga 12 bulan.
“Pengelakan duti dan/atau GST di pusat pemeriksaan adalah satu kesalahan serius,” tambah Kastam Singapura.
“Pelawat boleh mengisytiharkan dan membayar duti dan/atau GST mereka melalui aplikasi web Customs@SG atau di pusat pemeriksaan,” ujar Kastam Singapura.
