Empat lelaki disyaki anggota kongsi gelap diberkas dalam satu operasi penguatkuasaan pada dini hari 12 September.
Keempat-empat lelaki berusia 24 hingga 44 tahun itu adalah antara tujuh yang diberkas dalam usaha SPF mempertingkatkan tindakan terhadap kegiatan kongsi gelap.
Berita Harian (BH) dijemput menyaksikan operasi serbuan itu yang melibatkan pemeriksaan terhadap seramai 100 individu di 18 premis hiburan awam di sekitar kawasan Rochor Canal Road dan Little India.
Salah seorang daripada suspek dilihat cuba meronta dari pegawai SPF, namun akhirnya dibawa keluar dari premis sekitar 12.30 pagi.
BH difahamkan dua daripada suspek itu diberkas di tempat sama di mana empat lelaki lain sebelum ini dipercayai telah menyerang dua mangsa dengan senjata pada 7 September.
Mangsa berusia 16 dan 26 tahun itu mengalami luka tikaman di bahagian lengan dan belakang.
Suspek yang diberkas dalam kejadian 7 September itu telah dikenal pasti sebagai Muhammad Nuraqib Minhat, 32 tahun, dan Muhammad Fiqkri Jaffri, 31 tahun.
Dua lagi tertuduh ialah Muhammad Farhan Jaffri, 31 tahun, dan Muhammad Farzdhirman Yusman, 32 tahun.
Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa mengenali penyerang mereka.
Keempat-empat lelaki itu telah diarahkan supaya direman di Divisyen Polis Central.
Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta hukuman sebat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg