Ciri masyarakat pelbagai budaya yang kian kurang diterima di negara Barat dan Eropah perlu dikaji dengan teliti supaya kita dapat mengelak keadaan yang sama di rantau ini, kata Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash.
Keadaan ini diburukkan kebangkitan ideologi ekstrem seperti fasisme, kekurangan toleransi agama dan keretakan masyarakat di tempat-tempat sedemikian, kata beliau, menambah.
“Kepelbagaian budaya semakin mundur di banyak tempat di dunia,” ujar beliau.
“Kita mempunyai konsep kepelbagaian budaya yang baik... terutamanya di Asia Tenggara.
“Tetapi kita perlu berpandang ke masa depan, lihat apa yang perlu kita lakukan untuk mengelakkan diri kita daripada turut terjejas,” kata Encik Dinesh, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East.
Beliau berkata demikian di majlis perasmian Akademi Serantau Asean, Panel Anggota Parlimen Antarabangsa bagi Kebebasan Beragama atau Berkepercayaan (IPPFoRB) pada 23 November.
Diadakan di Bangunan Kementerian Pembangunan Negara (MND) di Maxwell Road, majlis itu dihadiri 15 Anggota Parlimen (AP) dari Indonesia, Thailand, Filipina, Malaysia dan Singapura.
Dalam ucapannya, Encik Dinesh berkata penerimaan merosot terhadap kepelbagaian budaya boleh bermula apabila keadaan ekonomi berubah seiring dengan perubahan demografi yang tidak diuruskan dengan sebaik-baiknya.
Beliau memberi contoh bagaimana Singapura – negara kecil yang mempunyai penduduk pelbagai latar belakang – tetap berpegang teguh kepada tunjang kepelbagaian budaya selepas ia merdeka.
Ini, kata Encik Dinesh, telah membuat perbezaan besar dalam usaha menjalin hubungan dan keharmonian antara agama dan kaum di Singapura, dan bagaimana kepelbagaian budaya terus kekal sehingga hari ini.
“Tidak ada banyak tempat lain di dunia di mana orang Melayu, Cina dan India duduk di satu tempat, dan saling menghargai budaya, agama dan bahasa satu sama lain.
“Itu berlaku di sini. Itulah sesuatu yang telah kita wujudkan melalui dasar sosial dan pendidikan,” kata Encik Dinesh, yang menggalak tetamu meneliti cara Singapura memelihara harmoni kepelbagaian kaum dan budaya
Ucapan Encik Dinesh itu membuka tirai acara sulung Akademi Serantau Asean IPPFoRM yang berlangsung dari 23 hingga 25 November.
Dianjurkan oleh IPPFoRB, dengan kerjasama Roses of Peace, ia antara lain bertujuan untuk menjadi platform perkongsian antara AP berbilang negara Asean berhubung usaha membina masyarakat pelbagai kaum dan agama yang harmoni.
Turut hadir di acara tersebut adalah AP GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim, yang juga merupakan anggota Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.
Pengarah IPPFoRB, Cik Fernanda San Martin, semasa berucap di acara tersebut, berkata misi akademi itu sejajar dengan resolusi dan garis panduan Asean yang menekankan keharmonian, toleransi dan kewujudan bersama secara aman dalam kalangan masyarakat yang pelbagai.
“Akademi IPPFoRB direka bentuk untuk melengkapkan AP dan penggubal dasar dengan pengetahuan, alat dan rangkaian yang diperlukan untuk melindungi kebebasan beragama.
“Melalui dialog, pembangunan kapasiti dan pembelajaran kolaboratif, kami berhasrat untuk memperkukuh rangka kerja perundangan dan memupuk persekitaran di mana kepelbagaian dihormati,” kata Cik Fernanda.
Pengasas dan Presiden Roses of Peace, Encik Mohamed Irshad Abbas Ali, berkata kerjasama antara IPPFoRB dengan Roses of Peace mencerminkan komitmen bersama untuk membina jambatan merentasi masyarakat dan memperkasa pemimpin bagi memperjuangkan keamanan dan persefahaman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg