Kebanyakan isi rumah di Singapura akan merasai kesan kenaikan harga bahan api global menerusi penyesuaian tarif elektrik pada suku ketiga 2026.

Ini meskipun Iran dan Amerika Syarikat telah mencapai satu perjanjian damai penting pada 14 Jun, yang membuka laluan kepada rundingan lanjut dan pembukaan semula laluan Selat Hormuz untuk menamatkan konflik berbulan-bulan di Asia Barat.

Menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), harga minyak dan gas yang lebih tinggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini masih dijangka mempengaruhi semakan tarif elektrik yang akan datang.

Pada suku semasa yang berakhir pada Jun, tarif elektrik bagi kediaman meningkat sebanyak 2.1 peratus, atau 0.56 sen bagi setiap kilowatt sejam (kWh) sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berbanding suku pertama 2026.

Tarif terkawal elektrik pada suku ini (April hingga Jun), yang disediakan oleh pengendali grid dan bahan tenaga utama negara, SP Group, adalah pada 29.72 sen bagi setiap kilowatt sejam (kWh), termasuk GST.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), EMA menjelaskan bahawa komponen kos bahan api dalam tarif elektrik terkawal Singapura adalah berdasarkan purata harga harian gas asli bagi tempoh dua setengah bulan pertama suku sebelumnya.

“Tarif elektrik terkawal Singapura ditentukan secara suku tahunan... dengan konflik di Timur Tengah yang menjejas rantaian bekalan bahan api global, harga gas asli telah meningkat dengan ketara sejak penghujung Februari.

“Akibatnya, tarif elektrik terkawal berkemungkinan meningkat dengan ketara pada suku akan datang,” jelas seorang jurucakap EMA.

Menurut EMA, kos tenaga merangkumi sebahagian besar daripada tarif elektrik.

Ini bermakna bagi semakan tarif yang akan datang, sebahagian besarnya akan ditentukan oleh kos bahan api bagi tempoh April hingga pertengahan Jun.

Berkongsi pandangan mengenai semakan tarif elektrik itu, pemerhati yang dihubungi BH bersetuju bahawa tarif elektrik akan meningkat pada suku ketiga, dengan ada menjangkakan kenaikan sehingga 30 peratus.

Penganalisis Utama Penyelidikan Gas Asia Tenggara di S&P Global Energy, Cik Amanda Kang, menjangkakan kenaikan tarif elektrik antara 20 hingga 25 peratus.

Menurut beliau, lonjakan harga bahan api global sejak Mac akhirnya meninggalkan kesan sepenuhnya ke dalam tarif elektrik.

“Bagi isi rumah, ini diterjemahkan kepada peningkatan kira-kira $30 dalam bil elektrik bulanan bagi sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) empat bilik,” ujarnya.

Ini lebih-lebih lagi apabila Singapura mengimport gas asli untuk memenuhi sekitar 95 peratus daripada keperluan elektriknya.

Ia menambah bahawa entiti milik pemerintah yang ditubuhkan pada 2025 untuk memusatkan perolehan dan pembekalan gas asli, Singapore GasCo, sedang membuat pembelian untuk memastikan bekalan bahan api mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik.

Sehubungan itu, Cik Kang menerangkan perubahan tarif elektrik di Singapura pada akhirnya bergantung kepada kos bahan api.

“Harga elektrik di Singapura berkait dengan kos gas import, yang bergerak dengan kelewatan berbanding harga minyak di bawah kontrak bekalan jangka panjang.

“Apabila harga minyak melonjak, tarif elektrik turut meningkat,” ujar beliau.

Rakan Kongsi dan Ketua Infrastruktur Asia-Pasifik di KPMG, Encik Sharad Somani, menjangkakan kenaikan tarif elektrik antara 20 hingga 30 peratus.

“Cabaran bekalan dan ketidaktentuan geopolitik telah menjadi faktor utama yang mendorong kenaikan harga bahan api global sebanyak lebih 50 peratus sejak penghujung Februari,” katanya.

Sementara itu, Perunding Kanan Rystad Energy, Encik David Chew, menjangkakan harga elektrik akan meningkat dalam “lingkungan pertengahan satu digit”.

Namun, beliau mendapati terdapat kelewatan semula jadi dalam bagaimana kesan kenaikan harga ini dirasakan pengguna.

“Oleh itu, kesan penuh kenaikan harga baru-baru ini masih belum diambil kira sepenuhnya dalam tarif Julai,” jelas Encik Chew.

Meskipun Selat Hormuz baru dibuka selepas Iran dan Amerika mengikat perjanjian awal untuk mengakhiri peperangan, beliau memberitahu BH kesannya dijangka berlarutan lebih lama.

Selat tersebut merupakan laluan perkapalan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak mentah dunia.

“Walaupun satu perjanjian berkuat kuasa seperti yang dirancang, ia akan mengambil masa beberapa bulan untuk laluan perkapalan kembali normal.

“Pengguna tidak seharusnya menjangkakan kelegaan segera pada Julai. Penurunan yang ketara lebih berkemungkinan berlaku mulai suku pertama 2027, dengan andaian pembukaan semula selat tersebut secara ketara dan berterusan,” kongsi Encik Chew.

Menyentuh tentang pelan elektrik sedia ada, EMA berkata peratusan isi rumah yang mendapatkan pelan harga tetap yang ditawarkan peruncit elektrik meningkat daripada sekitar 36.6 peratus kepada 37.1 peratus dalam tempoh 1 Februari hingga 1 Jun.

“Peningkatan dalam kalangan isi rumah yang mengambil pelan harga tetap mungkin disebabkan oleh gabungan beberapa faktor, seperti usaha pengguna untuk melindungi diri daripada kemungkinan kenaikan tarif, serta pertambahan isi rumah baharu yang terbentuk dalam tempoh ini,” jelasnya.

Di bawah pelan berkenaan, pengguna membayar kadar elektrik yang tetap sepanjang tempoh kontrak tanpa mengira perubahan pada tarif terkawal.

Ini berbanding peratusan isi rumah yang mendapatkan bekalan elektrik daripada SP Group di bawah tarif elektrik terkawal, yang berkurangan daripada 63.4 peratus kepada 62.8 peratus dalam tempoh yang sama.

Bagi Cik Kang, tempoh sebegini mencerminkan nilai kontrak harga tetap yang semakin ketara, dengan pengguna yang telah mengunci kontrak tersebut dilindungi daripada lonjakan kos tenaga.

“Namun, jika harga minyak jatuh, pelanggan yang berada di bawah pelan tarif tetap tidak akan menikmati manfaat tersebut. Pelan harga tetap direka untuk memberikan kestabilan dan jaminan kepada pengguna terhadap kos elektrik mereka,” ujarnya.

Pengguna juga boleh menyemak laman perbandingan harga EMA di https://compare.openelectricitymarket.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelbagai pelan elektrik yang ditawarkan peruncit serta memilih pelan yang paling sesuai dengan keperluan dan keutamaan mereka.

Mereka juga bakal menerima rebat sehingga sebulan untuk caj perkhidmatan dan penyelenggaraan (S&CC).