Sedang Singapura berusaha menyepadukan lebih banyak tenaga yang boleh diperbaharui ke dalam grid elektriknya bagi penghasilan gabungan tenaga lebih hijau, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) sedang menggabungkan keupayaan tambahan untuk meningkatkan daya tahan dan keandalan grid, kata EMA pada 11 Jun.
Singapura menetapkan matlamat mencapai 2 gigawatt-puncak (GWp) kapasiti solar menjelang 2030 dan sudah mencapai sekitar 1.2 GWp pada suku pertama 2024.
Tenaga suria, yang pada masa ini menyumbang kurang 1 peratus daripada penjanaan domestik, boleh menyumbang kira-kira 10 peratus daripada unjuran permintaannya pada 2050.
Singapura akan mengimport sekurang-kurangnya 4 GW tenaga elektrik rendah karbon dari negara serantau sebagai sebahagian usaha memastikan sektor kuasanya mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Singapura kini bergantung pada sekitar 95 peratus gas asli untuk penjanaan kuasa.
Memandangkan panel solar tidak dapat menghasilkan tenaga elektrik sepanjang masa sepanjang hari, mungkin terdapat ketidakpadanan antara bekalan tertinggi dengan permintaan tertinggi dalam kalangan isi rumah, perniagaan dan industri.
Permintaan tertinggi cenderung berlaku pada sebelah petang, apabila aktiviti komersial dan perindustrian berlangsung pada kelajuan maksimum atau semasa hari yang panas.
Turun naik dalam pengeluaran solar boleh menjejas keseimbangan antara bekalan dengan permintaan, menyebabkan gangguan dan ketidakstabilan grid.
Oleh itu, EMA akan menambah model ramalan fotovoltaik solar (PV) pada gridnya.
Ini akan membantu agensi meramalkan pengeluaran solar dengan lebih baik dan mengambil langkah awal untuk menguruskan perihal terputus-putus sebegitu.
Ini boleh melibatkan penghantaran loji penjana gas asli dan menggunakan sistem penyimpanan tenaga – yang pada asasnya adalah bateri berskala besar – yang boleh menyimpan dan mengeluarkan kuasa tambahan apabila ia diperlukan untuk menambah bekalan.
EMA memberitahu The Straits Times bahawa terdapat dua sistem penyimpanan tenaga – dengan jumlah kapasiti 285 megawatt-jam yang disambungkan ke grid – yang memainkan peranan penting dalam membantu Singapura mencapai sasaran puncak dua gigawatt.
Sebelum penambahbaikan, EMA mempunyai sistem kawalan penjanaan automatik yang memantau permintaan elektrik dan melaraskan pengeluaran penjana kuasa konvensional secara automatik setiap beberapa saat untuk memadankan perubahan dinamik dalam permintaan.
“Keupayaan baru itu membolehkan EMA mengurus dengan segera perubahan dalam permintaan dan bekalan, peningkatan penting dalam memastikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan stabil apabila Singapura meningkatkan penggunaan PV solar,” kata pihak berkuasa itu.
Ini berlaku apabila EMA menjangkakan permintaan berkembang dalam jangka masa sederhana hingga panjang apabila industri mencari jalan untuk mengurangkan pelepasan karbon mereka, manakala sektor intensif elektrik seperti pembuatan termaju dan ekonomi digital akan berkembang.
Permintaan tertinggi juga dijangka meningkat pada kadar kompaun tahunan sehingga sekitar 5 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sistem pengurusan tenaga baru itu juga mampu memodelkan sebarang jenis loji penjanaan elektrik, termasuk tenaga geoterma dan tenaga elektrik yang diimport, kata EMA.
Ia akan dilengkapi pemproses penggera bijak yang boleh meningkatkan ketersediaan pengendali sistem kuasa sekiranya berlaku gangguan kuasa, contohnya termasuk apabila berlaku kerosakan peralatan.
“Fungsi baru ini menyatukan penggera yang diterima dari loji jana kuasa dan pencawang penghantaran semasa kecemasan... dan akan membantu EMA bertindak balas dengan lebih berkesan dengan mengurangkan risiko lebihan maklumat pada operator di bilik kawalan.
“Ia juga membolehkan membuat keputusan dan tindak balas yang lebih cepat terhadap isu, mengurangkan masa henti dan meningkatkan kebolehpercayaan sistem secara keseluruhan,” tambah EMA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg