Empat mangsa yang dibawa ke Hospital Besar Sengkang (SKH) dalam keadaan sedar selepas kejadian disambar petir di Pantai Pasir Ris pada 5 Julai telah dibenarkan pulang.

Demikian menurut hospital berkenaan pada 7 Julai.

Kejadian itu berlaku pada petang 5 Julai, apabila seorang lelaki berusia 24 tahun disambar petir ketika sedang bermain papan dayung berdiri di perairan berhampiran Pantai Pasir Ris.

Mangsa kejadian, Allahyarham Mikhail Benyamin Abdullah, dibawa ke SKH dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudian disahkan meninggal dunia, berdasarkan kenyataan polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada 6 Julai.

Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa enam lagi individu berusia antara 13 dengan 54 tahun telah dibawa ke hospital dalam keadaan sedar.

Lima mangsa, termasuk lelaki yang meninggal dunia itu, dibawa ke Jabatan Kecemasan SKH.

Dua lagi mangsa, yang kedua-duanya merupakan kanak-kanak, telah dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH).

SKH memaklumkan, tiga daripada mangsa telah menjalani pemeriksaan dan dibenarkan pulang dalam keadaan stabil.

Mangsa keempat, yang tidak sedarkan diri buat sementara dan dimasukkan ke hospital untuk pemantauan, juga telah dibenarkan pulang, tambah pihak hospital.

Pihak SKH enggan mengulas mengenai hubungan antara mangsa-mangsa tersebut.

Akhbar The Straits Times (ST) turut menghubungi KKH bagi mendapatkan maklumat mengenai keadaan dua kanak-kanak tersebut.

Namun, pihak hospital enggan memberikan sebarang komen.

Seramai lapan orang sedang berkayak dan bermain papan dayung di pantai tersebut ketika mereka petir menyambar.

Seorang saksi, Encik Muhammad Fairuz, yang sedang memancing di pantai itu, memberitahu ST bahawa kumpulan berkenaan berada kira-kira 100 meter dari pantai ketika kejadian itu berlaku.

Beliau berkata keadaan langit ketika itu kelihatan cerah.

Beliau terdengar jeritan dan melihat seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri di atas papan dayungnya, manakala anggota kumpulan yang lain segera mengayuh kayak mereka kembali ke pantai.

Pemilik kedai sewa kayak berhampiran, Fish On SG, Encik Mohammad Nordin, berkata beberapa kayak telah terbalik akibat sambaran petir tersebut.

Beberapa orang awam kemudian membantu menarik beberapa kayak itu ke pantai serta mengangkat lelaki yang tidak sedarkan diri itu dari papan dayung dan membawanya ke kawasan rumput.

Sebuah ambulans kemudian tiba untuk membawa semua mangsa ke hospital.

Menurut Perkhidmatan Meteorologi Singapura, Singapura merekodkan purata 176 hari berlakunya petir setiap tahun.

‘Hari petir’ ditakrifkan sebagai hari apabila sekurang-kurangnya satu kejadian petir dikesan di stesen iklim Changi.

Kejadian itu berlaku menyusuli satu kejadian serupa pada Mei lalu, apabila seorang pekerja di sebuah ladang ikan meninggal dunia selepas disambar petir.

Pada Disember 2023, tiga pekerja telah dikejarkan ke hospital selepas petir menyambar berhampiran tapak pembinaan tempat mereka bekerja.