Langkah meredakan konflik dan mencegah situasi yang boleh menjadi ganas dengan mengambil tindakan awal adalah usaha pertama penting dalam mengubah trajektori berbahaya dunia, yang kini menyaksikan peperangan dan ketegangan, kata Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen.
Berucap di sesi pleno Dialog Manama Ke-20 di Bahrain pada 7 Disember, Dr Ng berkata pandemik Covid-19, serangan Russia ke atas Ukraine, peperangan di Gaza dan Lebanon, serta ketegangan semakin meningkat antara Amerika Syarikat dengan China adalah “peristiwa impak tinggi” yang terus menggoncang dunia.
Akibatnya, risiko bagi ketidakstabilan untuk semua negara telah meningkat, tambah beliau.
Antaranya, kehadiran China di perairan Laut China Selatan telah mencetuskan ketegangan antara mereka dengan Amerika dan negara lain seperti Malaysia, Filipina dan Vietnam.
Seiring dengan kemajuan pesat ekonominya dari 1980 hingga 2020, China turut membina kekuatan keselamatannya dan telah meningkatkan pemasangan aset tentera dalam kawasan perairan itu.
Bahkan, menjelang 2015, ia dianggarkan bahawa 3,000 ekar pulau buatan yang menempatkan gudang, landasan dan pelabuhan laut telah dibina oleh China di Laut China Selatan.
Media antarabangsa sebelum ini juga melaporkan China bertegas menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) seluas 200 batu nautika yang dikongsi Malaysia, Filipina, Brunei, Taiwan dan Vietnam, adalah di bawah kedaulatannya.
Dr Ng berkata rantau Asia dan Indo-Pasifik mesti melakukan semua yang boleh untuk mengelakkan konflik daripada berlaku.
“Jika konflik berlaku di situ… maka semua pertaruhan bagi keamanan dan kemajuan bagi generasi ini berakhir.
“Saya berterima kasih kerana kedua-dua Amerika dan China telah mengubah kedudukan mereka untuk mengelakkan konflik, sama ada mengenai Taiwan atau Laut China Selatan,” kata beliau.
Menyentuh tentang perkembangan di Timur Tengah pula, Dr Ng berkata perjanjian gencatan senjata baru-baru ini antara Israel dengan Hezbollah di Lebanon telah memberi dunia “beberapa harapan”.
Beliau berkata penyelesaian dua negara untuk Israel dan Palestin yang disokong Singapura adalah satu matlamat yang mesti diusahakan sebagai satu-satunya jalan berdaya maju yang membawa kepada keamanan berkekalan.
“Namun, buat masa ini, kita harus berusaha ke arah gencatan senjata juga di Gaza supaya tragedi kemanusiaan dapat diringankan,” kata beliau.
Sejak konflik di Timur Tengah itu bermula, Singapura telah menghantar lima bahagian bantuan kemanusiaan ke Gaza, berjumlah lebih AS$13 juta ($18 juta) dalam bentuk wang tunai dan derma.
Lebih 44,000 orang telah terbunuh di Gaza akibat tindak balas Angkatan Pertahanan Israel (IDF) sejak tercetusnya konflik Israel-Hamas itu pada 7 Oktober 2023.
Dr Ng turut menyentuh tentang serangan Russia ke atas Ukraine, sambil menambah bahawa semakin ramai pihak kini berpandangan bahawa “sudah tiba masanya untuk mencari penyelesaian diplomatik dengan bersungguh-sungguh”.
“Saya percaya kita semua di sini dan pemimpin keselamatan di tempat lain tahu bahawa kita perlu mengubah trajektori berbahaya yang dilalui dunia kita.
“Tiada rantau yang terkecuali dan dalam dunia kita yang saling terkait, risiko gabungan banyak faktor yang membawa kepada kemusnahan di peringkat global adalah nyata dan semakin meningkat,” kata beliau.
Semasa di Bahrain, Dr Ng bertemu dengan Perdana Menteri dan Timbalan Komander Angkatan Pertahanan Bahrain, Putera Mahkota Salman Hamad Al Khalifa.
Beliau turut bertemu Penasihat Keselamatan Negara dan Komander Pengawal Diraja Bahrain, Leftenan Jeneral Shaikh Nasser Hamad Al Khalifa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg