Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Surat penghargaan PM Wong kepada Eng Hen

Apr 21, 2025 | 8:18 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), memuat naik gambar beliau bersama Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen (kanan), di Facebook, bagi merakamkan penghargaan atas khidmat bakti Dr Ng, yang telah mengumumkan persaraannya daripada politik pada 18 April.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), memuat naik gambar beliau bersama Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen (kanan), di Facebook, bagi merakamkan penghargaan atas khidmat bakti Dr Ng, yang telah mengumumkan persaraannya daripada politik pada 18 April. - Foto FACEBOOK LAWRENCE WONG

“Ke hadapan Dr Ng,

Dengan persaraan anda daripada politik, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan yang tulus atas khidmat bakti anda selama ini kepada Singapura.

Pada 2001, anda meninggalkan kerjaya sebagai pakar bedah yang berjaya untuk mengambil laluan yang anda sifatkan sebagai “jalan yang kurang dilalui” – dengan memasuki dunia politik untuk membuat perubahan bagi Singapura dan rakyatnya. Sememangnya anda telah melakukannya dalam setiap peranan yang anda ketuai.

Anda memulakan tugas di Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada waktu yang sukar, ketika kita sedang pulih daripada wabak Sars (Sindrom Pernafasan Akut Teruk). 

Anda bekerja rapat dengan rakan tiga pihak kita untuk meningkatkan taraf pekerja bergaji rendah, memperbaiki keselamatan pekerjaan, dan mempertingkatkan keselamatan di tempat kerja.

Anda memimpin pembaharuan besar untuk mengurangkan kecederaan dan kematian di tempat kerja serta memperkenalkan Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHA). 

Menyedari kepentingan pembelajaran sepanjang hayat, anda menubuhkan Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA) (kini Agensi Tenaga Kerja Singapura – WSG) untuk membantu pekerja meningkatkan kemahiran mereka, supaya mereka sentiasa mendapat pekerjaan yang baik.

Anda juga menyedari kepentingan keselamatan kewangan pada usia tua. Konsep insurans sepanjang hayat yang anda perjuangkan, menjadi asas kepada skim CPF Life (Pendapatan Sepanjang Hayat Bagi Orang Lanjut Usia) yang memberi ketenangan fikiran kepada rakyat Singapura berkenaan persaraan mereka.

Sebagai Menteri Pendidikan, anda memperluaskan laluan pengajian tinggi untuk pelajar kita. Anda menubuhkan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) untuk melatih pemimpin masa depan yang akan berkhidmat kepada masyarakat melalui inovasi dalam reka bentuk dan teknologi.

Anda mengukuhkan inisiatif Politeknik-Institusi Pengkhususan Asing, yang membuka jalan bagi penubuhan Institut Teknologi Singapura (SIT), universiti autonomi kelima kita. 

Sekolah Perubatan Lee Kong Chian (LKCMedicine) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), sekolah perubatan ketiga Singapura, juga ditubuhkan di bawah kepimpinan anda.

Anda turut menyokong para pendidik kita dan membantu menubuhkan Akademi Guru-guru Singapura (AST) untuk memacu pembangunan profesional mereka.

Anda lebih dikenali melalui perkhidmatan anda sebagai Menteri Pertahanan, dan telah mengetuai Kementerian Pertahanan (Mindef) sejak 2011. 

Anda memandu pemodenan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), memastikan ia terus maju dalam menghadapi persekitaran ancaman yang lebih kompleks dan perubahan teknologi yang pesat.

Di bawah kepimpinan anda, SAF memperoleh dan membangunkan keupayaan generasi akan datang – daripada pesawat pejuang F-35 dan kapal selam kelas ‘Invincible’ hingga kepada sistem tanpa pemandu merentas darat, laut, dan udara. 

Anda juga mengetuai penubuhan Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS) untuk mengukuhkan keupayaan kita dalam bidang digital, siber, dan maklumat.

Di bawah kepimpinan anda, SAF bukan sahaja bersedia untuk bertempur, tetapi juga membuktikan keupayaannya dalam situasi aman.

Secara domestik, ia memainkan peranan penting dalam menyokong operasi respons Covid-19 kita.

Di peringkat daerah, SAF menerajui platform kerjasama seperti Pusat Penyelaras Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana Serantau serta Pusat Maklumat Penentangan Pengganasan. 

Di seluruh dunia, ia menyampaikan bantuan penting kepada mereka yang memerlukan, termasuk sokongan kemanusiaan untuk rakyat di Gaza, baru-baru ini.

Anda tidak pernah melupakan mereka yang membentuk teras SAF. Anda memperjuangkan latihan yang realistik sambil meningkatkan keselamatan bagi para askar.

Anda mengawasi pembangunan Bandar Safti untuk menyediakan kemudahan latihan peperangan bandar yang realistik bagi askar kita, dan menubuhkan Pejabat Inspektor-Jeneral untuk mengukuhkan keselamatan dalaman SAF.

Anda menambah baik sistem Perkhidmatan Negara (NS), memperkukuh sokongan masyarakat terhadap anggota NS, dan menubuhkan Kor Sukarelawan SAF bagi membolehkan masyarakat turut sama menyumbang secara langsung kepada pertahanan negara.

Anda turut menyerlah di pentas antarabangsa sebagai diplomat pertahanan utama Singapura, yang dihormati rakan sejawat atas ketajaman pemikiran dan penilaian yang tepat.

Dengan usaha anda, Singapura berjaya membina hubungan pertahanan yang kukuh di seluruh dunia, meluaskan ruang strategik dan memperkukuh kedudukan negara di peringkat sejagat.

Saya sentiasa menghargai pandangan bernas anda dalam perbincangan di Kabinet. Tidak kira apa isu yang dibincangkan, anda sentiasa meneliti perkara utama – mengutarakan soalan yang tajam, pandangan yang jelas dan cadangan yang tegas.

Anda tenang ketika krisis, teliti dalam menganalisis sesuatu isu, dan berani meneroka pendekatan baru. Anda membawa ketegasan dan kewibawaan dalam setiap perbincangan, dan menjadi aset yang amat bernilai kepada pasukan.

Saya sendiri pernah melalui semua ini ketika saya berjinak-jinak dalam politik – apabila saya berpeluang bekerja bersama anda di Mindef. 

Saya masih ingat sesi makan tengah hari bulanan kita dan bagaimana anda begitu murah hati berkongsi pengalaman serta pandangan anda.

Saya tahu ramai menteri muda juga mengagumi anda – bukan sekadar sebagai contoh teladan, tetapi juga sebagai tempat bagi mereka mendapatkan nasihat dan dorongan. 

Anda turut berkhidmat sebagai Ketua Dewan dari 2011 hingga 2015. Ramai antara kami masih ingat ucapan penghargaan anda yang menyentuh hati buat mendiang (Perdana Menteri Pengasas) Encik Lee Kuan Yew, yang menyerlahkan visi, ketabahan dan komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap Singapura.

Di GRC Bishan-Toa Payoh, anda telah menjadi tonggak yang teguh serta Anggota Parlimen (AP) paling lama berkhidmat di sana, sentiasa menunjukkan komitmen mendalam terhadap kesejahteraan penduduk. 

Melalui peranan ini dan pelbagai sumbangan lain, anda telah membentuk landskap Singapura. 

Bagi pihak semua rakyat Singapura, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas dedikasi dan khidmat bakti anda. 

Saya harapkan yang terbaik buat anda dan keluarga dalam mengorak langkah seterusnya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg