Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eng Hen: Matlamat AS elak perang dengan China langkah positif

Amerika perlu jelas tentang pelan elak terjadinya perang tersebut
Feb 19, 2025 | 7:04 PM
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen (kanan), turut mengulas tentang pertikaian di Laut China Selatan, antara China dengan negara jirannya, dalam wawancara program, ‘CGTN Dialogue’, di sebuah saluran berita yang berpangkalan di China pada 14 Februari.
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen (kanan), turut mengulas tentang pertikaian di Laut China Selatan, antara China dengan negara jirannya, dalam wawancara program, ‘CGTN Dialogue’, di sebuah saluran berita yang berpangkalan di China pada 14 Februari. - Foto fail

Matlamat Amerika Syarikat untuk mengelak peperangan dengan China dan memberi tumpuan pada Asia mencerminkan langkah positif, kata Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen.

Meskipun pada hakikatnya asas permulaan bagi mengelak perang dengan China adalah langkah yang dialu-alukan, Amerika juga perlu jelas tentang bagaimana mereka merancang mengelak peperangan tersebut.

“Persoalannya adalah bagaimana anda mengelak peperangan dengan China? Dan itu adalah soalan baik yang harus dikemukakan kepada Amerika,” kata Dr Ng pada 14 Februari, dalam wawancara program, CGTN Dialogue – sebuah saluran berita yang berpangkalan di China.

Pada 12 Februari, Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, menyatakan Amerika tidak lagi mengutamakan keselamatan Eropah dan Ukraine, sedang pentadbiran Presiden Donald Trump mengalihkan perhatiannya untuk menjaga sempadan negaranya sendiri dan mengelak perang dengan China.

“Saya menganggap peningkatan kehadiran tentera di Asia akan menjadi sebahagian perkiraan.

“Saya menganggap cubaan untuk mendapatkan pemahaman tentang isu hangat seperti rentas selat dengan Taiwan, Korea Utara, Laut China Selatan, juga boleh menjadi isu penting, dan saya mengagak – kerana semua butiran perlu diisi Setiausaha Pertahanan Amerika.

“Namun, jika itu bermakna peningkatan kehadiran tentera dan keinginan untuk bercakap tentang isu hangat, saya fikir itu adalah langkah positif,” tambah Dr Ng.

Semasa wawancaranya itu, Dr Ng turut ditanya tentang pertikaian di Laut China Selatan, antara China dengan negara-negara jirannya.

Dr Ng berkata China terperangkap antara dua matlamat yang kelihatan bercanggah berhubung ketegangan di Laut China Selatan.

Salah satu daripadanya adalah sebagai tindak balas kepada tanggapannya tentang pembendungan Amerika dan negara lain dalam mewujudkan kehadiran tentera di pulau-pulau Laut China Selatan – sesuatu yang ingin dilakukan China atas sebab keselamatan yang sah.

Dr Ng berkata perkara ini boleh difahami meskipun ada yang tidak bersetuju dengan prinsipnya.

Namun, apa yang bercanggah adalah kehadiran China di perairan itu bertentangan dengan, contohnya, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Undang-Undang Laut (Unclos), dengan perairan tersebut menjadi ‘medan’ rebutan China dan negara-negara Asean seperti Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam.

Ini sesuatu yang perlu diselesaikan China, kata Dr Ng.

“Contohnya, dalam aspek cabaran dasar luar dan cabaran keselamatan bagi China, bolehkah ia menyelesaikan keperluannya untuk mewujudkan barisan pertahanan hadapan, namun pada masa yang sama, meredakan ketegangan dengan negara jirannya?

“Saya fikir ia boleh dilakukan, tetapi itu terpulang kepada China dan anggota Asean untuk menyelesaikannya. Saya rasa terdapat beberapa kelemahan dalam usaha China cuba mencapai matlamat pertamanya dalam mewujudkan barisan pertahanan hadapan.

“Dan kita melihatnya sama ada dengan Filipina atau Vietnam, serta takrifan sejagat terhadap China. Tetapi itu adalah sesuatu yang perlu diselesaikan oleh China,” kata beliau.

“Saya menganggap peningkatan kehadiran tentera di Asia akan menjadi sebahagian perkiraan. Saya menganggap cubaan untuk mendapatkan pemahaman tentang isu hangat seperti rentas selat dengan Taiwan, Korea Utara, Laut China Selatan, juga boleh menjadi isu penting, dan saya mengagak – kerana semua butiran perlu diisi Setiausaha Pertahanan Amerika. Namun, jika itu bermakna peningkatan kehadiran tentera dan keinginan untuk bercakap tentang isu hangat, saya fikir itu adalah langkah positif.”
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg