Mahkamah daerah dijangka memutuskan pada 17 Februari sama ada Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (gambar) berbohong kepada satu jawatankuasa parlimen.
Encik Pritam, yang juga Ketua Pembangkang, sedang menentang dua tuduhan yang mendakwa beliau berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).
Jawatankuasa tersebut ditubuhkan pada November 2021 untuk menyiasat kontroversi berbohong melibatkan bekas Anggota Parlimen (AP) WP, Cik Raeesah Khan.
Jika didapati bersalah, Encik Pritam boleh dikenakan denda maksimum $7,000 bagi setiap tuduhan, hukuman penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
Jika Encik Pritam sabit kesalahan, hukuman boleh dijatuhkan pada tarikh lain, dan persoalan mengenai masa depannya dalam politik akan timbul.
Perlembagaan menyatakan seseorang boleh hilang kelayakan sebagai AP jika dijatuhi penjara sekurang-kurangnya setahun atau didenda sekurang-kurangnya $10,000. Ia tidak menyatakan sama ada denda itu boleh dikompaun.
Pejabat Peguam Negara menyatakan ia hanya akan menjatuhkan hukuman denda untuk kededua tuduhan jika Encik Pritam didapati bersalah.
Pakar undang-undang memberitahu The Straits Times kemungkinan Encik Pritam akan hilang kelayakan atau disekat dari bertanding dalam pilihan raya akan datang sangat tipis.
Encik Pritam didakwa memberitahu Cik Raeesah pada 8 Ogos dan 3 Oktober 2021 untuk mengekalkan pembohongan yang dibuatnya di Parlimen pada 3 Ogos 2021, iaitu berhubung beliau mendampingi mangsa serangan seksual ke balai polis, di mana mangsa tersebut dilayan secara kurang sensitif.
Namun, Encik Pritam memberitahu COP beliau meminta Cik Raeesah untuk membetulkan pembohongan tersebut di Parlimen, tetapi pihak pendakwaan mendakwa beliau telah memberi keterangan palsu kepada COP.
Dalam perbicaraan profil tinggi yang berlangsung selama 13 hari pada Oktober dan November 2024, pihak pendakwa memanggil empat saksi – termasuk Cik Raeesah dan mantan Ketua WP, Encik Low Thia Khiang – untuk menunjukkan bahawa Encik Pritam telah memberitahu Cik Raeesah pada dua pertemuan, untuk meneruskan pembohongannya.
Keterangan saksi-saksi dan mesej Cik Raeesah kepada dua orang kenalan rapat selepas mesyuarat pada 8 Ogos menunjukkan bahawa Encik Pritam berbohong kepada COP, kata pihak pendakwa.
Ingatan Encik Pritam tentang pertemuan dengan Encik Low berbeza daripada bukti yang dikemukakan bekas ketua WP itu di mahkamah, menyebabkan pihak pendakwa bertanya siapa yang berbohong.
Pihak pendakwa berkata Encik Pritam hanya meminta Cik Raeesah untuk membetulkan pembohongannya pada 12 Oktober.
Encik Pritam menafikan beliau menyuruh Cik Raeesah terus berbohong dan menjelaskan bahawa beliau ingin Cik Raeesah membetulkan perkara tersebut di Parlimen selepas mesyuarat 8 Ogos, namun beliau ingin memberi masa kepada Cik Raeesah.
Encik Pritam berkata beliau cuba bersikap “sensitif dan lembut” terhadap Cik Raeesah, kerana pembohongan itu berkaitan dengan pengalamannya sendiri dengan serangan seksual dan ibu bapanya tidak mengetahuinya.
Beliau juga menafikan memberitahu Cik Raeesah pada 3 Oktober bahawa beliau boleh meneruskan pembohongan itu jika tidak dipersoalkan di Parlimen pada hari selanjutnya.
Pihak pembela, diketuai oleh Encik Andre Jumabhoy, berkata Cik Raeesah membuat inferens itu kerana beliau takut akibatnya jika beliau mengaku berbohong.
Semasa pemeriksaan, pihak pembela beberapa cuba mempersoal kredibiliti Cik Raeesah sebagai saksi dan hanya satu permohonan diterima oleh Hakim.
Pihak pembela juga meragui keterangan dua bekas anggota WP, Cik Loh Pei Ying dan Encik Yudhishthra Nathan, kerana mereka bertemu untuk membincangkan bukti sebelum menghadapi COP.
Ini adalah kali pertama sejak kemerdekaan Singapura seseorang didakwa di bawah Seksyen 31(q) Akta Parlimen (Keistimewaan, Kekebalan dan Kuasa), yang menjadikannya satu kesalahan untuk berbohong apabila ditanya oleh Parlimen atau jawatankuasa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg