Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Empat pegawai polis tenang selamatkan warga emas dari kebakaran di North Bridge Road

Akan diberi Anugerah Penyelamat Masyarakat SCDF akhir Okt
Oct 7, 2024 | 3:24 PM
Empat pegawai polis dari Pusat Polis Kejiranan (NPC) Rochor, (dari kiri) Sarjan Tong Siang Chong, Inspektor Balai (SI) Muhammad Aniq Rusli, Sarjan Mohamed Fayyaz Habibrahiman, dan Konstabel Khas (SC) Armand Wagner, berjaya memadamkan api di sebuah unit kediaman dan menyelamatkan seorang warga tua.
Empat pegawai polis dari Pusat Polis Kejiranan (NPC) Rochor, (dari kiri) Sarjan Tong Siang Chong, Inspektor Balai (SI) Muhammad Aniq Rusli, Sarjan Mohamed Fayyaz Habibrahiman, dan Konstabel Khas (SC) Armand Wagner, berjaya memadamkan api di sebuah unit kediaman dan menyelamatkan seorang warga tua. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Meskipun keadaan amat cemas ketika sebuah unit kediaman dijilat api, empat pegawai polis dari Pusat Polis Kejiranan (NPC) Rochor kekal tenang untuk menyelamatkan seorang warga lelaki tua yang terperangkap.

Pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) yang terlibat dalam kejadian itu ialah Inspektor Balai (SI) Muhammad Aniq Rusli, Sarjan Mohamed Fayyaz Habibrahiman, Sarjan Tong Siang Chong, dan Konstabel Khas (SC) Armand Wagner.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), empat pegawai itu berkata mereka terhidu asap ketika meronda sekitar 10.50 pagi di kawasan North Bridge Road pada 16 September.

Menurut SI Aniq, 38 tahun, yang juga Timbalan Ketua Pasukan di NPC Rochor, mereka menyangka asap itu disebabkan acara persemadian di kolong blok, tetapi apabila mereka mendongak, mereka terlihat asap hitam tebal dari tingkat 11 Blok 7 North Bridge Road.

Mengesyaki ada kebakaran, mereka dengan segera menghubungi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan mengambil alat pemadam api dari kereta peronda lalu bergegas ke tingkat 11.

Empat pegawai polis terlihat asap hitam dari tingkat 11 Blok 7 North Bridge Road sekitar 10.50 pagi pada 16 September.
Empat pegawai polis terlihat asap hitam dari tingkat 11 Blok 7 North Bridge Road sekitar 10.50 pagi pada 16 September. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Apabila mereka tiba di tingkat 11, unit terjejas diselubungi asap hitam yang menyebabkan kesukaran bernafas.

“Apabila kami mendekati pintu unit, kami terlihat seorang lelaki tua dalam keadaan bogel mencengkam pintu pagar. Pada mulanya, beliau dalam keadaan cemas… tetapi kami berjaya menenangkannya.

“Beliau kemudian melontar seluarnya kepada kami dan dari situ kami mengesyaki kunci pintu mungkin dalam kocek seluar itu,” kongsi Sarjan Fayyaz, 23 tahun.

Beliau baru berkhidmat dengan SPF selama dua bulan tetapi pernah menjalani Perkhidmatan Negara (NS) selama dua tahun dua bulan di NPC Rochor.

Sarjan Fayyaz mendapati kocek seluar itu melekat kerana terkena api tetapi berjaya mengoyakkannya dan mengeluarkan segugus kunci.

Koridor rumah di tingkat 11 Blok 7 North Bridge Road sudah dibersihkan sejak kebakaran itu berlaku pada 16 September.
Koridor rumah di tingkat 11 Blok 7 North Bridge Road sudah dibersihkan sejak kebakaran itu berlaku pada 16 September. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

“Kami terpaksa mencuba membuka pintu menggunakan kunci satu persatu. Pintu akhirnya dapat dibuka dan kami membawa warga tua itu keluar,” jelas SI Aniq, yang sudah berkhidmat dengan SPF selama 15 tahun tujuh bulan.

SI Aniq mahu menyelubungi tubuh warga tua itu dengan selimut tetapi warga tua itu enggan kerana mengalami kecederaan di paha kanannya.

Beliau kemudian dibawa ke hospital dalam keadaan sedar.

Menurut Sarjan Tong, 34 tahun, yang berjaya memadamkan api sebelum SCDF tiba, kebakaran berpunca dari sesuatu di katil warga tua itu.

Punca kebakaran sedang disiasat.

“Objektif saya untuk memastikan api tidak merebak… Mata kami perit disebabkan asap jadi kami menyangkung untuk bernafas dan melihat,” ujar Sarjan Tong, yang sudah berkhidmat dengan SPF selama lima tahun dua bulan.

Atas keberanian dan semangat awam keempat-empat pegawai polis, (dari kiri) Sarjan Tong Siang Chong, Inspektor Balai (SI) Muhammad Aniq Rusli, Sarjan Mohamed Fayyaz Habibrahiman, dan Konstabel Khas (SC) Armand Wagner, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan menganugerahkan mereka Anugerah Penyelamat Masyarakat SCDF pada akhir Oktober.
Atas keberanian dan semangat awam keempat-empat pegawai polis, (dari kiri) Sarjan Tong Siang Chong, Inspektor Balai (SI) Muhammad Aniq Rusli, Sarjan Mohamed Fayyaz Habibrahiman, dan Konstabel Khas (SC) Armand Wagner, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan menganugerahkan mereka Anugerah Penyelamat Masyarakat SCDF pada akhir Oktober. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

SC Armand, 20 tahun, pula berkata keutamaannya adalah untuk memindahkan penduduk lain di aras 11 dan 12.

“Kami tidak bimbang tentang keselamatan kami kerana kami dilatih bagaimana bertindak dalam situasi seperti ini,” kongsi SC Armand, yang baru sahaja memulakan Perkhidmatan Negara (NS) selama dua bulan.

SI Aniq menambah: “Kami percaya antara satu sama lain untuk melakukan tugas kami... kami tidak gementar atau cemas walaupun berada dalam situasi itu.”

Empat pegawai polis akan diberi Anugerah Penyelamat Masyarakat SCDF pada akhir Oktober.

Apabila BH meninjau Blok 7 North Bridge Road baru-baru ini, koridor rumah di aras 11 kelihatan biasa dan sudah dibersihkan sejak kebakaran itu berlaku.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg