Orang kenamaan asing yang berkunjung ke Singapura memberi komen positif dengan mengatakan mereka mahu belajar dari Singapura kerana “kita telah melakukannya dengan baik walaupun menghadapi kesukaran serantau dan global”, kata Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen.
Mengulas komen tersebut dalam Majlis Makan Malam Sukarelawan Kementerian Pertahanan (Mindef) di hotel Paradox Singapore Merchant Court di Merchant Road, pada 3 Oktober, Dr Ng memberitahu hadirin walaupun dengan masalah yang melanda dunia sekarang ini, Singapura tidak mengambil mudah apa juga perkara.
Ini kerana sebagai sebuah negara kecil, keadaan masih boleh berubah menjadi tidak stabil.
“Namun, dalam diam dan dalam kalangan kami sendiri, kami boleh berpuas hati kerana sistem kami telah berjalan dengan baik,” tambahnya.
Dr Ng berucap di makan malam yang mengiktiraf sumbangan, sokongan dan komitmen 387 sukarelawan yang berkhidmat di 39 lembaga dan jawatankuasa Mindef.
Sekitar 80 sukarelawan hadir untuk menerima sijil pelantikan dan pelantikan semula daripada Dr Ng.
Majlis makan malam itu turut dihadiri Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, serta pegawai kanan Mindef dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Diadakan setiap tahun sejak 1998, Makan Malam Sukarelawan Mindef bertujuan untuk menghargai sumbangan dan sokongan yang tidak ternilai daripada sukarelawan kepada Mindef dan SAF.
Sukarelawan yang berkhidmat dalam lembaga dan jawatankuasa Mindef adalah pakar dalam sektor swasta dan awam.
Sumbangan mereka dalam pelbagai bidang seperti undang-undang, perubatan, kaunseling, kejuruteraan, sains, dan komunikasi strategik membolehkan Mindef sentiasa dapat mengikut amalan terbaik industri dan proses organisasi.
Mengulas mengenai kepadatan sosial, Dr Ng menyatakan bahawa ramuan utama bagi hal itu adalah kepercayaan walaupun ia bukanlah perkara yang mudah untuk ditakrifkan.
“Percaya antara satu sama lain dan antara pemerintah serta rakyat di seluruh dunia.
“Kepercayaan bersifat tidak ketara namun boleh menghasilkan keputusan yang sangat nyata,” katanya.
Beliau menyamakannya dengan situasi Covid-19 di mana kajian mendapati kepercayaan antara masyarakat dengan pemerintah dalam hal seperti kuarantin dan vaksinasi adalah faktor utama dalam memberi hasil yang lebih baik.
Menurutnya, kepercayaan tidak mampu dibina semalaman dan ia memerlukan usaha dan perhatian berterusan.
Beliau menghargai sumbangan sukarelawan yang membantu Singapura dan SAF dalam membina kepercayaan.
“Disebabkan usaha anda, mereka percaya bahawa Mindef, SAF dan kementerian, akan menjalankan tugas dengan baik dalam membina pertahanan yang kukuh.
“Mereka percaya bahawa anak lelaki mereka akan dijaga dengan baik dan boleh menjalani latihan dengan selamat.
“Mereka percaya bahawa maklum balas dan usaha mereka sebagai majikan dan masyarakat dihargai,” tambah Dr Ng, yang menyifatkan kepercayaan sebagai aset paling bernilai dalam masyarakat yang progresif dan stabil.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg