Kecoh-kecoh Lebaran keluarga besar dengan 133 orang di dewan ‘ballroom’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kecoh-kecoh Lebaran keluarga besar dengan 133 orang di dewan ‘ballroom’

Mar 22, 2026 | 5:00 PM

Kecoh-kecoh Lebaran keluarga besar dengan 133 orang di dewan ‘ballroom’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Verona Henderson, keluarga besar, perjumpaan Hari Raya
Seramai 133 orang dalam lima generasi keluarga besar Rahman Shah berkumpul di dewan ‘ballroom’ Verona Henderson pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri untuk menyambut Raya secara beramai-ramai. - Foto ihsan MOHAMAD NAZALI MOHAMAD

Selepas menyedari rumah mak ciknya tidak dapat menampung kesemua 133 anggota keluarga Rahman Shah sewaktu Hari Raya, Encik Mohamad Nazali Mohamad, mak cik dan beberapa sepupunya, memutuskan untuk menganjurkan perjumpaan Hari Raya secara besar-besaran buat julung-julung kalinya.

Acara perjumpaan Hari Raya itu berlangsung penuh meriah di Verona Henderson pada 21 Mac, Hari Raya pertama 2026.

Demi mementingkan kebersamaan dan kesatuan keluarga, Encik Nazali, 59 tahun, yang merupakan cucu pertama dalam keluarga besar Rahman Shah, serta beberapa sepupunya telah menubuhkan jawatankuasa untuk merancang acara berkenaan sejak September 2025

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), penyelia kejuruteraan itu berkata:

“Kami bercadang untuk adakan perjumpaan ini sebagai sebahagian legasi dan adat keluarga ini untuk berkumpul beramai-ramai sewaktu Hari Raya.

“Oleh kerana rumah mak cik saya yang tertua kini tidak memadai untuk menampung semua orang, kami bertekad untuk tetap kumpulkan semua anggota keluarga di bawah satu bumbung sempena Hari Raya.”

Tambahan pula, keluarga Rahman Shah telah berkembang dengan lebih ramai anggota lagi.

Justeru, ia penting untuk mereka berkumpul pada satu masa agar sentiasa dapat mengenali anggota keluarga baharu.

“Dengan menyewa tempat yang besar untuk adakan perjumpaan ini, kami dapat terus berkumpul di satu tempat pada satu masa. Ini membolehkan kita untuk sentiasa kenal wajah semua anggota keluarga dan kekal rapat antara satu sama lain,” jelasnya lagi.

Namun, beliau akur perancangan perjumpaan Hari Raya bagi sebuah keluarga besar itu tidaklah mudah.

Menyifatkan perancangan perjumpaan tersebut ibarat merancang majlis perkahwinan, Encik Nazali berkongsi:

“Perancangannya agak rumit. Sukar untuk cari perkhidmatan penyediaan makanan yang dapat menawarkan perkhidmatan mereka pada Hari Raya pertama.

“Justeru, para anggota jawatankuasa terpaksa menghadiri perjumpaan dengan vendor tempat dan makanan untuk berbincang lebih lanjut. Adakala hingga larut malam pada 3 pagi,” tambah bapa tiga anak itu.

Majlis yang mengumpulkan lima generasi daripada keturunan Rahman Shah, dalam lingkungan umur antara tiga bulan dengan 77 tahun, diisi dengan kemeriahan dan suasana riang.

Menurut cucu kelima keluarga Rahman Shah, Cik Rohaine Ismail, 54 tahun, selain berkumpul dan menjamu selera dengan juadah Raya, acara perjumpaan selama lebih tiga jam itu turut diserikan lagi dengan kegiatan seperti kuiz, permainan, cabutan bertuah dan sesi bermaafan.

“Dengan wang yang telah kami kumpulkan daripada sepupu yang lain dan sedikit tajaan daripada pihak jawatankuasa, kami adakan beberapa kegiatan permainan dan kuiz.

“Kuiz berkenaan fakta tentang keluarga besar ini telah menyatukan semua anggota keluarga untuk terlibat bersama secara beramai-ramai. Kami juga adakan sesi cabutan bertuah dengan 37 hadiah disediakan,” kongsinya yang bertugas sebagai setiausaha.

Cik Rohaine, yang juga merupakan anak perempuan kepada anggota keluarga tertua dalam keluarga besar itu, Cik Rabiah Rahman Shah, 77 tahun, turut menyifatkan suasana perjumpaan itu bertambah kecoh dengan derai tawa dan larian generasi kelima, yang kebanyakannya masih kanak-kanak.

“Generasi kelima merangkumi 14 orang. Kebanyakannya masih kanak-kanak. Jadi, suasananya memang kecoh-kecoh Raya,” jelasnya.

Lumrah adat Hari Raya pasti diakhiri dengan sesi bermaafan demi terus menjalinkan hubungan baik sesama insan.

Begitu jua bagi keluarga besar itu yang terpaksa beratur untuk bermaafan dek anggota keluarga yang terlalu ramai.

Lazimnya, sewaktu Hari Raya khususnya, anggota keluarga tertua yang menjadi ‘penyatu’ bagi seluruh anggota keluarga.

Kata Cik Rabiah, yang merupakan anak ketiga Rahman Shah:

“Sayu dan terharu melihat semua anggota keluarga berkumpul menyambut Hari Raya.

“Ia satu nikmat yang tak dapat digambarkan bila lihat semua adik beradik, anak saudara, cucu dan cicit berkumpul.

“Bila semua ada di depan mata, hati jadi sebak dan sangat bahagia.”

Hari Raya yang diselubungi semangat kebersamaan, penuh gelak tawa dan saling bermaafan menjadi sesuatu yang sangat berharga dan akan dikenang selamanya oleh Cik Rabiah.

“Saya harap semoga Allah panjangkan umur kita semua, beri kesihatan yang baik dan izinkan kita untuk terus berkumpul seperti ini setiap tahun,” ujar beliau lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg