Diplomasi memang berkesan, tetapi ia memerlukan kemahuan dan sokongan masyarakat global, kata Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, pada Dialog Shangri-La yang berlangsung di Hotel Shangri-La pada 2 Jun.
Encik Zelensky menegaskan demikian sambil memohon sokongan antarabangsa bagi sidang puncak keamanan akan datang yang akan diadakan di Switzerland pada 15 dan 16 Jun.
Sidang puncak itu bertujuan menunjukkan bahawa terdapat persefahaman bersama dalam majoriti negara di dunia tentang langkah selanjutnya yang boleh diambil ke arah keamanan di Ukraine di samping menyampaikan isu ini kepada Russia.
Menurut Encik Zelensky lagi, apa yang ingin ditekankan dalam sidang itu adalah dunia bertamadun tidak membenarkan Ukraine ditawan penceroboh lantas menunjukkan bahawa masyarakat antarabangsa mementingkan perintah berasaskan peraturan dan menghormati kehidupan manusia.
“Kami yakin bahawa dunia ini mahu bersatu dan mampu bertindak dengan penuh harmoni.
“Diplomasi berfungsi, apabila ia benar-benar bertujuan melindungi nyawa,” katanya ketika berucap pada sesi pleno ketujuh dan terakhir dialog mengenai keselamatan itu yang bermula pada 31 Mei dan melabuhkan tirainya pada 2 Jun.
Encik Zelensky menambah sidang puncak damai itu bukan juga mengenai sokongan persenjataan.
“Sidang ini adalah mengenai sokongan pada detik penghujung perang. Ia adalah mengenai usaha menggugat situasi dan melaksanakan yang sewajarnya di semua wilayah,” katanya.
Seperti kebiasaannya, Encik Zelensky, 46 tahun, berpakaian kasual dengan kemeja-T polo ketika berucap di hadapan hadirin yang terdiri daripada pemimpin dunia, menteri pertahanan, ketua pasukan pertahanan, pegawai kanan dan ahli akademik pada acara tahunan berupa sidang keselamatan utama Asia di Hotel Shangri-La.
Nadanya tegas ketika menggesa pemimpin yang hadir agar membantu rakyatnya menamatkan perang pahit dengan Russia, yang memasuki tahun ketiga.
“Masa semakin suntuk”, kata Encik Zelensky, ketika membuat gesaan diberi sokongan antarabangsa untuk Kyiv di tengah-tengah serangan baru Russia dua minggu menjelang sidang puncak keamanan yang disokong Ukraine.
“Kanak-kanak membesar di bumi Putin (Presiden Russia, Encik Vladimir Putin), di mana mereka diajar untuk membenci tanah air mereka, dan diberitahu mereka tidak mempunyai keluarga manakala orang tersayang menunggu mereka di rumah di Ukraine.
“Selepas sidang puncak pihak yang berkaitan akan menyerahkannya kepada Russia,” jelasnya.
Encik Zelensky, yang sampai di Singapura pada 1 Jun dengan Menteri Pertahanan Ukraine, Encik Rustem Umerov, berucap sebagai ulasan tambahan saat akhir perbincangan bertajuk ‘Membayangkan Semula Penyelesaian untuk Keamanan Sejagat dan Kestabilan Serantau’.
Dalam catatan Facebook, Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen melahirkan rasa besar hati dapat bertemu Encik Zelensky yang dikagumi masyarakat merata dunia kerana kepimpinannya dalam memperjuangkan penakatan dan kedaulatan Ukraine di dalam kemelut penaklukan Russia itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg