Topik diikuti
Pergi ke BHkuEmpat AP bahagi tanggungjawab khidmat kepada penduduk di Kembangan
Empat AP bahagi tanggungjawab khidmat kepada penduduk di Kembangan
Seah Kian Peng: Harap penasihat pertubuhan akar umbi Melayu/Islam baru dapat dilantik, isi kekosongan Faishal di kawasan undi
Empat AP bahagi tanggungjawab khidmat kepada penduduk di Kembangan
Empat Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights (MP-BH) telah membahagikan kawasan undi Kembangan dalam GRC itu menjadi empat supaya mereka dapat menyampaikan khidmat untuk memastikan keperluan penduduk terus dipenuhi.
Ini sementara menantikan kehadiran seorang penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) baru.
Demikian menurut salah seorang AP GRC MP-BH dan Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, semasa bercakap dengan media di satu majlis jamuan tengah hari sempena Hari Kebangsaan bagi penduduk Kembangan di Singapore Expo pada 2 Ogos.
Apabila ditanya Berita Harian (BH) mengenai sentimen penduduk Melayu/Islam di Kembangan yang menginginkan kehadiran wakil Melayu di kawasan undi itu, Encik Seah berkata beliau berharap peranan penasihat GRO Melayu/Islam di kawasan tersebut dapat diisi semula.
Encik Seah berkata keempat-empat AP GRC itu – termasuk Encik Goh Pei Ming, Cik Tin Pei Ling, Cik Diana Pang dan dirinya – akan bersama-sama menghadiri acara utama di Kembangan, dengan setiap seorang akan bertanggungjawab bagi satu kawasan di Kembangan, seperti mengendalikan lawatan ke rumah buat masa ini.
“Semua acara serta komitmen kekal berjalan seperti biasa. Bahkan, bagi setiap komitmen, seorang daripada kami akan hadir, dan kadangkala lebih daripada seorang.
“Sudah tentu, kami berharap untuk mendapatkan lebih banyak sumber.
“Apabila individu berkenaan dilantik, beliau tentunya akan meluangkan lebih banyak masa di kawasan tersebut. Namun, kami semua akan terus menjaga penduduk dan bekerjasama dengan pemimpin akar umbi serta calon baru itu,” ujar beliau.
Mengiktiraf sumbangan Dr Faishal kepada perkhidmatan awam dan kawasan undi tersebut, Encik Seah berkata penduduk tentunya akan rasa kehilangan.
Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa satu sesi dialog melibatkan pemimpin akar umbi Melayu/Islam di GRC tersebut bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang baru, Encik Zaqy Mohamad, juga telah diadakan pada pagi 2 Ogos.
Di majlis jamuan tengah hari sempena Hari Kebangsaan bagi penduduk Kembangan, yang dihadiri Encik Seah bersama Encik Goh dan Cik Pang itu, Encik Seah mengumumkan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang memiliki kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) dan tinggal di GRC MP-BH serta SMC Mountbatten kini boleh memanfaatkan skim bayaran balik bagi pengangkutan perubatan, yang dinamakan ‘WeCare Wheels’.
Penduduk boleh menerima bayaran balik hingga $50 sebulan bagi kos pengangkutan untuk ke institusi perubatan seperti hospital, poliklinik dan klinik.
Sebelum ini, inisiatif ‘WeCare Wheels’, yang bermula pada Disember 2025, hanya menyasarkan pengguna kerusi roda. Skim itu akan berlangsung hingga 30 November 2027.
Dengan peningkatan skim itu, Encik Seah berkata seramai 11,000 lagi penduduk dijangka layak meraih manfaat daripadanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi beberapa projek yang bakal meningkatkan kemudahan di GRC itu.
Antaranya termasuk pemasangan lif di jejantas berhampiran Blok 311 Ubi Avenue 1, serta program peningkatan lif di Blok 412 dan 413 Eunos Road 5.
Encik Seah turut mengumumkan bahawa pembinaan Kelab Masyarakat (CC) Kampong Kembangan sedang berjalan lancar dan dijangka siap pada suku keempat 2028.
“CC baru ini akan menawarkan kemudahan yang dipertingkat dan lebih banyak peluang bagi penduduk belajar, menjalin hubungan serta mengambil bahagian dalam kegiatan kemasyarakatan yang bermakna,” kongsi beliau.