Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelantikan pegawai kanan Mindef, SAF berdasarkan kebolehan

Kenaikan pangkat berdasarkan meritokrasi, bukan disebabkan bangsa atau agama
May 13, 2025 | 9:00 PM
ng eng hen, menteri pertahanan, bersara, meritokrasi, mindef, saf
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, berkata pegawai kanan dalam Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dinaikkan pangkat berdasarkan kebolehan mereka, dan bukan kerana bangsa, agama atau identiti mereka. - Foto ST

Pegawai kanan dalam Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dinaikkan pangkat berdasarkan kebolehan mereka dan bukan kerana bangsa, agama atau identiti mereka, kata Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, yang bakal bersara.

Walaupun sudah ada beberapa pegawai Melayu yang memegang jawatan penting dalam Mindef dan SAF, Dr Ng berkata faktor yang perlu dilihat apabila meneliti kemajuan Singapura bukan hanya mengenai berapa ramai wakil sesuatu kaum atau agama yang ada dalam pelantikan penting.

Sebaliknya, beliau meminta rakyat Singapura melihat sistem itu secara menyeluruh dan bertanya sama ada ia adil bagi semua rakyat Singapura yang berkebolehan untuk mendapatkan jawatan tersebut berdasarkan kemampuan mereka.

Dr Ng berkata demikian sebagai menjawab soalan Berita Harian (BH) pada 13 Mei semasa wawancara bersama media bagi menjawab kritikan segelintir masyarakat Melayu yang mempersoalkan pemerintah mengenai kurang perwakilan pegawai Melayu di Mindef dan SAF.

Bercakap kepada media buat kali pertama selepas pengumumannya untuk bersara daripada politik pada 18 April selepas 24 tahun berkhidmat, beliau menjelaskan:

“Dalam perlembagaan, orang Melayu diberi beberapa keistimewaan dan itu diusahakan dalam sistem serta badan-badan bantu diri.

“Tetapi di atas semua itu adalah prinsip meritokrasi di mana seseorang yang berkebolehan tidak boleh dihalang daripada maju ke hadapan kerana bangsa atau identiti,” jelas Dr Ng.

Beliau menambah bahawa kaum dan agama akan sentiasa menjadi sebahagian daripada masyarakat Singapura.

Menolaknya, atau cuba merendahkannya, seperti yang dilakukan oleh beberapa negara Eropah, adalah tidak realistik.

Sebaliknya, beliau menyeru Singapura supaya menangani halangan tersirat yang mungkin menghalang kumpulan-kumpulan tertentu daripada maju dan memberikan yang terbaik dalam pekerjaan mereka.

Dr Ng menukil contoh bagaimana masyarakat dan majikan telah memainkan peranan untuk menangani cabaran yang dihadapi kaum ibu yang bekerja dengan menubuhkan kemudahan bilik menyusu dan menyediakan kemudahan penjagaan anak untuk memberikan ketenangan fikiran kepada ibu.

Beliau berkata walaupun terdapat beberapa pemimpin Melayu yang memegang peranan politik sebagai Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Dr Ng berkata tumpuan tidak seharusnya diberikan kepada bilangan bangsa atau agama wakil tersebut yang menggalas peranan itu.

“Saya fikir ujian kita adalah tentang kesaksamaan dan sama ada kita mahu sistem yang condong ke arah sistem di mana anda melihat hasil adalah berdasarkan kaum dan agama.

“Itu satu persoalan untuk rakyat Singapura fikirkan.

“Jika anda mendesak untuk perkara ini dan menjadikannya isu pilihan raya, atau jika sistem itu tidak berubah dan anda tidak memihak kepada kaum tertentu atau identiti lalu mengatakan bahawa “saya akan mengundi menentang anda”, kita menjadi semakin berpolarisasi,” ujar Dr Ng.

Dr Ng yang merupakan seorang pakar bedah barah, memasuki politik pada 2001 dan pernah memegang beberapa jawatan kabinet, seperti Menteri Pendidikan, Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Pertahanan.

Beliau merupakan Menteri Pertahanan paling lama berkhidmat di Singapura.

Berkata lebih lanjut, Dr Ng menjelaskan bagi Singapura, ia mengambil pandangan bahawa kaum dan agama adalah sebahagian daripada kehidupan Singapura dan perlu menanganinya dengan sensitif.

Tetapi beliau mengingatkan agar tidak melihat pelantikan penting dalam Mindef dan SAF semata-mata melalui kaca mata kaum dan agama sahaja.

“Jika anda melihat masyarakat melalui kaca mata kaum… misalnya kalau orang Cina, ada yang mungkin meminta perangkaan suku kaum Teochew, Kantonis … berapa bilangan anak tempatan, berapa pula yang lahir di luar Singapura… anda juga akan tanya yang sama bagi bangsa India, Melayu dan kaum lain…”.

“Di manakah ia membawa anda? Pemikiran keseluruhan persepsi dan hasil anda melalui lensa kaum.

“Melihat masyarakat secara keseluruhan melalui lensa kaum membawa anda kepada hasil tertentu dan anda akan sering membuat perbandingan sepanjang masa,” kata Dr Ng.

Dalam perlembagaan, orang Melayu diberi beberapa keistimewaan dan itu diusahakan dalam sistem serta badan-badan bantu diri. Tetapi di atas semua itu adalah prinsip meritokrasi di mana seseorang yang berkebolehan tidak boleh dihalang daripada maju ke hadapan kerana bangsa atau identiti.
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, yang bakal bersara.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg