Seramai 13 orang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam perkahwinan palsu.
Mereka adalah enam wanita Vietnam dan tujuh lelaki Singapura, berusia 22 hingga 32 tahun, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 7 Jun.
Mereka diberkas dalam operasi penguatkuasaan pada 5 Jun apabila serbuan serentak dilakukan di kawasan kediaman awam dan privet di serata Singapura.
Penyiasat sedang meneliti kemungkinan kesalahan membuat pengisytiharan palsu melibatkan permohonan pas lawatan suspek.
Penangkapan itu dibuat berikutan siasatan terhadap dakwaan sindiket yang mengatur perkahwinan palsu, kata ICA.
Kesemua suspek didakwa di mahkamah pada 6 Jun.
Mereka yang didapati bersalah akibat kesalahan perkahwinan palsu boleh didenda sehingga $10,000, dipenjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Seramai 18 orang ditahan antara 2021 dan 2023 atas kesalahan tersebut. Lapan daripada mereka telah ditangkap pada 2023.
ICA berkata orang ramai boleh melaporkan perkahwinan palsu yang disyaki atau kesalahan berkaitan imigresen melalui borang dalam talian di laman webnya. Semua maklumat yang diberikan akan dirahsiakan, ia menambah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg