Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) boleh mengarahkan syarikat penjanaan dan pengguna untuk mencatu tenaga semasa kecemasan bagi mengekalkan kestabilan sistem kuasa, di bawah rang undang-undang yang diperkenalkan di Parlimen pada 6 Ogos.
Ia akan membolehkan EMA membuat persediaan menghadapi kemungkinan berlaku kecemasan, satu isu yang menjadi penting berikutan krisis tenaga global dari 2021 hingga 2022, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Krisis itu, yang menampakkan risiko gangguan bekalan tenaga yang berpanjangan, tercetus oleh pelbagai faktor. Ia termasuk pemulihan ekonomi selepas pandemik Covid-19 mengatasi bekalan tenaga yang ada, dan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Singapura kini bergantung kepada 95 peratus gas asli dalam campuran bekalan elektriknya. Pada 2021, harga elektrik yang melambung telah menyebabkan enam peruncit bekalan tenaga menutup perniagaan dan keluar daripada pasaran.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan EMA memberitahu ST bahawa Singapura mengelak gangguan bekalan elektrik ketika itu dengan melaksanakan langkah-langkah pencegahan selain penyangga sistem sedia ada. Ini termasuk kemudahan bahan api siap sedia untuk digunakan oleh syarikat penjanaan jika diperlukan.
Catuan kuasa boleh dilakukan sebagai pilihan terakhir dalam kekurangan bahan api atau elektrik yang teruk dan mendadak dengan penyangga sistem, rizab bahan api dan tindak balas lain terhadap kecemasan tersebut tidak mencukupi, tambah mereka.
“Catuan tenaga bertujuan mengekalkan kestabilan keseluruhan sistem tenaga, dan memastikan bekalan tenaga yang kritikal bagi keperluan keselamatan, ekonomi dan sosial terus disediakan, sementara kami berusaha memulihkan bekalan tenaga dan kembali kepada keadaan normal.
“Pengguna akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum catuan tenaga, dan digalak melaksanakan pemotongan elektrik secara sukarela jika boleh. EMA akan melibatkan pengguna dan pihak berkepentingan yang berkaitan semasa menyusun pelan keutamaan untuk melaksanakan catuan kuasa semasa kecemasan,” kata pihak berkuasa itu.
Rang Undang-undang Langkah-langkah Peralihan Tenaga dan Pindaan Lain bertujuan membantu EMA memperkenalkan pagar lindungan baru untuk pasaran elektrik Singapura, mengukuhkan keupayaan pihak berkuasa mengawal selia sektor tenaga, dan menubuhkan dana untuk menyokong pelaburan bagi peralihan tenaga Singapura.
Dana Tenaga Masa Hadapan itu diumumkan semasa Belanjawan 2024, dan akan menerima suntikan awal sebanyak $5 bilion.
MTI dan EMA berkata, pemerintah akan memastikan dana tersebut digunakan secara berhemat.
Pada masa yang sama, Rang Undang-undang itu akan membenarkan MTI dan EMA menubuhkan entiti gas pusat untuk mengumpul permintaan gas daripada syarikat penjanaan kuasa dan memusatkan perolehan gas untuk sektor tenaga.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg