Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eng Hen: Pematuhan kepada peraturan bersama kunci kekalkan keamanan kolektif

Feb 19, 2025 | 6:37 PM
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen (tengah), menyertai satu  perbincangan panel pada Persidangan Keselamatan Munich tahunan yang ke-61 di Jerman pada 15 Februari.
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen (tengah), menyertai satu perbincangan panel pada Persidangan Keselamatan Munich tahunan yang ke-61 di Jerman pada 15 Februari. - Foto MINDEF

Negara di seluruh dunia mesti mematuhi satu set peraturan yang sama jika dunia ingin terus aman dan stabil, kata Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, semasa lawatan tiga harinya ke Jerman yang berakhir pada 16 Februari.

Dr Ng berkata demikian ketika beliau menggariskan bagaimana persaingan kuasa besar sedang bertambah sengit di Asia serta perubahan radikal yang dilakukan oleh pentadbiran Amerika Syarikat terkini terhadap dasar luarnya, dalam ucapan di Persidangan Keselamatan Munich (MSC) tahunan yang ke-61 dan acara sampingan lain.

Dalam satu perbincangan panel di MSC pada 15 Februari, beliau menarik perhatian dengan mengatakan bagaimana China dan Amerika telah memperkukuh kehadiran ketenteraan mereka di Laut China Selatan dan Selat Taiwan, begitu juga dengan beberapa negara Eropah, lapor The Straits Times.

Sebagai contoh, China meningkatkan rondaan di sekitar wilayah yang dipertikaikan di Laut China Selatan sebanyak 17 peratus pada 2024, manakala kehadiran militia maritimnya telah meningkat sebanyak 35 peratus sejak 2022, menurut angka daripada badan pemikir, Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa.

Sementara itu, Amerika telah merundingkan 12 tapak pertahanan baru di Filipina dan Australia sejak 2011 dan membina kemudahan baru di Jepun dan Guam, menurut satu laporan kongres Amerika.

Secara keseluruhan, ia mempunyai kira-kira 140,000 anggota tentera di 29 pangkalan tentera di rantau ini.

Dr Ng menggesa negara-negara supaya memerhatikan matlamat strategik yang dimiliki negara berkuasa ini di rantau ini, selain daripada pertikaian antara negara yang terlibat.

“Jika ini hanya mengenai pertikaian wilayah, kami (masyarakat pertahanan) tidak perlu berada di sini, anda boleh menyerahkannya kepada negara (yang terlibat untuk menyelesaikan perkara itu sendiri),” katanya.

“Anda sama ada menerima hakikat bahawa terdapat persaingan strategik, bahawa pertikaian hebat itu sedang berlaku di Laut China Selatan, atau tidak.”

Bagi Amerika, matlamatnya adalah untuk mengekalkan penguasaannya sebagai kuasa Pasifik dengan bekerjasama dengan sekutunya.

Beberapa negara Eropah juga berminat untuk membuktikan kepada Amerika bahawa mereka adalah sekutu yang boleh dipercayai, termasuk di Asia-Pasifik, kata Dr Ng.

Namun, ia juga jelas kepada semua bahawa Amerika telah mengubah asas capaian dan ketuanan dunia secara radikal, tambahnya.

Bagi China, niat strategiknya adalah dua kali ganda, kata Dr Ng.

Pertama, tindakan negara itu di Laut China Selatan adalah tindak balas kepada strategi pembendungan Amerika, yang asalnya berpunca daripada kempen Amerika untuk membendung pengembangan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Kedua, Dr Ng berkata kehadiran China di perairan itu adalah terjemahan Doktrin Monroe, yang dinamakan sempena mantan presiden Amerika, Encik James Monroe.

Pada dasarnya, ini bermakna China melihat sebarang campur tangan dalam hal ehwal rantau ini oleh pihak luar sebagai tindakan yang berpotensi bermusuhan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg