Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Generasi Perintis terima tokokan MediSave sehingga $1,100 pada Jul

Jun 7, 2024 | 4:04 PM
Generasi Perintis boleh menerima tokokan CPF sehingga $1,100 pada Julai 2024.
Generasi Perintis boleh menerima tokokan CPF sehingga $1,100 pada Julai 2024. - Foto FAIL

Sekitar 300,000 rakyat Singapura daripada Generasi Perintis akan menerima tokokan MediSave sehingga $1,100 pada Julai, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Generasi Perintis merujuk kepada rakyat Singapura yang lahir pada 1949 atau lebih awal.

Dalam kenyataan pada 7 Jun, MOF berkata tokokan itu mencapai lebih $150 juta keseluruhannya.

MediSave boleh digunakan untuk membayar premium bagi pelan insurans MediShield Hayat, CareShield Hayat, ElderShield dan pelan insurans lain yang diluluskan oleh MediSave, serta perbelanjaan perubatan seperti kemasukan ke hospital, pembedahan sehari dan rawatan pesakit luar tertentu.

Tokokan itu adalah tambahan kepada tokokan MediSave tahunan untuk warga Singapura berumur 65 tahun ke atas di bawah skim Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Warga emas yang layak dan telah memuat turun dan menyediakan Singpass mereka – aplikasi identiti digital untuk warga Singapura – akan menerima pemberitahuan mengenai jumlah tokokan yang bakal diterima selewat-lewatnya pada 11 Jun.

Mereka yang tidak mempunyai aplikasi tersebut tetapi telah mendaftarkan nombor telefon bimbit mereka dengan Singpass sebelum 9 Jun akan menerima mesej pesanan ringkas (SMS) selewat-lewatnya pada 11 Jun untuk memaklumkan jumlah yang mereka layak terima.

Untuk mengelakkan sebarang bentuk penipuan, SMS hanya akan memaklumkan kepada warga emas tentang tokokan berkenaan dan tidak akan meminta mereka membalasnya.

Tiada mesej mengenai pakej Generasi Perintis dan Generasi Merdeka akan dihantar melalui WhatsApp atau platform pemesejan lain, kata MOF.

Pakej Generasi Perintis diperkenalkan pada 2014 untuk memberi penghormatan dan terima kasih kepada kumpulan rakyat Singapura ini atas sumbangan mereka semasa tahun-tahun awal negara.

Setiap tahun, mereka daripada golongan Generasi Perintis menerima tokokan MediSave antara $250 dengan $900 berdasarkan tahun lahir mereka.

Mereka yang lahir lebih awal menerima tokokan lebih tinggi kerana mereka biasanya mempunyai simpanan yang kurang, kata MOF.

Selain itu, Generasi Perintis yang lebih tua – berumur 85 tahun dan ke atas pada 2024 – yang mengalami keadaan sedia ada yang serius, menerima tokokan sebanyak $50 hingga $200 setahun dari 2021 hingga 2025 untuk membantu mereka membayar premium MediShield Hayat masing-masing.

Subsidi khas lain juga disediakan, seperti untuk penjagaan pesakit luar dan untuk premium MediShield Hayat.

Selain itu, Generasi Perintis yang menyertai CareShield Hayat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2024, akan menerima insentif penyertaan sebanyak $3,000, yang akan dibahagikan sama rata dalam tempoh 10 tahun dan boleh digunakan untuk mengimbangi premium tahunan yang perlu dibayar pada tahun tersebut.

Ini adalah tambahan kepada sebarang subsidi premium yang mungkin diterima Generasi Perintis.

Mereka yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi 1800-222-2888 atau 1800-650-6060. Mereka juga boleh menghantar e-mel kepada contactus@pioneers.gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg